KUALA LUMPUR 5 Okt. – Pertandingan Apresiasi Jawi 2007 anjuran bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Utusan Melayu (M) Berhad yang dilancarkan semalam menawarkan hadiah utama berupa pakej umrah dan ziarah ke Tanah Suci untuk dua orang.
YaPEIM turut menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM40,000 untuk pertandingan menulis dalam tulisan jawi yang bakal berlangsung selama tiga bulan.
Program itu juga mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Radio Ikim.Fm, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (Japim), Kementerian Pelajaran.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin berkata, pertandingan itu adalah hasil usaha sama pelbagai pihak untuk memantapkan tulisan jawi dan ia perlu diteladani oleh agensi dan institusi lain.
“Usaha murni ini bakal menyemarakkan semula semangat penulisan jawi memandangkan tulisan itu adalah asas penguasaan al-Quran, fardu ain dan bahasa Arab di kalangan pelajar,’’ katanya ketika melancarkan pertandingan itu di sini.
Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman; Ketua Pengarah YaPEIM, Dr. Abd. Malek Awang Kechil; Penolong Ketua Pengarang 1, Kumpulan Utusan, Othman Mohamad dan Pengarang Utusan Melayu Mingguan, Mohd. Kamil Yusuff.
Terdapat empat kategori dipertandingkan dalam pertandingan itu iaitu sekolah rendah (pantun jawi), sekolah menengah (cerpen jawi), institusi pengajian tinggi (cerpen remaja jawi) dan umum (esei jawi).
Borang penyertaan untuk pertandingan itu boleh didapati dalam akhbar Utusan Malaysia.
Selepas pertandingan itu, YaPEIM bercadang menerbitkan semula penyertaan dalam pertandingan itu sebagai koleksi tambahan kepada bahan bacaan berasaskan tulisan jawi.
Pada majlis yang sama, Yapeim turut meraikan dan memberi sumbangan hari raya kepada 50 kanak-kanak dari Rumah Anak Yatim Baitul Ummah, Taman Setapak Indah dekat sini.