Saturday, 29 March 2008

Dunia bersatu demi Earth Hour malam ini

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Dewan Opera House sebelum dan selepas digelapkan semasa Earth Hour tahun lepas.

MALAM ini monumen-monumen ikon dunia, antaranya jambatan Sydney Harbour dan Opera House di Sydney, jambatan Golden Gate di San Francisco, bangunan tertinggi Amerika Syarikat, Menara Sears di Chicago dan akuarium terbesar di dunia, Georgia Aquarium di Atlanta akan 'hilang' dari pandangan.

Bersama ribuan lagi bangunan-bangunan kerajaan dan premis perniagaan seantero dunia, mereka telah berjanji untuk bergelap selama satu jam tepat pada pukul 8 malam waktu tempatan.

Ini bersempena dengan kempen Earth Hour yang telah memasuki tahun kedua tahun ini.

Tujuan utama Earth Hour ialah bagi menyampaikan keprihatinan penduduk dunia mengenai keperluan satu tindakan proaktif dilakukan bagi menangani isu pemanasan global.

Earth Hour mengajak penduduk seluruh dunia untuk bergelap iaitu memadamkan semua lampu dan penggunaan barangan elektrik tepat pada pukul 8 malam waktu tempatan.

Kempen yang mula digerakkan oleh Tabung Hidupan Liar (WWF) Australia itu telah dilaksanakan pertama kali melibatkan hanya bandar raya Sydney pada Mac tahun lepas.

Pengarah Eksekutif Earth Hour, Andy Ridley berkata, sasaran kempen ini ialah bagi mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida tahunan sebanyak lima peratus, sekaligus mengawal fenomena pemanasan global.

Tahun lepas, sebanyak 2.2 juta warga Australia telah menyokong kempen tersebut, malah mercu-mercu tanda utama Australia termasuk Sydney Harbour dan Opera House juga telah digelapkan.

Hasilnya amat membanggakan, bukan setakat mencapai sasaran pengurangan penggunaan tenaga sebanyak lima peratus, malahan dua kali ganda berbanding sasaran asal iaitu sebanyak 10 peratus.

Kejayaan tersebut pastinya telah menaikkan semangat pasukan penganjur Earth Hour dan WWF-Australia untuk meluaskan projek tersebut di peringkat antarabangsa.

Justeru selepas dilancarkan semasa Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-bangsa Bersatu di Bali pada 14 Disember lepas, WWF dari seluruh dunia telah berganding bahu berkempen bagi mencapai matlamat tersebut.

‘‘Earth Hour adalah satu program yang amat unik yang telah menyatukan pelbagai negara, pemilik perniagaan dan kediaman dalam satu misi demi kesejahteraan sejagat,’’ kata Ridley dalam laman web Earth Hour.

Namun begitu, tambah Ridley, mengelapkan bangunan dan struktur-struktur penting dunia bukan boleh dibuat sewenang-wenang, sebaliknya ia adalah satu proses yang rumit dan memerlukan perkiraan teliti termasuk faktor keselamatan.

Apa yang pasti, satu impak besar akan tercapai apabila pemilik-pemilik rumah bergandingan dengan monumen-monumen mercu tanda paling ikonik dunia dalam perang mengawal pemanasan global.

Setakat ini, sebanyak 24 bandar raya telah berjanji untuk memadamkan lampu bangunan-bangunan utama milik majlis bandar raya masing-masing.

Malah penganjur juga meramalkan sekurang-kurangnya 30 juta penduduk seluruh dunia akan mengambil bahagian.

Setakat Selasa lepas, seramai 194,144 individu dan 12,598 syarikat perniagaan dari seluruh dunia telah mendaftar untuk projek Earth Hour tahun ini.

Malah di negara asal projek tersebut, sebanyak 3,500 syarikat-syarikat perniagaan di Australia telah bersetuju untuk bergelap selama satu jam. Ini termasuk semua cawangan restoren makanan segera terbesar Australia, McDonalds dan semua 36 butik jenama terkenal David Jones.

Layari laman web www.wwf.org.my atau www.earthhour.org untuk maklumat lanjut.

Saturday, 22 March 2008

Suasana Mediterranean

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI (pelancongan@utusan.com.my)
PENGUNJUNG Telaga Harbour boleh menikmati sarapan pagi dengan aman di The Loft sambil menikmati pemandangan indah marina Langkawi.

