Thursday, 31 January 2008

TV LCD terbaik dalam kelasnya

Tidak dinafikan televisyen merupakan elemen terpenting untuk keluarga yang lebih selesa memilih hiburan di rumah.

Bahkan di pasaran pula, terdapat pelbagai pilihan televisyen dengan macam-macam jenama, jenis, saiz dan kualiti.

Panasonic, misalnya, yang merupakan salah satu jenama popular, baru-baru ini telah melancarkan tiga lagi model terbaru untuk siri Viera iaitu televisyen dengan skrin cecair kristal (LCD).

Pengarah Produk dan Pemasaran Panasonic Malaysia, Tony Endoh berkata, televisyen LCD kini semakin popular berbanding jenis lain kerana menawarkan kualiti imej dari segi kecerahan, kontras dan warna yang lebih baik.

Panasonic pula, menurut beliau, menghasilkan televisyen jenis LCD yang mempunyai kualiti terbaik di dalam kelasnya dan masih tetap berusaha meningkatkan kualiti produk-produknya.

Bagi membuktikan mereka tidak sekadar manis mulut, baru-baru ini Panasonic telah menganjurkan satu seminar kepada sekumpulan wartawan bagi memperkenalkan model-model terbaru televisyen LCD mereka.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Rangkaian Panasonic AVC Sdn. Bhd., Akihiko Hayase dan Pengurus Korporat dan Penjenamaan Panasonic Malaysia, Azizah Wahid.

Melalui seminar tersebut, Panasonic membandingkan model-model televisyen LCD siri Viera terbaru dengan televisyen LCD dari jenama lain bagi membolehkan peserta membezakan kelebihan produk mereka berbanding produk bandingan.

Terbaru

Model-model terbaru Panasonic Viera tersebut ialah televisyen LCD 37 inci TX-37LX75, televisyen LCD 32 inci TX-32LX75 dan televisyen LCD 26 inci TX-26LX75.

Tidak dinafikan, melalui demonstrasi yang dilakukan jurutera Panasonic, Pang Cheon Wah, siri terbaru televisyen LCD Viera mempunyai kualiti yang lebih baik dari segi bunyi, gambar dan bahan binaan.

Antara kelebihan yang ditunjukkan ialah imej dan warna yang lebih nyata dan jelas dan bunyi sebenar yang tidak pecah pada skala tertinggi.

Selain itu ia juga mengunakan bahan binaan yang lebih tahan lasak dan sukar terbakar memberikan kelebihan keselamatan berbanding pesaing, selain kompleks ROSH yang mudah terurai dan mesra alam.

Semua model baru tersebut mempunyai sistem pemprosesan imej terkini, kontras dinamik setinggi 7,000:1 dengan resolusi sebesar 1,366 x 768 piksel.

Kontras yang tinggi itu secara automatik meningkatkan resolusi kecerahan gambar serta warna-warna yang dipancarkan.

Lagi kelebihan model-model baru ini ialah pengunaan pemacu jenis Motion Picture Pro 100 Hz yang berjaya mengurangkan separuh imej berlapis pergerakan gambar berbanding model terdahulu.

Ini menghasilkan imej-imej gambar dalam keadaan pergerakan pantas yang lebih lancar dan tajam menjadikan televisyen LCD ini sangat ideal untuk menonton filem aksi atau acara sukan.

Dalam seminar tersebut, Endoh turut berkongsi strategi yang digunakan Panasonic bagi memperbaiki penguasaannya dalam pasaran televisyen LCD Malaysia yang setakat ini berada di tangga kelima.

‘‘Panasonic kini mempunyai kilang pemasangannya sendiri di Shah Alam sejak tahun lepas yang mempunyai kapasiti untuk menghasilkan 500 unit televisyen LCD sehari,’’ katanya.

Bahkan melalui Rangkaian Panasonic AVC Sdn. Bhd., katanya, model-model baru televisyen LCD termasuk Viera TX-32LX75 direka bentuk di Malaysia.

Wednesday, 23 January 2008

Mara Inc. bantu usahawan

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menyusun semula semua anak syarikatnya yang terlibat dalam memajukan bidang keusahawanan bumiputera melalui Mara Incorporated (Mara Inc.).

Secara dasarnya, Mara telah meluluskan Mara Inc. dengan modal awalan sebanyak RM100 juta yang akan dikumpulkan daripada sumber dalaman Mara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Mara Inc. akan bertindak sebagai satu badan organisasi yang bakal memayung dan menggerakkan usahawan bumiputera Mara secara penswastaan.

‘‘Tujuan utama Mara Inc. adalah untuk membangunkan usahawan bumiputera agar berdaya saing, maju dan tahan untuk mencapai potensi antarabangsa,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmi dan menyampaikan Anugerah Usahawan Mara (Aura) Peringkat Kebangsaan 2006/07 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, penyusunan semula itu diharapkan bakal mewujudkan satu sinergi yang mampu mencapai matlamat kerajaan melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang berkualiti dan produktif.

‘‘Mara Inc. akan menjadi platfom bagi mengeksport perkhidmatan dan tenaga profesional Bumiputera yang sebelum ini sukar merebut peluang di luar negara akibat tiada mekanisme untuk mereka bersandar bagi mendapatkan peluang itu,’’ jelasnya.

