Saturday, 27 December 2008

Cabaran Perhentian menguji kecekalan peserta

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Gambar FAUZI BAHARUDIN
Mendayung kayak secara berpasangan memerlukan kerjasama dan persefahaman di antara pasangan untuk bersaing mendahului pasukan lain dalam Cabaran Pulau Perhentian.

Pulau Perhentian Terengganu nyata lokasi yang amat sesuai untuk penganjuran lumba lasak.

Cabaran Pulau Perhentian 2008 (PIC08) pada akhir Oktober lepas iaitu sewaktu musim tengkujuh dan laut gelora dijangka tapi hakikatnya cuaca cerah dan panas sepanjang acara. Ini sekali gus menonjolkan keindahan laut dan pantai pulau itu.

Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori Elite (secara berpasangan) dan Novice (secara individu).

Kategori Novice agak mudah yang mana peserta hanya perlu berlumba mengelilingi Pulau Perhentian Kecil mendaki bukit dan merentasi pantai selain cabaran mudah ala komando merangkak di bawah kawat dawai dan melompat di dalam gelung.

Ini membolehkan ramai peserta menghabiskan larian dalam masa kurang kurang satu jam 30 minit.

Ini cukup berbeza dengan kategori Elite. Sebagai permulaan, para peserta telah berkumpul seawal pukul 8 pagi begitu juga penduduk kampung yang kelihatan cukup teruja menikmati acara besar yang singgah ke pulau mereka setahun sekali itu.

Tetapi ekoran pelbagai kesilapan yang tidak dijangka, peserta terpaksa menunggu lama untuk pelepasan dan hanya mula berlari pada kira-kira pukul 10 pagi.

Pesaing kategori Elite dimaklumkan perlu mendapatkan kayak masing-masing yang telah dilabelkan mengikut nombor pasukan yang telah disusun mengikut turutan. Cuma ia tidak semudah itu.

Kayak tidak disusun mengikut turutan, pendayung dan jaket keselamatan tidak mencukupi malah nombor tidak dilabelkan dengan baik, sebaliknya hanya ditulis dengan angka kecil dan sukar dilihat akibat silauan matahari yang makin meninggi.

Merentasi selat

Jadi bayangkan cabaran yang dihadapi para peserta yang terpaksa menghadapi suasana yang cukup kelam kabut dalam cuaca pulau yang cukup panas terik.

Pasangan peserta perlu mendayung merentasi selat untuk ke Pir di Perhentian Besar dan berlari melalui denai hutan yang berbukit sebelum keluar semula ke pantai Pir.

Seterusnya pasangan perlu berlari di atas pasir ke pantai Teluk Keke yang mana mereka perlu menyelam turun ke laut bagi menaikkan satu karung pasir.

Cabaran selepas itu ialah berenang di laut pada jarak tertentu. Ia bagaimanapun dibatalkan selepas beberapa peserta diserang obor-obor dan digantikan dengan rehat wajib selama 10 minit.

Pesaing Elite seterusnya perlu bergegas kembali ke Pantai Pir bagi mendapatkan semula kayak mereka untuk berdayung ke Pantai Bubu di Perhentian Kecil.

Dari Pantai Bubu mereka berlari menghala ke laluan kategori Novice untuk cabaran ala-komando sebelum berlari untuk kembali ke tempat permulaan. Pastinya masing-masing menarik nafas lega apabila memijak garisan penamat selepas cabaran yang mengambil masa kira-kira empat jam.

Disengat obor-obor

Bisa disengat obor-obor malah bukan satu tapi tiga kali sama sekali tidak memperlahankan langkah Heidilee Mohammad, 25. Walaupun terganggu dengan kesakitan, beliau terus nekad mengharungi cabaran PIC08 bersama pasangannya Muhamad Razini Husain, 42.

Pasukan bergelar Solomon Powerbar yang pernah menyertai PIC beberapa kali sebelum itu, telah menjuarai kategori Lelaki Elite selepas menamatkan cabaran dalam tempoh 3 minit 25 saat.

Bagi Heidilee, pertandingan kali ini lebih sukar dari sebelumnya, tambahan pula bulan puasa menjadikan latihan persediaan kali ini agak terhad.

Kategori Campuran Elite telah diungguli oleh peserta pertama kali, pasukan Power ATM dari Sabah yang terdiri daripada ibu beranak dua, Mariana Mohammad dan Juseri Gani.

Kedua-dua pasangan itu membawa pulang hadiah utama tunai RM4,000 beserta hadiah iringan manakala juara-juara kategori Novice menerima RM1,200 beserta hadiah iringan.

Kategori Novice lelaki barangkali cukup mudah bagi seorang pelajar Kolej KDU dari Ghana iaitu Richard Habeya, 21, yang pernah menjuarai kategori yang sama sebanyak tiga kali berturut-turut.

Habeya mendahului cabaran dengan catatan masa satu jam sembilan minit, hanya dua minit dihadapan pencabar terdekat Kunasegaran Ramakrishnan, 29.

PIC telah memasuki tahun penganjuran kelima dan menarik perhatian 309 peserta dengan 91 penyertaan untuk kategori Novice lelaki, 58 Novice wanita, 40 pasukan Elite lelaki dan 40 pasukan Elite campuran.

Tidak hairanlah sambutan yang diterima cukup hangat dengan yuran penyertaan hanya RM170 memandangkan PIC kali ini disubsidi bersempena Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Terengganu 2008.

Pakej penyertaan juga sangat berbaloi kerana bayaran itu termasuk pengangkutan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Kuala Besut, khemah untuk penginapan, pengangkutan bot dan makanan sepanjang tiga hari, perlindungan insuran dan kemeja-T.

Saturday, 20 December 2008

Luncur ombak tarikan Cherating

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Antara aksi peluncur ombak yang menceriakan pantai Cherating pada musim tengkujuh tahun lepas.
CHERATING terkenal sebagai lokasi tumpuan hujung minggu warga kota ekoran kedudukannya sebagai pantai terindah yang paling dekat dengan Kuala Lumpur.

Pohon-pohon palma dan ru membarisi pasir putih pantainya yang luas dan saujana mata memandang. Pada musim panas dan disinari hangat matahari, pantai ini bagaikan syurga bagi pelancong dari negara-negara Barat dan mereka yang mendambakan santai pantai.

Suatu masa dahulu, pantai tersebut hanya popular di kalangan pelancong bajet (backpacker). Tapi kini, Cherating telah menjadi destinasi pelancongan penting Pahang dan menyaksikan penubuhan banyak entiti berkaitan budaya termasuk kedai-kedai cenderamata, kraf tangan dan canting batik.

Sebagaimana pantai-pantai lain di persisiran Pantai Timur yang membuka kepada Laut Cina Selatan, Pantai Cherating juga menerima kesan musim tengkujuh akibat terdedah kepada cuaca dan angin Monsoon Timur Laut.

Namun, ini tidak bermakna pantai indah yang terletak tidak sampai 50 kilometer daripada bandar Kuantan itu akan terus lenggang sepanjang musim tengkujuh.

Sejak 2006, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Pahang (MTPN Pahang) telah menjadikan ombak besar dan ganas yang menghempas Cherating sepanjang musim tengkujuh sebagai satu kelebihan bagi memastikan kedatangan pelancong dengan mempromosikan aktiviti luncur ombak.

Pertandingan luncur ombak antarabangsa Cherating kembali lagi. Billabong Pro Am Cherating Surfing 2008, yang menyaksikan persaingan memasuki tahunan ketiga dan dikendalikan oleh MTPN Pahang buat kali ketiga itu, sedang berlangsung sepanjang hujung minggu ini iaitu mulai 19 hingga 21 Disember 2008 di Pantai Cherating Kuantan.