MASIH ingat lagi kepada Datuk Azhar Mansor? Pelayar solo negara yang telah mencipta rekod dunia dan kini bertanggungjawab membangun dan mengurus marina Telaga Harbour di Pantai Kok Langkawi.

Pada 1999, beliau telah mengambil masa 104 hari untuk mengelilingi dunia secara solo tanpa henti sejauh 21,600 batu nautika menaiki kapal layar Jalur Gemilang.

Kejayaan itu membolehkan Azhar diiktiraf oleh Majlis Rekod Pelayaran Pecut Dunia (WSSRC) secara rasminya sebagai pencipta rekod dunia. Ini kerana beliau menggunakan laluan Eastabout yang masih belum pernah dilayari secara solo sebelum itu.

Sebagai satu-satunya pelayar dari Asia (kecuali Jepun) yang berjaya menempuh cabaran itu tanpa bergantung kepada orang lain, beliau telah meletakkan Malaysia di atas peta maritim sekaligus menjadi seseorang yang dihormati di kalangan khalayak maritim.

Kejayaan itu juga telah mengangkat namanya sebagai warganegara tersohor yang telah merealisasikan semangat 'Malaysia Boleh', slogan yang dipopularkan sejak pertengahan tahun 1990-an.

Seorang pemandu pelancong pernah berkata, di sebalik kejayaan besar penjelajahan Azhar, masih ada pihak yang memperlekehkan beliau dengan menganggapnya hanya bersantai menaiki kapal layar pelancongan mewah.

Tapi sebenarnya, Jalur Gemilang hanyalah sebuah kapal layar yang agak kecil dan mudah dilambung ribut. Kini kapal itu berlabuh di tapak khas marina untuk tontonan orang ramai.

Menurut pemandu pelancong itu lagi, kapal kebanggaan Malaysia itu kini hanya digunakan semasa Azhar mengajar kelas pelayar muda atau untuk perjalanan jarak dekat sekitar Langkawi sahaja.

Marina Telaga Harbour terbahagi kepada dua bahagian iaitu Perdana Quay (sebutan kee) dan Petronas Quay. Perdana Quay adalah salah satu pintu masuk ke Malaysia yang menempatkan pejabat kastam dan imigresen.

Pelancong asing yang singgah ke Malaysia melalui jalan laut kini boleh terus masuk atau meninggalkan Malaysia dengan mudah tanpa perlu ke jeti utama.

Di Petronas Quay pula, terdapat bangunan dua tingkat yang berseni bina menarik yang menempatkan kemudahan penting seperti stesen minyak Petronas dan bank. Di sini, pengunjung juga boleh menjamu selera di restoran makanan segera sambil menghirup udara segar sambil menikmati pemandangan marina yang indah dari tingkat dua.

Walaupun masih baru, pangkalan kapal layar tersebut kini telah popular sebagai salah satu marina persinggahan utama kapal-kapal layar peribadi dari seluruh dunia selain diuar-uarkan oleh beberapa majalah gaya hidup antarabangsa sebagai marina terbaik Malaysia.

Kedudukannya di timur pulau utama Langkawi juga menjadikannya lokasi romantik popular bagi pemilik kapal layar menikmati matahari terbenam sambil berlayar.

Selain faktor kepelbagaian tarikan dan keindahan kepulauan Langkawi, faktor keselamatan juga menyebabkan teluk buatan ini popular di kalangan pemilik kapal.

Ia telah direka sedemikian rupa supaya kedudukannya terlindung daripada ombak besar yang telah sedikit sebanyak membantu mengurangkan kerosakan semasa bencana tsunami 2004 yang lalu.

Gunung Mat Chincang, lokasi kereta kabel paling mencabar Asia Tenggara pula melindungi marina itu dari angin kencang dari arah utara.

Gerahak di lubuk udang galah Kampung Ganchong

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI (rekreasi@utusan.com.my)
WALAUPUN terpaksa menamatkan aktiviti seawal pukul 7 petang akibat terlupa membawa ais, namun trip kali ini merupakan antara trip terbaik bagi mereka.