Menurut beliau, bagi mencapai MPPB, usahawan bumiputera perlu mengatasi tiga cabaran utama iaitu cabaran pembangunan modal insan, cabaran pengukuhan usahawan dan perusahaan serta cabaran menceburi bidang baru dan bidang yang bakal muncul.

Pada majlis tersebut, Mara telah mengiktiraf 40 usahawan dari seluruh negara serta menyampaikan tiga kategori anugerah kecemerlangan iaitu Usahawan Cemerlang, Usahawan Muda dan Penyewa Premis Perniagaan Mara.

Para pemenang anugerah menerima hadiah wang tunai, plak cenderamata dan sijil penghargaan.

Antara pemenang bagi Anugerah Usahawan Cemerlang yang membawa pulang RM6,000 ialah Ahmad Tajudin Said dari pasar raya Pokok Sena, Alor Setar bagi Sektor Perdagangan, manakala kategori Anugerah Usahawan Muda menerima RM4,000 ialah pemilik Asmaa Auto Parts Sdn. Bhd. Sungai Buloh, Abd. Malek Ahmad bagi Sektor Perdagangan, Zunaidah Awang dari syarikat binaan dan makanan bermasak Amoda Sepakat Jaya Enterprise Kuantan.

Pada majlis itu juga, Mohamed Khaled turut merasmikan buku Laluan Jutawan yang mengumpulkan pengalaman perniagaan 25 usahawan Mara.

Friday, 18 January 2008

Tetap Melayu walau fasih bahasa Inggeris

MASYARAKaT khususnya ibu bapa Melayu tidak perlu khuatir mendorong anak-anak mereka menguasai bahasa Inggeris walaupun mereka sendiri tiada kemahiran itu.

Malah, mereka wajar menggalakkan anak-anak untuk fasih bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris bagi meluaskan peluang kerjaya apabila mereka memasuki sektor pekerjaan.

Isteri Tunku Mahkota Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris bertitah, jati diri kemelayuan tidak akan hilang hanya dengan fasih dalam bahasa tersebut sekiranya anak telah diterapkan dengan unsur-unsur tradisi sedari kecil.

Raja Zarith Sofiah bertitah, keupayaan menguasai bahasa Inggeris menunjukkan rakyat mengambil berat mengenai hala tuju negara kerana ilmu wujud daripada bahan bacaan berkualiti yang kebanyakannya di dalam Bahasa Inggeris.

“Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa yang mempunyai kuasa nilai ekonomi berbilion dolar, apatah lagi satu pertiga daripada dunia bertutur atau belajar dalam bahasa tersebut,” titah baginda dalam Syarahan Umum Felo Diraja bertajuk Menjadi Global : Penggunaan Bahasa Inggeris dalam Abad Ke-21 Malaysia di Dewan Senat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Syarahan umum tersebut dihadiri oleh Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin; Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Datuk Dr. Ismail Bakar dan 300 lagi ahli akademik termasuk pegawai-pegawai kanan, dan graduan lepasan siswazah.

Baginda yang merupakan Felo Diraja Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, UKM berkata, setiap ahli masyarakat perlu memahami kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan golongan muda sebagai bahasa antarabangsa.

Tambah baginda, seluruh rakyat Malaysia bertanggungjawab membantu dan menyediakan prasarana agar semua orang mampu bertutur dan menulis dengan lancar dan penuh yakin.

Kepentingan bahasa ini, tambahnya perlu ditekankan bukan sahaja di peringkat pengajian tinggi seperti yang berlaku kini, malah sebaiknya dari dari peringkat akar umbi lagi iaitu sekolah rendah dan prasekolah.

Justeru, masyarakat harus diingatkan agar berusaha menguasai bahasa Inggeris dan mengejar ilmu supaya negara tidak tertinggal jauh ke belakang berbanding lain-lain negara di dunia.

Selain itu, baginda juga yakin penguasaan Bahasa Inggeris mampu membantu graduan mendapatkan pekerjaan dengan lebih cepat.

“Kita menghasilkan graduan yang bijak tetapi kemahiran Bahasa Inggeris yang lemah telah menyekat mereka daripada mengeluarkan potensi sebenar mereka,’’ titah baginda.

Ini, menurut baginda, menyebabkan potensi modal insan negara tidak digunakan secara optimum yang seterusnya menyebabkan negara pula tidak mencapai potensi kemajuan yang sepatutnya.

Raja Zarith Sofiah turut mencadangkan beberapa langkah yang boleh dijadikan budaya untuk memperbaiki penguasaan bahasa tersebut di kalangan generasi muda.

Menurut baginda, faktor persekitaran seperti stesen televisyen wajar lebih proaktif dan menyediakan kemudahan mempelajari bahasa kepada penonton.

“Konsep rancangan realiti popular misalnya, Akademi Debat atau Akademi Bahasa Inggeris boleh digunakan bagi mengganti Akademi Fantasia,’’ titahnya.

Selain itu, baginda menggalakkan ibu bapa dan pihak sekolah membiasakan anak-anak dengan buku berbahasa Inggeris bagi memperbaiki tatabahasa serta serta memupuk keyakinan diri.