Menurut Pengurus Besar MTPN Pahang, Idros Yahya, seramai 100 orang peserta dijangka akan menyertai pertandingan itu malah setakat ini peluncur dari Jepun, Mesir, Indonesia, Singapura, Peru, Australia, Thailand dan tempatan telah mengesahkan kehadiran mereka.

Penyertaan Billabong, jenama pakaian sukan lasak khususnya berkaitan dengan pelbagai sukan luncur terkenal sebagai penaja utama tahun ini adalah satu usaha merintis penganjuran acara luncur ombak yang lebih besar di Cherating pada masa akan datang.

Kata Idros, Billabong akan menganjurkan Billabong Malaysia Surfing Invitation pada tahun 2009, yang bakal melibatkan lebih ramai pemain luncur professional dari seluruh dunia sekali gus menjadikannya sebagai destinasi sirkit pertandingan luncur ombak utama di Asia pada 2009.

Antara lain, penganjuran sukan itu adalah bagi memperkenalkan Cherating sebagai lokasi sukan luncur kepada peluncur asing dan tempatan, selain merancakkan pelancongan ke Pantai Timur khususnya Cherating pada musim tengkujuh ini.

Pertandingan itu menawarkan hadiah bernilai RM20,000 termasuk barang-barang iringan yang ditaja oleh Billabong, Nixon, Kustom, Vonzipper dan juga pakej-pakej pelancongan menarik oleh hotel-hotel di Negeri Pahang.

Sebanyak lima kategori bakal dipertandingkan iaitu terbuka lelaki, wanita, junior untuk peluncur berusia bawah 15 tahun selain kategori man surfing (bawah 35 tahun) dan body boarding.

Peringkat saringan awal telah bermula sejak semalam (Jumaat) dan hari ini manakala peringkat separuh dan akhir akan berlangsung esok 21 Disember 2008 (Ahad).

Idros berharap agar acara tahunan itu akan menarik minat pelancong dan orang ramai terutama golongan belia untuk lebih mengenali sukan tersebut dan menggunakan peluang itu bagi menyertai klinik luncur ombak yang diadakan dan mempelajari teknik-teknik meluncur dengan betul.

Beliau menjemput orang ramai menghadiri Klinik Luncur Ombak akan diadakan hari ini (Sabtu) pada pukul 2 hingga 4 petang yang bakal dikendalikan oleh pemain luncur ombak profesional tempatan dan juga dari Indonesia.

Acara yang diatur untuk 21 Disember (esok) adalah lebih menarik selain pengunjung dapat menyaksikan kehebatan peluncur yang berjaya memasuki pusingan akhir, pengunjung juga pasti terhibur dengan demonstrasi luncur ombak daripada peluncur profesional Australia dan Indonesia bermula pukul dua petang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita Negeri Pahang Datuk Shafik Fauzan Sharif akan menyempurnakan upacara penutup dan penyampaian hadiah yang dijadualkan pada pukul lima petang esok.

Monday, 15 December 2008

Apabila bukit-bukau ditarah

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Gambar atas, SISTEM akar tunjang yang sempurna membantu tanah menyerap jumlah air yang banyak pada hujan lebat. Gambar bawah, Sebaliknya, tanah bukit yang gondol tanpa sistem akar tidak mampu menahan muatan air berlebihan dan limpahan luar biasa larian air sehingga memungkinkannya tergelongsor.
Cuba anda memandu dan perhatikan dari Hulu Selangor, Gombak dan Selayang, Cyberjaya hingga ke Sepang dan bandingkan pemandangannya dengan keadaan kira-kira 15 tahun lalu.

Jika anda perasan, sepanjang laluan lebuh dan jalan raya utama di negeri Selangor, jelas kelihatan tiada lagi pohon-pohon hijau di sekelilingnya tetapi digantikan dengan ‘hutan-hutan batu’ atas nama pembangunan.

Maka tiada lagi, bukit bukau dan hutan menghijau yang mampu memberikan ketenangan kepada pemandu dan juga melindungi bumi daripada dilanda bencana seperti tanah runtuh.

Tanah runtuh berlaku akibat pembangunan tanpa mengambil kira atau memahami peranan hutan dan bukit bukau sebagai kawasan tadahan hujan yang penting.

Secara ringkas, kejadian tanah runtuh Bukit Antarabangsa dua minggu lepas berlaku kerana kejadian gelongsoran tanah apabila kawasan berkaitan yang telah sedia longgar tidak dapat menampung penambahan berat akibat tepu dengan air hujan.

Sokongan sistem akar

Faktor penyebab bencana itu ialah lapisan tanah yang longgar dan ketiadaan sistem akar bagi memegang partikel tanah.

Ketua Bahagian Ekologi dan Akuatik, Pusat Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia, Mohd. Hifni Mohd. Baharuddin, membantu wartawan Mega mempermudahkan konsep ini.

Katanya, hutan di kawasan bukit secara semula jadi mempunyai peranan penting sebagai kawasan tadahan hujan, manakala sistem akar tunjang yang terdapat di dalam ekosistem hutan yang sihat berfungsi memegang dan menetapkan partikel tanah untuk kukuh di tempatnya.

Dalam keadaan semula jadi, limpahan air hujan akan jatuh pada kanopi pokok terlebih dahulu, sebelum tiba dan diserap ke dalam tanah dan seterusnya mengalir melalui kitaran hidrologi yang normal.

Jelas Mohd. Hifni, tanah berperanan bak ‘span’ yang menyerap lebihan air hujan. Sistem akar tunjang dari pokok-pokok besar yang berada jauh ke lapisan tanah yang lebih dalam akan memegang ‘span’ tanah ini bagi membolehkannya menyimpan serta melepaskan lebihan air sedikit demi sedikit.

“Oleh itu, kita dapat lihat banyak larian air yang kecil seolah-olah keluar dari mata air di kawasan bukit-bukit berhutan,” terang pakar ekologi itu.

Sebaliknya, tanpa hutan, kawasan tanah tinggi yang mana tanahnya terdedah tanpa akar-akar tunjang dari pokok-pokok besar, limpahan hujan lebat akan terus jatuh dalam jumlah yang besar ke atas tanah.

Justeru, tanah terpaksa menyerap jumlah air yang banyak dengan segera.

‘Span’ tanah

“Masalahnya, partikel tanah ini telah longgar berbanding tanah yang kaya dengan sistem akar semula jadi, mengakibatkan ‘span’ tanah cepat menjadi tepu,” tegas beliau.

Tanpa sokongan daripada sistem akar, ‘span’ yang telah tepu itu tidak mampu menampung berat air berlebihan, lalu tergelongsor sebagai tanah runtuh.

Contoh yang dipermudahkan, pertimbangkan satu keluasan dan kedalaman tertentu tanah kawasan berbukit. Selepas hujan lebat beberapa hari, tanah itu mungkin hanya mampu menampung berat partikel tanah bercampur air seberat 10 tan sahaja dan mula menggelongsor menjadi tanah runtuh.

Sebaliknya, tanah dengan keluasan dan kedalaman sama yang disokong dengan kehadiran sistem akar tunjang daripada beberapa pokok besar, mampu menyerap malahan menampung dua atau tiga kali ganda daripada berat tersebut.

Inilah sebabnya bukit yang ditarah mempunyai risiko tanah runtuh yang sangat tinggi akibat lapisan tanahnya yang lebih terdedah.

Selain mengawal tanah runtuh, konsep ‘span’ tanah dan sokongan daripada sistem akar tunjang turut berperanan mengawal limpahan air yang boleh menyebabkan banjir kilat.

“Inilah sebabnya kawasan tadahan hujan amat perlu dipulihara dan dikekalkan sebagai satu entiti besar semula jadi tanpa gangguan pembangunan,” jelasnya lagi.

Meliputi tanah tinggi yang ditarah dengan rumput atau tumbuhan renek (misalnya, tanaman sayur) juga tidak membantu span tanah. Ini kerana sistem akar tumbuhan sebegini hanyalah akar rerambut yang dangkal dan tidak mampu memegang lapisan tanah yang lebih dalam.

