Tuesday, 27 February 2007

IPP Sabah: Tiga syarikat dipilih

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menyenaraikan tiga buah syarikat untuk dipertimbangkan oleh Kabinet bagi projek Penjana Tenaga Bebas (IPP) berkuasa 300 megawatt di Pantai Timur Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, ketiga-tiga syarikat itu adalah daripada 13 syarikat kejuruteraan tempatan dan antarabangsa yang disenarai pendek untuk projek tersebut pada Disember lalu.

“Kami menjangka kerajaan akan mengumumkan kontraktor yang berjaya pada bulan Mac atau April ini,” katanya selepas Majlis Mesra Tahun Baru Cina TNB 2007 di Kompleks Sukan TNB di sini hari ini.

Projek stesen janakuasa berasaskan arang batu bernilai RM1 bilion dijangka mula beroperasi dengan kapasiti penuh pada tahun 2010.

Che Khalib bagaimanapun enggan memberitahu nama tiga buah syarikat yang dikemukakan ke Kabinet itu dan sama ada ia syarikat tempatan atau antarabangsa.

Sementara itu, pada majlis sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan, TNB menghulurkan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada tiga rumah kebajikan sekitar Petaling Jaya.

Rumah-rumah kebajikan tersebut ialah Pusat Pemulihan Orang-orang Cacat Selangor dan Wilayah Rumah Insaniah Tun Dr. Siti Hasmah, Rumah Kebajikan Untuk Kanak-kanak Petaling Jaya dan Rumah Ozanam Petaling Jaya.

Pada majlis itu juga, Che Khalib turut menghulurkan angpau kepada 50 orang anak-anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) daripada rumah-rumah tersebut.