KUALA LUMPUR 5 Jun – Kementerian Pelancongan menasihatkan orang ramai supaya meneliti terlebih dahulu tawaran harga sesuatu pakej pelancongan oleh agensi pelancongan dan pihak hotel sebelum membuat tempahan bagi mengelakkan ditipu.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, rakyat tidak wajar mempercayai secara membabi buta tawaran-tawaran harga bilik hotel yang terlalu murah tanpa memeriksa pakej yang ditawarkan terlebih dahulu.
‘‘Pelanggan perlu bijak bagi mengelakkan kerugian akibat ditipu oleh agensi pelancongan atau pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan,’’ katanya pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat beberapa Menteri Pelancongan negara asing di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas laporan akhbar semalam tentang pelancong tempatan yang tidak dapat menginap di sebuah hotel walaupun telah membuat tempahan tiga bulan lebih awal dan membayar deposit sebanyak RM7,000.
Perkara tersebut, jelas Tengku Adnan, telah diserahkan kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam untuk siasatan lanjut.
Pihak Kementerian Pelancongan, tambah beliau, akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen hotel atau agensi pelancongan sekiranya terbukti mereka menipu pelanggan.
Pada masa yang sama beliau meminta Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) supaya memantau semua agensi pelancongan di bawahnya untuk mengelakkan perkara yang sama berulang.
Terdahulu, Tengku Adnan menerima kunjungan hormat daripada menteri dan wakil menteri pelancongan dari negara Yaman, Mozambique, Brunei, Kemboja, Kenya dan Myanmar sempena Persidangan Pelancongan Sedunia 2007.
Dalam persidangan selama tiga hari yang bermula di sini semalam, seramai 25 pakar yang terlibat dalam industri pelancongan berkongsi pengalaman mengenai kejayaan masing-masing dengan 826 peserta persidangan dari 72 negara.
Tengku Adnan berkata, beberapa negara termasuk Kazakhstan, Laos, Lebanon, Syria, Sudan, Uzbekistan dan Yaman mencadangkan agar Malaysia melatih pegawai pelancongan dari negara mereka yang akan dihantar ke negara ini untuk berkongsi pengalaman dalam industri itu.
‘‘Kementerian Pelancongan telah bersetuju dengan cadangan tersebut dan akan bekerjasama dengan Institut Tadbir Awam Negara (Intan) untuk menyediakan modul latihan itu,’’ ujarnya.
Sebagai balasan, negara-negara tersebut akan membantu pelabur dari Malaysia yang berminat untuk mengembangkan potensi pelancongan ke negara mereka.
Selain itu, menurut Tengku Adnan, Pameran Angkasa Lepas Antarabangsa Malaysia yang dijadualkan bermula hari ini di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang telah ditangguhkan pada 28 Julai ini.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai sebab-sebab penangguhan tersebut.
No comments:
Post a Comment