Di Tanah Tinggi Cameron Highlands misalnya, hutan semula jadi boleh dikatakan hampir tidak lagi wujud ekoran terlalu banyak tarahan bukit menjadi ladang-ladang sayur.

Liputan sebegitu hanya melindungi bukit daripada hakisan akibat hujan ringan tetapi risiko tanah runtuh tetap tinggi semasa hujan lebat.

Selain itu, membajak tanah untuk pertanian juga melonggarkan tanah.

Justeru, Mohd. Hifni berharap supaya kawasan tanah tinggi dipulihara dan dilindungi sepenuhnya.

“Lagipun, membangunkan kawasan tadahan hujan sudah tentulah berbahaya dan berisiko tinggi, jadi untuk apa membahayakan rakyat dengan mengganggu kawasan sebegini?” soal beliau.

Pendek kata, jadikanlah kejadian Bukit Antarabangsa sebagai satu pengajaran untuk kita khususnya kepada pihak-pihak yang melobi, memaju dan meluluskan projek pembangunan kawasan bukit.

Saturday, 13 December 2008

Hutan Bakau Kuala Selangor dipertahan

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI

Apa pengajaran terbesar untuk kita selepas kejutan tsunami 24 Disember 2004 lalu?

Selain kemusnahan yang cukup besar sehingga mengorbankan 57 nyawa sudah tentulah kita akhirnya menyedari akan kepentingan perlindungan dan pemuliharaan hutan bakau di persisiran pantai.

Hutan yang sering dikorbankan oleh usahawan kolam udang itu terbukti berperanan penting sebagai benteng terbaik fenomena semula jadi persisiran pantai termasuk tsunami.

Malapetaka itu secara tidak langsung telah memangkin pemuliharaan hutan-hutan bakau, di Malaysia dan juga negara-negara lain yang terjejas.

Hutan bakau bukan sahaja penting untuk melindungi kawasan persisiran pantai daripada air pasang luar biasa, musim tengkujuh dan hakisan tetapi juga berperanan penting bagi memampan fenomena pemanasan global.

Melalui kebolehan hutan bakau menyimpan karbon, ia membantu mengawal keseimbangan dan jumlah karbon dioksida dalam udara seterusnya mengurangkan jumlah dan impak dari gas-gas rumah hijau.

DIGI Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi), barangkali syarikat ICT yang paling aktif dalam pelbagai inisiatif menangani perubahan cuaca di Malaysia.

Terbaru, mereka melancarkan The Mangrove Treasures of Kuala Selangor, projek pertama dalam program Deep Green NOW, iaitu projek memelihara hutan bakau Kuala Selangor melibatkan pemuliharaan dan menghutankan semula ekosistem tersebut.

Lebih bermakna projek DiGi turut melibatkan enam buah sekolah menengah daerah Kuala Selangor, selain kerjasama dengan penerima sulung Anugerah Merdeka yang mengiktiraf sumbangan ulung kepada kebaikan dan kemajuan Malaysia untuk Kategori Alam Sekitar, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Kehilangan bakau terburuk

Sekolah-sekolah yang terlibat termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz, Sekolah Sains Kuala Selangor dan Sekolah Menengah Sri Tanjung.

Sekolah yang lain ialah, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman Shah, Sekolah Menengah Tiram Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Harun.

Ketua Pegawai Eksekutif DiGi, Johan Dennelind berkata projek itu antara lain bertujuan menarik generasi muda bagi terlibat aktif untuk meningkatkan kesedaran dan memelihara ekosistem bakau kawasan tersebut.

Katanya, kemerosotan hutan bakau negara mesti diberi perhatian serius memandangkan Malaysia adalah salah satu daripada lima negara yang mengalami kehilangan bakau paling buruk dunia sejak 1990 akibat tebusguna tanah.

Selain itu, katanya, Laporan Penilaian Hutan Bakau Dunia (1980-2005) daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) melaporkan lebih separuh daripada 3.6 juta hektar hutan bakau Asia telah dimusnahkan sejak tahun 1980.

“Di Asia, lebih 1.9 juta hektar hutan bakau telah dimusnahkan dalam masa yang singkat khususnya untuk dijadikan kolam ikan dan udang selain pertanian, infrastruktur dan pelancongan.

“Ini amat merunsingkan. Telah tiba masanya untuk kita berhenti menunggu sebaliknya mengambil tindakan segera,” katanya.

Bersama MNS, DiGi mahu memperkasakan masyarakat Kuala Selangor dan meningkatkan kesedaran serta pemahaman mereka tentang peranan utama hutan bakau dan ekosistem persisiran pantai yang telah menyokong kehidupan mereka.

Secara keseluruhan, seramai 120 pelajar tingkatan 1, 2 dan 4 terlibat dalam projek komuniti melibatkan tiga fasa iaitu Engage, Activate dan Empower itu.

Modus operandi projek ini ialah MNS akan membimbing para pelajar dan sukarelawan DiGi untuk menanam semula hutan bakau bagi memulihara ekologi bakau Kuala Selangor yang cukup sensitif.

Fasa pertama, termasuk menanam semula anak-anak bakau, pemantauan kualiti tanah dan air serta mengesan dan melapor sebarang perubahan dalam penanda-penanda biodiversiti untuk populasi tumbuhan dan hidupan liar.

Fasa seterusnya melibatkan program pendidikan alam sekitar dan satu kurikulum khusus berkenaan perubahan cuaca di sekolah-sekolah terlibat.

DiGi juga akan menggalakkan penubuhan Kelab Alam Semulajadi di sekolah-sekolah bagi membolehkan kumpulan perintis itu berkongsi pengetahuan dan pengalaman kepada rakan-rakan lain.

Dennelind yakin bahawa platform alam sekitar yang disemai kepada pelajar itu bakal 'menjangkiti' lebih banyak lebih ramai ahli masyarakat untuk turut sama melindungi hutan bakau.

Layari www.digi.com.my/ deepgreen/ atau www.mns.org.my untuk maklumat lanjut.

Kota Keriangan saji persembahan bertaraf dunia

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Kota Keriangan Genting bukan sahaja menawarkan pelbagai permainan untuk seisi keluarga malah merupakan lokasi pilihan pelbagai hiburan bertaraf antarabangsa.
Ke mana kita hujung minggu ini? Apa kata bawa keluarga dan sahabat handai ke Kota Keriangan Genting. Sambil-sambil meluangkan masa dengan keluarga dan bergembira dengan pelbagai permainan yang sedia ada, raikan juga kegemilangan kumpulan kebudayaan dari Istana Budaya, ‘Team Malaysia’ yang telah terkenal di mata dunia melalui persembahan Showcase Malaysia di Kota Keriangan itu.

Team Malaysia akan membuat sembilan persembahan hebat bermula semalam sehingga esok (Ahad), pada pukul 11 pagi, 4.30 petang dan 8 malam di tiga lokasi sekitar Kota Keriangan Genting.

Sementara itu, pelancaran Showcase Malaysia akan disempurnakan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd. Shafie Apdal pada pukul 11 pagi ini (Sabtu) di Time Square, First World Plaza.

Pastinya persembahan daripada 20 ahli yang terdiri daripada penari Istana Budaya (IB) yang dikenali sebagai Artistana, pemuzik IB (Istamuzika), penyanyi jazz hebat Noryn Aziz serta Iqwal dan dua model, Zeia dan Azura, menjanjikan persembahan bertaraf dunia yang cukup hebat dan gilang gemilang.

Juara dunia

Tambahan pula kumpulan itu telah berjaya menerima pengiktirafan yang cukup besar semasa pertandingan Kejuaraan Persembahan Seni Dunia kali ke 12 (12th World Championship of Performing Arts) di Los Angeles Amerika Syarikat (AS) yang telah berlangsung pada 17 hingga 26 Julai lepas.