SUNGAI Pahang tidak perlu diperkenalkan lagi sebagai sungai yang amat kaya dengan pelbagai ikan air tawar berkualiti tinggi. Antara lokasi pemancing Sungai Pahang yang popular ialah di daerah Pekan khususnya di lubuk udang galah yang terdapat di Kampung Ganchong.

Justeru tidak hairanlah sekiranya kelibat tiga sahabat, Awang, Damin dan Eddy Joe sering dilihat di sini sekurang-kurangnya sekali setiap dua bulan.

Hujung bulan lepas, misalnya, merupakan antara trip yang paling berhasil. Seperti biasa ikan sasaran ialah ikan baung dan udang galah yang kedua-duanya hidup dan mencari makanan di dasar sungai., Oleh itu, kata Awang, gunakanlah perambut yang pendek bagi memastikan umpan yang dipasang sentiasa berada di permukaan dasar sungai. Jika tidak, umpan akan terapung-apung dan dimakan ikan bukan pilihan.

Bagi mengumpan udang galah, umpan yang biasa digunakan ialah yang berbau terutama cacing hidup dipasang pada kail mata udang 9, 11 atau 12. Pemberat yang digunakan pula sebaik-baiknya jenis batu hidup bersaiz 5 atau 6.

Tiba sahaja ke Sungai Pahang, berbekalkan umpan anak ikan, anak udang dan cacing, mereka pun berpecah mencari lokasi lubuk masing-masing. Kata Awang, udang galah biasanya berlubuk di air berarus tenang dan berdasar dalam. Biasanya ia boleh dikenali kerana banyak berbuih dan airnya kelihatan berpusar.

Kali ini, Damin nyata juara udang galah. Berbeza dengan rakan-rakan yang lain yang cuma mendapat udang bersaiz sederhana atau kecil, hanya Damin berjaya menaikan udang galah besar seberat 400 hingga 500 gram sebanyak lima ekor.

Kata Awang, rezeki mereka boleh dikatakan mencurah-curah walaupun hanya meluangkan masa sehari untuk memancing.

Mereka percaya cuaca baik dan panas serta kurang berangin memainkan peranan penting bagi kejayaan trip kali ini.

Keadaan air pula katanya, sangat cantik, tidak keruh serta arus sungai hanya mengalir perlahan.

Ini terbukti kerana sejak pagi lagi mereka tidak putus-putus berjaya menaikkan ikan baung bersaiz di antara 200 hingga 800 gram sehingga lebih 50 ekor.

Jelas Awang, baung yang besar lebih menggemari umpan anak udang, sedangkan baung yang lebih kecil sering melekat pada umpan cacing.

Menjelang tengahari, sedang asyik menaikkan baung, tiba-tiba mereka ternampak kocak air sekumpulan ikan berwarna perak agak jauh di tengah sungai. Duga Awang, itu mungkin gerahak yang juga dikenali sebagai begahak, sejenis ikan pemangsa yang agak jarang ditemui di tempat lain selain di Pahang tapi enak dan mempunyai harga pasaran tinggi iaitu hampir RM50 sekilogram.

Ikan jenis ini suka bermain-main di kawasan berkayu dan menyambar anak ikan di permukaan air. Telahannya tepat apabila terlihat seorang pemancing yang sedang casting dari atas bot yang telah menaikkan beberapa ekor ikan tersebut.

Lantas dia pun mengeluarkan gewangnya dan mencuba nasib melontar casting ke arah kumpulan itu beberapa kali. Pada mulanya, cubaannya tidak berhasil kerana kumpulan ikan itu masih jauh di tengah sungai.

Namun setelah mencuba beberapa kali, dia berjaya memperdaya beberapa ekor untuk mengekori dan menyambar gewangnya itu.

Pada cubaan seterusnya, seekor gerahak benar-benar telah menyambar. Tapi ikan tersebut ternyata lebih pantas melawan dan lari menyembunyikan diri di kawasan berkayu dan menyentap gewang hingga terputus.

Tercabar dengan kejadian itu, Awang berusaha lagi melontar gewang sehingga disambar ganas lagi. Kali ini dia segera menggulung mesin kekili Daiwa PG10 sebaik saja Rapala Shrat Rat disambar. Dia sedar dia perlu lebih bijak iaitu tidak boleh melayan terlalu lama dan berusaha membawa ikan itu jauh dari kawasan berkayu.

