KUALA LUMPUR 20 Mac – Kerajaan mahu syarikat vendor menggunakan sepenuhnya Program Pembangunan Vendor (PPV) bagi meneroka peluang pasaran baru untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Bagi tujuan itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) telah mengaturkan sesi pemadanan perniagaan antara syarikat vendor dan syarikat vendor utama seperti institusi kewangan, agensi-agensi teknikal dan persatuan-persatuan industri.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC) terpilih akan bertindak sebagai syarikat vendor utama di bawah program tersebut.
“Penglibatan GLC dilihat sebagai satu permulaan baru yang akan mempertingkatkan pelaksanaan program ini ke tahap yang lebih tinggi,’’ katanya semasa merasmikan program itu di sini hari ini.
Setakat ini, menurut beliau, kementeriannya telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan tujuh syarikat GLC bagi membangunkan sasaran 150 syarikat vendor baru dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9).
“Program ini diharap mampu menjadi satu batu loncatan supaya syarikat-syarikat vendor dapat membuat padanan perniagaan untuk jalinan kerjasama yang lebih erat dengan syarikat-syarikat besar,’’ tambahnya.
Menurut Mohamed Khaled, GLC memang berpotensi dan berupaya membangunkan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) Bumiputera menjadi pengilang atau pembekal komponen serta perkhidmatan yang kompetitif.
Bagaimanapun beliau turut menegaskan bahawa peluang untuk menjadi vendor kepada syarikat GLC bukan bersifat kekal bahkan GLC akan membantu MECD memantau pencapaian syarikat vendor berkaitan.
“Peluang ini adalah satu platform memantapkan perniagaan ke pasaran terbuka hingga ke peringkat global,’’ jelasnya.
Antara GLC yang terlibat dalam PPV ialah Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan National Aerospace and Defence Industri Sdn. Bhd. (NADI).
Pada majlis tersebut, MECD turut menandatangani MoU dengan Telekom Malaysia, SIRIM, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) dan Perbadanan Produktiviti Negara (NPC).
Selain itu, Buku Panduan PPV dan Garis Panduan Skim Graduasi Vendor Bumiputera MECD juga telah dilancarkan bagi menyokong program tersebut.