KUALA LUMPUR 18 Jun - Hadiah wang tunai terkumpul yang menanti pemenang peraduan Teka Silang Kata CIMB-Utusan minggu ketujuh meningkat lagi kepada RM15,000.
Jumlah terkumpul itu bertambah sebanyak RM2,000 daripada hadiah terkumpul minggu lepas iaitu RM13,000, setelah tiada peserta yang berjaya meneka tepat peraduan minggu keenam.
Selepas proses pengadilan hari ini, panel hakim bersetuju memilih seorang peserta yang berjaya meneka hampir tepat untuk memenangi hadiah sagu hati RM3,000 sumbangan CIMB Bank.
Seperti minggu lepas, peneka bertuah kali ini yang berasal dari Klang merupakan seorang peserta lelaki yang hanya akan diumumkan Rabu ini.
Pemilihan pemenang bagi minggu keenam ini, yang turut dibantu oleh penyanyi terkenal Dayang Nurfaizah telah dijalankan di Ibu Pejabat Utusan Melayu di sini hari ini.
Panel hakim pula terdiri daripada Penolong Pengurus Komunikasi CIMB Bank, Datin Seri Nuraini Ibrahim; Pegawai Eksekutif CIMB Bank, Md. Jadi Md. Jeni; Pengarang Utusan Malaysia, Othman Mohamad dan wartawan Utusan Malay sia, Wan Shahara Ahmad Ghazali.
Menariknya, peraduan minggu keenam itu mendapat sambutan amat menggalakkan dengan jumlah penyertaan meningkat hampir sekali ganda berbanding minggu sebelumnya walaupun dijalankan pada musim percutian.
Terdapat juga peserta yang menghantar penyertaan secara pukal sehingga 26 set penyertaan.
Sementara itu, menurut Nuraini, bagi menggalakkan lebih banyak pembaca berpeluang memenangi hadiah wang tunai tersebut, tarikh tutup penyertaan mingguan dilanjutkan selama dua hari bermula minggu ini.
‘‘Set penyertaan mingguan daripada peserta menerusi pos perlu tiba selewat-lewatnya Jumaat minggu berikutnya, manakala peserta yang menghantar penyertaan melalui mana-mana 380 cawangan dan saluran perkhidmatan CIMB Bank, CIMB Islamic Bank dan BCB seluruh negara, dilanjutkan pada Rabu minggu berikutnya,’’ kata beliau.
Selain itu, jumlah soalan harian yang boleh didapati dalam sisipan Mega Utusan Malaysia juga akan dikurangkan daripada 18 hingga 24 soalan sehari kepada antara 10 dan 15 soalan.
‘‘Melalui pembaharuan ini, kami berharap dapat menarik lebih ramai pembaca Utusan Malaysia merebut hadiah utama selain hadiah mingguan terkumpul yang semakin meningkat,’’ jelasnya.
Selain hadiah utama RM100,000, peraduan yang berlangsung selama 26 minggu bermula 30 April lalu menawarkan hadiah mingguan RM5,000.