
Kita bertuah kerana bebas melakukan pelbagai aktiviti-aktiviti rekreasi lasak.
Tidak kira rekreasi udara, darat atau air, Malaysia lengkap segala-galanya sehingga menjadi pilihan ramai warga asing seantero dunia yang datang setiap tahun secara berkala bagi menyertai pelbagai pertandingan cabaran lasak.
Baru-baru ini, negara menjadi lokasi pilihan untuk satu program televisyen anjuran saluran televisyen bebas Iraq, Al-Sharqiya yang berpangkalan di Dubai untuk rancangan realiti TV berjudul Free.
Free adalah satu pertandingan keberanian dalam tempoh dua bulan melibatkan penjelajahan 25 peserta ke seluruh Malaysia bagi melakukan pelbagai aktiviti rekreasi lasak dan mencabar.
Lebih bermakna, rancangan itu bukan sahaja akan disiarkan di Iraq dan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) malah mungkin ke seluruh Asia Barat, kata pengacara rancangan, Rosil Azauui.
Peserta perlu menyelesaikan 50 aktiviti-aktiviti lasak berbeza seperti berkayak jeram deras, luncur udara, ikhtiar hidup dan sebagainya, juga dakian tebing batu terkenal di Kampung Wira Damai, Batu Caves.
Secara tidak langsung rancangan itu akan memperkenalkan negara sebagai syurga peminat rekreasi lasak seterusnya menjana industri pelancongan rekreasi negara menjadi lebih pesat dari pasaran Asia Barat.
Kata Azauui, Malaysia dipilih kerana keunikan lanskap dan alam yang indah membolehkan mereka bertanding dalam pelbagai aktiviti.
Paling penting, tambahnya, faktor bebas dan aman yang amat menakjubkan bagi mereka yang berasal dari negara yang telah bergolak sekian lama membolehkan anak-anak muda itu didedahkan dengan erti kebebasan sebenar.
Semua peserta adalah anak jati dari Iraq meskipun mempunyai latar belakang yang amat berbeza dari segi dialek, pekerjaan juga suku kaum seperti Muslim Sunni dan Syiah, Kristian, Kurdis dan Arab.
Azauui berulangkali menegaskan bahawa mereka mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Iraq bukan masyarakat yang suka bertelagah seperti yang diuar-uarkan oleh media asing sebaliknya rakyat Iraq cintakan keamanan dan saling menyayangi.
Peserta yang dibahagikan kepada dua kumpulan itu sebenarnya merebut hadiah yang bernilai AS$300,000 (RM982,307) tetapi cara pengagihan masih dirahsiakan penerbit, cuma antara yang bakal dipertimbangkan ialah individu yang memberi contoh terbaik dalam sahsiah diri dan keupayaan mencabar diri.
Reaksi yang amat tulen
Semua cabaran rekreasi lasak yang dipertandingkan adalah pengalaman pertama kali kepada semua peserta, jadi mereka amat teruja mencuba hingga bagaikan lupa ini satu pertandingan.
“Reaksi mereka amat tulen, kedua-dua pasukan saling bersorak untuk menyokong ahli pasukan lawan serta saling bantu-membantu, amat menakjubkan,” kata Azauui.
Rata-rata peserta sangat mengagumi Malaysia malah tidak menyangka sebuah negara yang begitu kecil di peta dunia boleh menyediakan begitu banyak keriangan dengan hanya meneroka alam semula jadinya.
Penerbitan siri ini menggunakan khidmat syarikat pengurusan rekreasi lasak bumiputera, Paximej (M) Sdn. Bhd. bagi mencadang dan menyediakan semua aktiviti pertandingan.
Kata Azauui, ada aktiviti yang seolah-olah mustahil dan menakutkan krew produksi yang berasal dari UAE itu, malah beliau sendiri kadangkala merasa bimbang dan mahu meminta pengarah program menghentikannya.
Tetapi, para peserta sangat berjiwa cekal dan tidak takut melakukan mana-mana cabaran yang berbahaya akibat telah terbiasa hidup dalam suasana perang.
“Kami sudah tentu tidak boleh melakukan aktiviti sebegini di Iraq, kami bukan sekadar tiada peralatan atau tenaga profesionalnya malah tiada tempat yang sesuai di Iraq,” jelasnya.
Kata Pengarah Urusan Paximej, Ahmad Kamil Mohamed dalam aktiviti dakian batu Kampung Wira Damai itu, peserta akan dinilai dengan kemampuan mereka mendaki samaada sejauh yang mampu dalam masa 10 minit atau selaju mana mereka dapat mendaki sehingga kira-kira 30 meter ketinggian.
Dapatkan maklumat lanjut di laman web www.adventurecommunity.com atau hubungi talian 603-55120733 atau 603-55128552.