Lebih menakjubkan, semasa persaingan yang menyaksikan lima ribu peserta daripada 41 negara itu, Team Malaysia telah berjaya merangkul 15 gelaran Champion of the World, 27 pingat emas, tujuh perak dan dua gangsa.

Selain itu, Team Malaysia juga berjaya merangkul anugerah Pakaian Kebangsaan Terbaik dalam perarakan di City Walk Universal Studio, Hollywood.

Tuesday, 9 December 2008

Aktivis alam sekitar Body Shop

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Jennifer Chan (depan) mengetuai sukarelawan The Body Shop dalam lawatan pertama mereka menjelajah Hutan Belum-Temengor baru-baru ini.

JENAMA kelengkapan penjagaan penjagaan diri dan kosmetik antarabangsa, The Body Shop, mempunyai reputasi dan etika yang cukup tinggi khususnya dalam aktiviti berkaitan kesukarelawan.

Percaya dengan semangat aktivisme, jenama tersebut kini memberi penekanan dalam pelbagai kempen sukarelawan dan menggalakkan tenaga kerjanya untuk terlibat sama dengan lebih aktif.

Menurut Pengurus Komunikasi Pemasaran The Body Shop, Jennifer Chan, pihaknya telah melancarkan sambutan hari ‘Saya Seorang Aktivis’ (I Am An Activist) pada 23 Oktober lalu dan bakal dirai setiap tahun sebagai penghormatan kepada pengasasnya, mendiang Dame Anita Roddick.

Antara penglibatan yang penting di bawah program ini ialah Projek Kenyalang di kompleks hutan hujan Belum-Temengor (kompleks BT), Gerik, yang menyaksikan sukarelawan The Body Shop berganding bahu dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), ‘sahabat karib’ mereka untuk kempen alam semula jadi.

Jenama ini adalah penyokong utama kempen Selamatkan Belum-Temengor sejak 2006 sehingga berjaya membantu dalam pengisytiharan Taman Negeri Royal Belum.

Namun, kempen hijau mereka tidak terhenti di situ. Dengan semangat aktivisme, Jennifer dan lapan sukarelawan The Body Shop telah menyertai lawatan MNS buat pertama kali ke kompleks BT baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memainkan peranan penting dalam kempen kesedaran dan pengumpulan dana untuk terus membantu usaha MNS bagi memulihara dan melindungi kompleks BT daripada sebarang aktiviti pembalakan.

“Pada September yang lepas, melalui kempen Kick The Habit Bag kami berjaya mengumpul sebanyak RM91,953 untuk disumbangkan kepada MNS,” katanya.

Sumbangan daripada orang awam itu, akan digunakan untuk membiayai inisiatif pemuliharaan dan perlindungan di Hutan Simpan Temengor supaya kawasan hutan hujan itu dapat diwartakan.

Ini termasuk penyelidikan dan pemantauan pergerakan hidupan liar, aktiviti kesedaran dan pendidikan alam semula jadi untuk masyarakat tempatan dan lain-lain.

Tegasnya, usaha mewartakan hutan Temengor bukan satu tanggungjawab yang hanya terletak pada bahu MNS, tetapi ia memerlukan bantuan semua rakyat Malaysia dengan segera.

Selain, menyokong isu perlindungan alam sekitar, tambah Jennifer, Yayasan The Body Shop yang juga merupakan tabung kebajikan bagi perlindungan haiwan dan hak asasi manusia telah mendermakan RM78,800 kepada badan-badan berkenaan.

Menyokong kempen

Sementara itu, orang ramai boleh menyokong kempen dan menjadi aktvis Body Shop dengan dengan membeli beberapa produk seperti Candle of Conscience, di mana bagi setiap pembelian lilin tersebut sebanyak RM9 akan disalurkan ke tabung yayasan dan badan bukan kerajaan (NGO) terpilih.

Begitu juga bagi Carry a Bag for Life, di mana sebanyak RM6.90 daripada setiap beg yang terjual akan disalurkan ke badan kebajikan kanak-kanak tertindas. Seterusnya Condom Play Safe, Prevent HIV yang digunakan bagi membiayai projek Pendidikan HIV/AIDS.

Saturday, 6 December 2008

Bulan madu santai di Taman Negara

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Peluang mengenal alam semula jadi dengan lebih rapat.

Berbulan madu bukan sekadar untuk pasangan baru berkahwin. Tidak kira berapa usia anda dan pasangan hidup anda, asalkan anda saling mencintai atau ingin meremajakan perhubungan, anda wajar berbulan madu.

Apa kata hadiahkan diri anda berdua dengan satu trip pelancongan yang unik dan pasti diingati di Taman Negara.

Tidak perlu terkejut, Taman Negara juga menawarkan keseronokan percutian santai yang bening dan mendamaikan, bukan sekadar untuk penggemar cabaran.

Hantar sahaja anak-anak kecil anda ke kem cuti sekolah dan anak-anak remaja anda ke kem rekreasi atau lumba lasak.

Hubungi Mutiara Taman Negara, satu-satunya resort yang terletak di dalam kawasan perlindungan ini dan bertanya mengenai program bulan madu empat hari tiga malam atau tiga hari dua malam yang ditawarkan.

Jika pakej itu menjadi pilihan anda, khidmat menarik yang bakal anda terima termasuk sarapan pagi di dalam bilik dan makan malam candlelight beserta layanan butler dan aktiviti terpilih bersama jurupandu alam semulajadi berpengalaman.

Aktiviti wajib Taman Negara sudah pasti dengan berjalan di atas titian silara. Pengalaman berjalan sejauh 530 meter pada ketinggian 45 meter sama sekali bukan sesuatu untuk dilepaskan.

Jika ingin berenang, pilih samaada anda ingin berenang bersama Raja Ikan Sungai di Kelah Santuari di Lubuk Tenor atau di jeram Lata Berkoh.

Kedua-duanya ialah air sungai yang sangat sejuk dan bersih serta sudah pasti lebih tulen dan sihat berbanding kolam-kolam mandi.

Manjakan Diri

Penat bersiar-siar? Manjakan diri anda dengan rawatan spa tradisional DiRaja Melayu menggunakan herba semulajadi hutan tropika di Ayer Spa.

Kata seorang petugas yang dikenali sebagai Martina, meskipun baru dibuka kurang setengah tahun yang lalu, Ayer Spa mendapat sambutan yang sangat menggalakkan terutama daripada pengunjung-pengunjung 'Mat Salleh'.

Pada sebelah malam pula, sertai lawatan nightwalk. Anda hanya perlu berjalan kira-kira satu kilometer masuk ke dalam hutan yang mengelilingi Mutiara Taman Negara malah separuh daripada perjalanan mudah itu, hanya memerlukan anda berjalan di atas titian pelantar kayu.

Jika anda bernasib baik, anda mungkin terserempak dengan haiwan-haiwan yang aktif pada malam hari selain cendawan yang bersinar di dalam gelap (pendaflour).

Antara yang berjaya dikesan oleh kumpulan media dalam satu lawatan baru-baru ini ialah kongkang, rusa, ular, kala jengking, labah-labah dan beberapa jenis burung.

Menyamankan tidur

Kemudian berehatlah dengan menghirup kesegaran secawan teh atau kopi panas sambil menikmati ketenangan romantis pemandangan sungai dari Restoran Seri Mutiara.

Lagipun, dendangan lagu alam, bunyi riang-riang, pelbagai burung dan kuang raya bagai tidak pernah terhenti sepanjang siang dan malam pasti menyamankan tidur anda.

Tinggalkan Taman Negara melalui perjalanan bot menyusuri Sungai Tembeling ke jeti Kuala Tembeling yang baru dinaik taraf beberapa tahun lepas.

