KUALA LUMPUR 16 Jun – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, golongan dewasa perlu menunjukkan contoh yang baik dalam penjagaan alam sekitar supaya menjadi ikutan golongan muda.
Baginda turut menyeru supaya rakyat sentiasa mendalami kemahiran memelihara alam sekitar supaya kehijauannya tidak pupus ditelan zaman.
‘‘Beta berharap rakyat dapat berasa bangga dan lebih menghargai alam semulajadi di tanah air sendiri yang nyata lebih eksotik berbanding negara asing,’’ titahnya.
Baginda bertitah demikian selepas melancarkan buku piktorial ‘‘Pusaka Bumi: Malaysia‘s Legacy of Nature’’ di Galeri Seni Yayasan Seni Berdaftar (YSB) di sini hari ini.
Turut hadir isteri baginda, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.
Menurut Raja Nazrin, generasi masa depan akan lebih bertuah sekiranya dapat menyaksikan flora dan fauna yang eksotik di perkarangan rumah sendiri tanpa perlu ke zoo.
Baginda turut menyeru orang ramai membeli buku Pusaka Bumi itu sebagai sokongan kepada golongan yang kurang bernasib baik memandangkan sebahagian daripada hasil jualannya akan disalurkan ke Tabung Kanak-kanak Leukemia.
Buku piktorial alam semulajadi hasil karya Omar Ariff Kamarul Ariffin yang mengandungi 160 imej flora dan fauna di negara ini merupakan hasil penggambarannya selama 10 bulan ke hutan-hutan seluruh negara.
Buku terbitan YSB itu juga mengandungi puisi yang dinukilkan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tan Sri Kamarul Ariffin Mohamed Yassin bertajuk Pusaka Bumi.
YSB akan mendermakan sebanyak 2,000 naskhah buku tersebut ke perpustakaan sekolah-sekolah pedalaman terpilih bagi membentuk perasaan ingin melindungi alam sekitar di kalangan penduduk luar bandar.
No comments:
Post a Comment