Akhirnya, joran Uglystick Awang berjaya juga menaikkan gerahak tersebut yang selepas ditimbang seberat empat kilo. Memang tidak disangka tali tangsi berjenama Sufix yang biasa dengan kekuatan hanya 10 pound (lbs) mampu menaikkan ikan pemangsa seberat itu.

Lain-lain ikan yang berjaya ditangkap ialah tiga ekor ikan tilan seberat hampir 1.5 kilo setiap satu dan 10 ekor lias bersaiz kira-kira tiga jari.

Tilan pertama dan terbesar telah dinaikkan oleh Eddy Joe mengunakan umpan anak udang. Tetapi, ikan jenis yang menelan umpan itu tidak begitu digemari. Oleh itu, Eddy Joe terus memotong tali dan melepaskannya kembali ke sungai.

Lucunya, dalam masa kurang lima minit, tilan yang sama menelan umpannya sekali lagi.

Thursday, 6 March 2008

Hafal 20 perkara dalam dua minit

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
NURLINA Suraiya Md. Shariff (duduk dua dari kiri) bersama ibu bapa dan adik beradik yang banyak menyokongnya.

NURLINA Suraiya Md. Sharif, mungkin baru berusia 16 tahun tetapi telah membuktikan bahawa kekuatan minda tidak dibatasi genetik keturunan tertentu.

Keupayaan kekuatan memorinya itu telah dibuktikan semasa majlis pembukaan Festival Minda Malaysia Kedua yang berlangsung di Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR), pada akhir tahun lepas.

Dalam majlis tersebut, beliau telah berjaya menghafal senarai 20 benda yang diberi penonton secara rawak dalam tempoh dua minit, malah mampu menyebut dengan tepat senarai tersebut dalam susunan terbalik.

Menurut Nurlina , kebolehan tersebut bukannya satu keistimewaan luar biasa sebaliknya merupakan satu teknik visual yang mudah tetapi perlu dipelajari.

‘‘Teknik visual itu ialah dengan membuat satu gambaran yang besar dan tersusun tentang saling kaitan di antara benda-benda yang mahu dihafal.

“Ia mudah dibuat jika seseorang itu memberi tumpuan dan berkeyakinan dengan keupayaan diri sendiri,’’ katanya ketika ditemui di Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pertemuan ringkas tersebut beliau ditemani kedua-dua ibu bapa, Md. Sharif Ahmad, 45, dan Latifah Hamid, 44, kakaknya seorang pelajar jurusan Bahasa Inggeris, Nur Syaza Sarah, 18, dan dua adiknya, Muhd. Nafis Farhan, 11, dan Nur Yasmin Hanani, 6.

Bapanya mengakui bahawa kesemua anak-anaknya cenderung dengan akademik dan gemar membaca selain mencuba permainan cabaran minda sejak kecil lagi.

Bahkan, beliau dan isteri bertuah kerana dua anaknya, Nur Syaza dan Nurlina, berjaya menjimatkan satu tahun akademik selepas cemerlang dalam Penilaian Tahap Satu (PTS), membolehkan mereka melompat dari tahun tiga terus ke tahun lima.

Pada September lalu, Nurlina, yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gombak, telah menjuarai Pertandingan Memori kategori perkataan anjuran Malaysia Mental Literacy Movement (MMLM).

Kebolehan anak kedua daripada empat beradik itu telah berjaya menarik perhatian kerajaan negeri Perak yang bercadang menjemputnya untuk memberi ceramah semasa seminar kerajaan negeri.

Walaupun masih dalam peringkat perancangan, Nurlina diharap menjadi model contoh kepada golongan muda Melayu.

Menerima tawaran tersebut, pelajar pintar itu bagaimanapun tidak menganggap dirinya istimewa.

Sebaliknya, beliau menamakan idolanya, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebagai insan yang mempunyai kebolehan minda luar biasa yang terserlah melalui keupayaannya dalam pengucapan awam secara spontan serta kepimpinan dan wawasan beliau.

Menyentuh mengenai cita-cita pula, Nurlina berhasrat melanjutkan pelajaran sama ada dalam jurusan seni grafik atau kreatif multimedia di universiti Malaysia (MMU) seperti The One Academy, Universiti Limkokwing atau Universiti Multimedia.