Perjalanan bot penumpang berkelajuan sederhana hampir dua jam itu membolehkan pelancong benar-benar menikmati keheningan dan merakamkan keindahan alam dari pandangan sungai.

Perjalanan kira-kira dua jam itu tidak pernah membosankan kerana apa yang anda dapat menyaksikan bukan setakat pemandangan tumbuhan dan burung hutan hujan tropika dara.

Buka mata kerana anda mungkin terlihat haiwan-haiwan liar yang lebih sukar ditemui mendapatkan air di tebing sungai seperti kumpulan gajah atau seladang. Malah tidak mustahil harimau jika anda cukup bertuah.

Pergerakan bot membelah air bagaimanapun terasa bagaikan hayunan lembut buaian rajut boleh membantu anda melupakan segala beban di kepala dan mungkin menyebabkan anda terlena.

Oleh itu, tidak perlu serabut kepala atau penat badan, ambil masa dan nikmatilah Taman Negara.

Hubungi Mutiara Taman Negara di talian 09-2663500/ 03-27822222 atau e-mel rmtn@mutiarahotels.com atau pravind@mutiarahotels.com untuk maklumat lanjut.

Saturday, 29 November 2008

TV Iraq pilih rekreasi lasak di Malaysia

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI Gambar ZULKARNAIN MOHD SAIDIN
Peserta dari kedua-dua pasukan saling menyokong antara satu dengan lain seolah-olah bukan persaingan.

Kita bertuah kerana bebas melakukan pelbagai aktiviti-aktiviti rekreasi lasak.

Tidak kira rekreasi udara, darat atau air, Malaysia lengkap segala-galanya sehingga menjadi pilihan ramai warga asing seantero dunia yang datang setiap tahun secara berkala bagi menyertai pelbagai pertandingan cabaran lasak.

Baru-baru ini, negara menjadi lokasi pilihan untuk satu program televisyen anjuran saluran televisyen bebas Iraq, Al-Sharqiya yang berpangkalan di Dubai untuk rancangan realiti TV berjudul Free.

Free adalah satu pertandingan keberanian dalam tempoh dua bulan melibatkan penjelajahan 25 peserta ke seluruh Malaysia bagi melakukan pelbagai aktiviti rekreasi lasak dan mencabar.

Lebih bermakna, rancangan itu bukan sahaja akan disiarkan di Iraq dan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) malah mungkin ke seluruh Asia Barat, kata pengacara rancangan, Rosil Azauui.

Peserta perlu menyelesaikan 50 aktiviti-aktiviti lasak berbeza seperti berkayak jeram deras, luncur udara, ikhtiar hidup dan sebagainya, juga dakian tebing batu terkenal di Kampung Wira Damai, Batu Caves.

Secara tidak langsung rancangan itu akan memperkenalkan negara sebagai syurga peminat rekreasi lasak seterusnya menjana industri pelancongan rekreasi negara menjadi lebih pesat dari pasaran Asia Barat.

Kata Azauui, Malaysia dipilih kerana keunikan lanskap dan alam yang indah membolehkan mereka bertanding dalam pelbagai aktiviti.

Paling penting, tambahnya, faktor bebas dan aman yang amat menakjubkan bagi mereka yang berasal dari negara yang telah bergolak sekian lama membolehkan anak-anak muda itu didedahkan dengan erti kebebasan sebenar.

Semua peserta adalah anak jati dari Iraq meskipun mempunyai latar belakang yang amat berbeza dari segi dialek, pekerjaan juga suku kaum seperti Muslim Sunni dan Syiah, Kristian, Kurdis dan Arab.

Azauui berulangkali menegaskan bahawa mereka mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Iraq bukan masyarakat yang suka bertelagah seperti yang diuar-uarkan oleh media asing sebaliknya rakyat Iraq cintakan keamanan dan saling menyayangi.

Peserta yang dibahagikan kepada dua kumpulan itu sebenarnya merebut hadiah yang bernilai AS$300,000 (RM982,307) tetapi cara pengagihan masih dirahsiakan penerbit, cuma antara yang bakal dipertimbangkan ialah individu yang memberi contoh terbaik dalam sahsiah diri dan keupayaan mencabar diri.

Reaksi yang amat tulen

Semua cabaran rekreasi lasak yang dipertandingkan adalah pengalaman pertama kali kepada semua peserta, jadi mereka amat teruja mencuba hingga bagaikan lupa ini satu pertandingan.

“Reaksi mereka amat tulen, kedua-dua pasukan saling bersorak untuk menyokong ahli pasukan lawan serta saling bantu-membantu, amat menakjubkan,” kata Azauui.

Rata-rata peserta sangat mengagumi Malaysia malah tidak menyangka sebuah negara yang begitu kecil di peta dunia boleh menyediakan begitu banyak keriangan dengan hanya meneroka alam semula jadinya.

Penerbitan siri ini menggunakan khidmat syarikat pengurusan rekreasi lasak bumiputera, Paximej (M) Sdn. Bhd. bagi mencadang dan menyediakan semua aktiviti pertandingan.

Kata Azauui, ada aktiviti yang seolah-olah mustahil dan menakutkan krew produksi yang berasal dari UAE itu, malah beliau sendiri kadangkala merasa bimbang dan mahu meminta pengarah program menghentikannya.

Tetapi, para peserta sangat berjiwa cekal dan tidak takut melakukan mana-mana cabaran yang berbahaya akibat telah terbiasa hidup dalam suasana perang.

“Kami sudah tentu tidak boleh melakukan aktiviti sebegini di Iraq, kami bukan sekadar tiada peralatan atau tenaga profesionalnya malah tiada tempat yang sesuai di Iraq,” jelasnya.

Kata Pengarah Urusan Paximej, Ahmad Kamil Mohamed dalam aktiviti dakian batu Kampung Wira Damai itu, peserta akan dinilai dengan kemampuan mereka mendaki samaada sejauh yang mampu dalam masa 10 minit atau selaju mana mereka dapat mendaki sehingga kira-kira 30 meter ketinggian.

Dapatkan maklumat lanjut di laman web www.adventurecommunity.com atau hubungi talian 603-55120733 atau 603-55128552.

Saturday, 15 November 2008

"Apa kami dapat di Norway!"

Adam, Isa dan Azri bersama-sama pengiring delegasi Kenya bergambar bersama seorang 'wanita Viking dari Zaman Besi Eropah.

Bak kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim semasa melancarkan kem Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) beberapa bulan lepas, kanak-kanak generasi kini sangat bertuah kerana menerima pelbagai peluang pendidikan luar kelas dari pelbagai agensi dan pihak swasta.

Malah sembilan ahli YAWA yang hanya berusia di antara 12-14 tahun telah mewakili YAWA untuk ke Persidangan Kanak-kanak berkenaan Alam Sekitar UNEP/ TUNZA di Stavanger, Norway baru-baru ini.

Persidangan tersebut yang bertemakan Creating Change adalah anjuran Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) dan Young Agenda 21 of Norway dengan sokongan Kementerian Perhubungan Antarabangsa Norway dan kementerian Alam Sekitar Norway.

Lebih 1,000 duta kanak-kanak dari 105 negara telah terlibat secara aktif dalam pelbagai bengkel dan kerja lapangan.

Melahirkan kebimbangan

Lebih mengagumkan, kanak-kanak tersebut telah menghasilkan idea-idea hebat yang diluahkan dalam pelbagai pembentangan projek.

Dalam usia muda mereka mampu mengenalpasti dan melahirkan kebimbangan terhadap situasi terkini persekitaran dan kesan perubahan cuaca terhadap negara mereka, malah mencadangkan beberapa penyelesaian yang cukup praktikal.

Duta-duta kecil Malaysia juga sangat membanggakan. Mereka amat aktif dan sentiasa menggunakan peluang masa senggang untuk mengetuai pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak lain.

