Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia selepas melancarkan sistem penapisan air Beleza D’ Agua di sini, malam ini, beliau berkata, perkara itu yang menjadi persoalan rakyat Malaysia turut menjadi ‘tanda soal besar’ bagi dirinya.
“Dalam hal ini, hanya Allah yang tahu siapa, di mana dan bila. Saya minta seluruh rakyat Malaysia agar mendoakan kebahagiaan saya termasuk dalam soal jodoh,’’ katanya.
Beliau yang kelihatan ceria dan berseri-seri hadir bersama ayahandanya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohd. Yatim; bondanya, Datin Seri Shamsinar Abdul Rahman dan adindanya, Elly Nur Arafah.
Siti Aishah, 35, berkata demikian apabila ditanya sama ada beliau memiliki keinginan untuk menamatkan zaman solonya semenjak kemangkatan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 21 November 2002.
Beliau menjelaskan kehidupannya kini tidak banyak berubah dari dahulu kecuali dari segi kesibukan tugas.
“Saya berasal dari rakyat biasa, ditakdirkan berkahwin dengan Almarhum (Sultan Salahuddin) dan masih bersama rakyat. Kini saya lebih menumpu kepada meluangkan masa berkualiti dengan keluarga,’’ ujarnya.
Siti Aishah berkata, beliau juga sedang dalam proses mencari inspirasi untuk menghasilkan suatu yang akan dapat memanfaatkan masyarakat.
Selain itu, beliau turut menyatakan minatnya untuk bertindak sebagai pakar motivasi kepada ahli keluarga dan rakan-rakan.
Antarabangsa
“Antaranya saya memberi galakan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Beleza World Import Export, Prof. Dr. Zuhairni Abdul Ghani supaya terus menggiatkan perniagaan ini hingga ke persada antarabangsa,’’ kata beliau.
Bercakap mengenai produk yang dilancarkannya itu, beliau berkata, masyarakat perlu lebih prihatin kepada kesihatan mereka dengan pengamalan menyeluruh (holistik) termasuk pengambilan air yang mencukupi.
Menyifatkannya sebagai sumbangan peribadinya kepada kebajikan rakyat, Siti Aishah berkata, beliau tidak akan hanya menumpukan usahanya kepada bidang kesihatan semata-mata tetapi mahu memperjuangkan pelbagai bidang.
“Apabila ditanya apakah rahsia beliau dalam mengekalkan kejelitaannya pula, beliau berkata, beliau banyak bersyukur dan sentiasa ingat kepada Allah,’’ katanya.