"Paling menarik ialah mendapat kenalan baru dari negara-negara yang tidak pernah dikenali sebelum ini. Ia merupakan pengalaman sekali seumur hidup yang hebat," kata Amalina Rahmat, 13, yang memainkan peranan sebagai setiausaha.

Apa yang pasti, keadaan cuaca sejuk dan hujan meskipun dalam musim panas Norway serta terpaksa melawan kesejukan angin Artik dari kutub utara, sama sekali tidak melunturkan semangat kanak-kanak tersebut. Malah semangat mereka semakin berkobar-kobar.

Mereka cukup memahami inilah pengalaman sekali seumur hidup. Jadi mereka menggunakan sebaiknya segala peluang yang ada dan benar-benar menikmatinya.

"Bengkel yan g paling digemari ialah Hands Across the Ocean yang dipimpin oleh pelukis hidupan laut unggul dunia, Wyland," kata Amalina.

"Saya cukup tertarik dengan cara dia bercerita mengenai ekosistem marin kita yang cukup indah tetapi rapuh dengan penuh perasaan dan melukis ikan paus yang sangat besar dalam hanya beberapa minit."

Wyland menegaskan bahawa mereka tidak perlu menjadi pelukis mahir untuk membuat ekspresi diri.

Malah sesiapa sahaja boleh eksploitasi pelbagai warna yang cantik bagi menunjukkan dedikasi dalam usaha menyelamatkan sumber air dunia dan hidupan marin di dalamnya.

Bengkel Wyland disertai oleh Amalina dan Muhammad Isa Ishak, 13, yang turut membantu Wyland melukis beberapa ekor ikan di atas kanvas besar. Lukisan tersebut telah dipamerkan semasa Sukan Olimpik Beijing baru-baru ini.

Ekspresi diri

Adilla Jamaludin, 13, pula terlibat dalam bengkel menjadi wartawan ekologi bimbingan The Eco-Agents, satu pertubuhan alam sekitar utama Norway.

"Saya suka menulis dan bengkel ini banyak memberi panduan untuk saya menulis dengan berkesan," katanya.

Bengkel tersebut memberi ilham untuk peserta menghasilkan ekspresi diri dan berkongsi pengetahuan dan penemuan baru bagi membuat perubahan positif untuk persekitaran.

Muhamad Isa yang memainkan peranan sebagai pemberita juga terlibat dalam bengkel yang cukup menarik, Life at the Coast and in the Sea.

Mereka berpeluang mengenali, menyentuh dan menghidu pelbagai jenis hidupan laut dan belajar cara perikanan secara bertanggungjawab meskipun perlu menaiki kapal dan turun ke laut dalam cuaca yang membeku.

"Saya sangat teruja pertama kali melihat ketam gergasi, saya sama sekali tidak pernah menyangka ia memang sangat-sangat besar. Alam marin cukup menarik," kata Muhammad Isa.

Dalam pembentangan projek alam, YAWA membuat pameran bertemakan Rise Up, Stand Up, Let's Cool the Earth sambil meuar-uarkan kempen Penanaman Pokok Kebangsaan Trees For Life oleh Jabatan Landskap Negara.

Kempen kebangsaan yang telah dilancarkan pada 1996 itu mempunyai matlamat untuk menanam 20 juta pokok menjelang 2020.

Lain-lain duta kecil yang mewakili Malaysia ialah Nur Alia Abu Bakar, 13, sebagai ketua delegasi, Kaiyisah Ilina Shahari, 13, dan Adam Harith, 12, masing-masing berperanan sebagai pemberita.

Dua kanak-kanak bertugas menjadi jurufoto iaitu Jasmin Iman Osman Kamarul Baharin, 13, dan Aqil Safiuddin Adly, 13, manakala Azri Fahmi Md Farid, 14, sebagai juruaudio visual. Pemergian mereka ke Norway diiring oleh lima orang dewasa.

Hasil dari persidangan itu, semua sembilan kanak-kanak yang terlibat akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka dengan rakan-rakan dari sekolah terpilih.

Idea-idea baru yang mereka peroleh juga akan digunakan dalam Persidangan Alam Sekitar Antarabangsa Kanak-kanak YAWA kali keenam di Kuala Lumpur hujung tahun ini.

Maklumat lanjut mengenai YAWA dan persidangan itu boleh didapati di laman web www.yawa.org. atau e-mel kepada yawaoffice@gmail.com atau benjaminlowzm@gmail.com

Friday, 6 June 2008

Keunikan seni bela diri kuno

SMITH akui pengalaman perit sepanjang penggambaran Fight Quest musim pertama, telah membantu mereka mengatasi sebarang ketakutan.

Kini, dia dan Anderson tidak lagi merasa gentar untuk bertarung dengan mana-mana pakar seni bela diri malah lebih bersedia untuk menghadapi penggambaran musim kedua pula.

Namun, dua jejaka tampan yang sentiasa merendah diri ini menegaskan bahawa siri ini sama sekali bukan mengenai mereka, sebaliknya bagi mengangkat dan mempopularkan seni bela diri tradisi dunia yang lain khususnya di dunia Timur.

Berikut adalah antara lokasi latihan Fight Quest :

- Seni Kali di Manila: Seni ini merupakan antara seni bela diri bersenjata paling kuno dunia dan juga paling berbahaya.

- Seni Kungfu di Dengfeng China: Latihan diadakan di pergunungan Songshan yang kaya dengan legenda dan berlatih dengan dua pahlawan sami Shaolin generasi ke-31.

- Seni Karate Kyokushin di Jepun: Sejenis teknik pertempuran tanpa senjata yang ganas, gabungan elemen karate tradisi dengan tinju. Dalam tradisi Kumite, mereka perlu bertarung dengan lima pelawan serentak meskipun dalam keadaan cedera dan lesu.

- Seni Hapkido di Korea: Seni bela diri yang sangat berbahaya dan banyak melibatkan tendangan putaran dan terbang.

- Seni Savate di Marseille, Perancis: Seni bela diri kelasi yang melibatkan banyak tendangan dan imbangan diri di atas kapal laut.

- Seni Pencak Silat di Bandung: Antara latihan paling sukar melibatkan ilmu kebal.

- Tinju Mexico : Tinju gaya Mexico mempunyai tradisi yang panjang dalam melahirkan legenda tinju dunia termasuk Julio Cesar Chavez dan Vicente Saldivar.

- Seni Jiujitsu Brazil di Rio de Janerio : Antara seni bela diri paling ganas dan telah berevolusi dari Jepun sejak 1900. Mereka mendalami seni ini dari keluarga Gracie yang telah mewarisinya sejak sekian lama.

- Seni Kajukenbo di San Francisco : Seni ini dilahirkan dari Hawaii yang menggabungkan pelbagai elemen bela diri Orient. Banyak melibatkan teknik mematahkan tulang.

- Seni Netanya di Israel : Seni yang direka untuk membunuh ini berbentuk militari. Tradisi Krav Maga adalah pertempuran tangan kosong tanpa peraturan yang sangat ganas.

Lokasi-lokasi lain ialah Thailand, India dan Hong Kong.

Menjejak seni bela diri dunia

Pengembaraan Fight Quest
Timur bertemu Barat... Fight Quest memperkenalkan pelbagai seni bela diri tradisi yang telah wujud sejak ratusan tahun dahulu kepada dunia moden.

Saluran dokumentari antarabangsa, Discovery Channel, melalui stesen televesyen berbayar, Astro akan menayangkan satu siri dokumentari terbaru berkenaan seni mempertahankan diri, Fight Quest, bermula 3 Jun depan.

Dokumentari berbentuk realiti itu adalah pengalaman dua petinju, Jimmy Smith dan Doug Anderson yang menjelajah ke 13 lokasi seluruh dunia bagi mempelajari pelbagai jenis dan teknik pertempuran seni bela diri setempat.

Wartawan Mega, WAN KHAIRULL SHAHARA AHMAD GHAZALI dan jurugambar Djohan Shahrin Shah sempat menemuramah dua individu yang begitu kaya dengan persona ini di ibu kota semasa promosi jelajah Asia mereka, baru-baru ini.

Peninju terkenal Amerika Syarikat, Jimmy Smith, 31, dan Doug Anderson, 25, adalah hos bersama siri Fight Quest yang akan mendalami dan membincangkan keunikan seni bela diri setempat, waima seni kuno mahupun seni moden untuk dikongsi bersama dunia luar.

Menariknya, untuk benar-benar dapat menjelaskan kepada penonton apa yang berlaku, mereka sendiri telah mendalami dan mempelajari seni tersebut dengan cara yang agak ekstrem.

Ini kerana di setiap lokasi asal seni tersebut mereka akan berpisah untuk tinggal bersama dua mahaguru seni pencak yang berbeza; satu di kawasan pedalaman dan satu lagi di kawasan bandar dan perlu memahirkan diri dengan teknik yang diajar dalam tempoh masa lima hari sahaja.

Di setiap lokasi, penerbit rancangan dan jurulatih akan memastikan latihan mereka dikerah ke tahap maksimum, paling intensif, paling berat malah dilayan sama seperti pelatih lain yang telah berlatih berbelas-belas tahun.

Pada akhir tempoh pembelajaran tersebut, mereka akan berkumpul semula untuk berbincang, berlatih dan bersedia menghadapi pertarungan sebenar dengan pelawan profesional tempatan seni bela diri berkenaan.

Apa yang akan berlaku, menurut Smith dan Anderson, sama sekali tidak dapat dijangka oleh sesiapa. Ini kerana lawan mereka adalah merupakan mereka yang betul-betul mahir dan seni tersebut.

Ujar Anderson, pertempuran dengan pakar-pakar tersebut adalah pertarungan sebenar yang sangat kejam, sama sekali bukan lakonan dan tanpa belas kasihan yang akan penonton saksikan pada akhir setiap episod.

“Penonton akan dapat melihat kami dibelasah dengan teruk dalam pertarungan-pertarungan utama tersebut, adakalanya kami menang tetapi selalunya kalah,” katanya berseloroh.

“Malah ada pengarah bersama tempatan di salah satu lokasi sangat terkejut dan terlalu bimbang selepas melihat kami dibelasah dengan ganas hingga dia meminta pertarungan dibatalkan,” kata Anderson.

Sambil mengangguk, Smith menjelaskan, siri ini bakal menjadi pengalaman mengejutkan bagi sesiapa yang menyaksikannya buat pertama kali sama ada penonton atau krew, malah kepada mereka sendiri.

Sepanjang penggambaran Fight Quest musim pertama itu, Smith dan Anderson masing-masing telah mengalami pelbagai dugaan dan kecederaan tetapi mereka tetap bertahan dan tidak mahu menarik diri.

“Kami pernah dikejarkan ke hospital berkali-kali, malah Doug juga pernah ditahan di wad sebanyak tujuh kali sepanjang tempoh penggambaran. Bagi kami, mata hitam, patah tulang atau konkusi adalah perkara biasa,” tambahnya.

Apabila ditanya mengenai faktor motivasi menceburi karier yang begitu kejam dan menyakitkan fizikal itu, jawabnya, “Inilah hidup kami, inilah karier kami.”

“Kerja ini memang gila, tetapi kami mendapat kepuasan kerana berpeluang melakukan sesuatu yang sangat digemari.

“Malah tawaran dari Discovery bagaikan satu anugerah Tuhan sekali seumur hidup dan pengalaman yang tidak mungkin dapat diulangi lagi,” ujarnya.

Jelas mereka lagi, siri ini bukan semata-mata keganasan, tapi merupakan satu corak pendidikan. Ia membolehkan penonton turut sama menjelajah ke seluruh dunia dan mengkaji keunikan jenis-jenis serta teknik bela diri yang amat asing khususnya kepada dunia Barat.

Juga bagi mereka penggambaran siri itu sendiri adalah pengalaman yang sangat hebat dan menakjubkan. Malah ia adalah platform bagi mereka menambah ilmu dan meluaskan kemahiran diri dalam sukan pertarungan.

Meskipun terlibat dalam sukan yang mereka sendiri akui ‘gila’ ini, kedua-dua jejaka tegap ini masih mempunyai bahagian hati yang lembut.

Anderson suka meluangkan masa lapang dengan melukis dan mewarna bersama anak-anak saudaranya selain terlibat dalam pelbagai pertubuhan sukarela. Smith pula sangat gemar membaca dan bersantai di pantai.

Nasihat: Jangan sesekali cuba bertempur dengan pakar-pakar seni bela diri seperti apa yang mereka lakukan. Terlalu bahaya kerana dalam setiap latihan dan pertarungan akhir, mereka sebenarnya bertarung untuk nyawa.

Peranan kuasa mistik: Menyaksikan sendiri peranan kuasa mistik dalam bidang seni ini adalah antara pengalaman paling menakjubkan.

“Di China misalnya, semasa berlatih bersama Mahaguru Sami Shaolin, tangan Jimmy tercedera dan membengkak begitu besar sehingga setengah inci.

“Mahaguru tersebut merawat dengan hanya mengusap serta menjampi sebentar, dan bengkak tersebut segera surut,” jelas Anderson. Pengalaman di Tokong Fa Wang, katanya, memberikan pengalaman yang sangat berbeza di mana mereka mempelajari kekuatan sebenar lahir dari kekuatan spiritual dari hati dan minda.

Sesi latihan paling sukar:

Antara lain, bagi Smith, latihan kebal diri membinasakan badan dan kardio selama tujuh jam tanpa henti di Filipina adalah sesi latihan paling menyiksakan.

Pengalaman yang paling diingati: Keseluruhan peluang mendapat pengalaman berlatih di negara-negara berbeza dan mempelajari budaya yang begitu asing sudah cukup hebat.

Teknik paling membunuh: Seni bela diri Kali dari Filipina yang menggunakan pedang atau pisau, tetapi untuk tujuan pertarungan sebenar mereka menggunakan baton dan kayu bersama Mahaguru yang telah berusia 73 tahun.

Menariknya, kali terakhir Mahaguru Kali membunuh orang adalah semasa berusia 72 tahun menggunakan teknik tersebut.

Teknik yang kurang menyenangkan: Anderson berpendapat bahawa semua teknik baru yang dipelajari amat menarik meskipun mengakibatkan mereka cedera parah, cuma sebarang teknik yang melibatkan serangan di kelangkang amat tidak digemari.

Pertarungan akhir paling mencabar: Pertarungan akhir Kyokushin di Jepun yang melibatkan penyerang berganda, Smith perlu menghadapi lima penyerang secara serentak dalam ruang pertarungan yang sempit.

Di pos oleh Arbain Muhayat

Saturday, 29 March 2008

Dunia bersatu demi Earth Hour malam ini

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Dewan Opera House sebelum dan selepas digelapkan semasa Earth Hour tahun lepas.

MALAM ini monumen-monumen ikon dunia, antaranya jambatan Sydney Harbour dan Opera House di Sydney, jambatan Golden Gate di San Francisco, bangunan tertinggi Amerika Syarikat, Menara Sears di Chicago dan akuarium terbesar di dunia, Georgia Aquarium di Atlanta akan 'hilang' dari pandangan.

Bersama ribuan lagi bangunan-bangunan kerajaan dan premis perniagaan seantero dunia, mereka telah berjanji untuk bergelap selama satu jam tepat pada pukul 8 malam waktu tempatan.

Ini bersempena dengan kempen Earth Hour yang telah memasuki tahun kedua tahun ini.

Tujuan utama Earth Hour ialah bagi menyampaikan keprihatinan penduduk dunia mengenai keperluan satu tindakan proaktif dilakukan bagi menangani isu pemanasan global.

Earth Hour mengajak penduduk seluruh dunia untuk bergelap iaitu memadamkan semua lampu dan penggunaan barangan elektrik tepat pada pukul 8 malam waktu tempatan.

Kempen yang mula digerakkan oleh Tabung Hidupan Liar (WWF) Australia itu telah dilaksanakan pertama kali melibatkan hanya bandar raya Sydney pada Mac tahun lepas.

Pengarah Eksekutif Earth Hour, Andy Ridley berkata, sasaran kempen ini ialah bagi mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida tahunan sebanyak lima peratus, sekaligus mengawal fenomena pemanasan global.

Tahun lepas, sebanyak 2.2 juta warga Australia telah menyokong kempen tersebut, malah mercu-mercu tanda utama Australia termasuk Sydney Harbour dan Opera House juga telah digelapkan.

Hasilnya amat membanggakan, bukan setakat mencapai sasaran pengurangan penggunaan tenaga sebanyak lima peratus, malahan dua kali ganda berbanding sasaran asal iaitu sebanyak 10 peratus.

Kejayaan tersebut pastinya telah menaikkan semangat pasukan penganjur Earth Hour dan WWF-Australia untuk meluaskan projek tersebut di peringkat antarabangsa.

Justeru selepas dilancarkan semasa Persidangan Perubahan Iklim Bangsa-bangsa Bersatu di Bali pada 14 Disember lepas, WWF dari seluruh dunia telah berganding bahu berkempen bagi mencapai matlamat tersebut.

‘‘Earth Hour adalah satu program yang amat unik yang telah menyatukan pelbagai negara, pemilik perniagaan dan kediaman dalam satu misi demi kesejahteraan sejagat,’’ kata Ridley dalam laman web Earth Hour.

Namun begitu, tambah Ridley, mengelapkan bangunan dan struktur-struktur penting dunia bukan boleh dibuat sewenang-wenang, sebaliknya ia adalah satu proses yang rumit dan memerlukan perkiraan teliti termasuk faktor keselamatan.

Apa yang pasti, satu impak besar akan tercapai apabila pemilik-pemilik rumah bergandingan dengan monumen-monumen mercu tanda paling ikonik dunia dalam perang mengawal pemanasan global.

Setakat ini, sebanyak 24 bandar raya telah berjanji untuk memadamkan lampu bangunan-bangunan utama milik majlis bandar raya masing-masing.

Malah penganjur juga meramalkan sekurang-kurangnya 30 juta penduduk seluruh dunia akan mengambil bahagian.

Setakat Selasa lepas, seramai 194,144 individu dan 12,598 syarikat perniagaan dari seluruh dunia telah mendaftar untuk projek Earth Hour tahun ini.

Malah di negara asal projek tersebut, sebanyak 3,500 syarikat-syarikat perniagaan di Australia telah bersetuju untuk bergelap selama satu jam. Ini termasuk semua cawangan restoren makanan segera terbesar Australia, McDonalds dan semua 36 butik jenama terkenal David Jones.

Layari laman web www.wwf.org.my atau www.earthhour.org untuk maklumat lanjut.

Saturday, 22 March 2008

Suasana Mediterranean

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI (pelancongan@utusan.com.my)
PENGUNJUNG Telaga Harbour boleh menikmati sarapan pagi dengan aman di The Loft sambil menikmati pemandangan indah marina Langkawi.

MASIH ingat lagi kepada Datuk Azhar Mansor? Pelayar solo negara yang telah mencipta rekod dunia dan kini bertanggungjawab membangun dan mengurus marina Telaga Harbour di Pantai Kok Langkawi.

Pada 1999, beliau telah mengambil masa 104 hari untuk mengelilingi dunia secara solo tanpa henti sejauh 21,600 batu nautika menaiki kapal layar Jalur Gemilang.

Kejayaan itu membolehkan Azhar diiktiraf oleh Majlis Rekod Pelayaran Pecut Dunia (WSSRC) secara rasminya sebagai pencipta rekod dunia. Ini kerana beliau menggunakan laluan Eastabout yang masih belum pernah dilayari secara solo sebelum itu.

Sebagai satu-satunya pelayar dari Asia (kecuali Jepun) yang berjaya menempuh cabaran itu tanpa bergantung kepada orang lain, beliau telah meletakkan Malaysia di atas peta maritim sekaligus menjadi seseorang yang dihormati di kalangan khalayak maritim.

Kejayaan itu juga telah mengangkat namanya sebagai warganegara tersohor yang telah merealisasikan semangat 'Malaysia Boleh', slogan yang dipopularkan sejak pertengahan tahun 1990-an.

Seorang pemandu pelancong pernah berkata, di sebalik kejayaan besar penjelajahan Azhar, masih ada pihak yang memperlekehkan beliau dengan menganggapnya hanya bersantai menaiki kapal layar pelancongan mewah.

Tapi sebenarnya, Jalur Gemilang hanyalah sebuah kapal layar yang agak kecil dan mudah dilambung ribut. Kini kapal itu berlabuh di tapak khas marina untuk tontonan orang ramai.

Menurut pemandu pelancong itu lagi, kapal kebanggaan Malaysia itu kini hanya digunakan semasa Azhar mengajar kelas pelayar muda atau untuk perjalanan jarak dekat sekitar Langkawi sahaja.

Marina Telaga Harbour terbahagi kepada dua bahagian iaitu Perdana Quay (sebutan kee) dan Petronas Quay. Perdana Quay adalah salah satu pintu masuk ke Malaysia yang menempatkan pejabat kastam dan imigresen.

Pelancong asing yang singgah ke Malaysia melalui jalan laut kini boleh terus masuk atau meninggalkan Malaysia dengan mudah tanpa perlu ke jeti utama.

Di Petronas Quay pula, terdapat bangunan dua tingkat yang berseni bina menarik yang menempatkan kemudahan penting seperti stesen minyak Petronas dan bank. Di sini, pengunjung juga boleh menjamu selera di restoran makanan segera sambil menghirup udara segar sambil menikmati pemandangan marina yang indah dari tingkat dua.

Walaupun masih baru, pangkalan kapal layar tersebut kini telah popular sebagai salah satu marina persinggahan utama kapal-kapal layar peribadi dari seluruh dunia selain diuar-uarkan oleh beberapa majalah gaya hidup antarabangsa sebagai marina terbaik Malaysia.

Kedudukannya di timur pulau utama Langkawi juga menjadikannya lokasi romantik popular bagi pemilik kapal layar menikmati matahari terbenam sambil berlayar.

Selain faktor kepelbagaian tarikan dan keindahan kepulauan Langkawi, faktor keselamatan juga menyebabkan teluk buatan ini popular di kalangan pemilik kapal.

Ia telah direka sedemikian rupa supaya kedudukannya terlindung daripada ombak besar yang telah sedikit sebanyak membantu mengurangkan kerosakan semasa bencana tsunami 2004 yang lalu.

Gunung Mat Chincang, lokasi kereta kabel paling mencabar Asia Tenggara pula melindungi marina itu dari angin kencang dari arah utara.

Gerahak di lubuk udang galah Kampung Ganchong

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI (rekreasi@utusan.com.my)
WALAUPUN terpaksa menamatkan aktiviti seawal pukul 7 petang akibat terlupa membawa ais, namun trip kali ini merupakan antara trip terbaik bagi mereka.

SUNGAI Pahang tidak perlu diperkenalkan lagi sebagai sungai yang amat kaya dengan pelbagai ikan air tawar berkualiti tinggi. Antara lokasi pemancing Sungai Pahang yang popular ialah di daerah Pekan khususnya di lubuk udang galah yang terdapat di Kampung Ganchong.

Justeru tidak hairanlah sekiranya kelibat tiga sahabat, Awang, Damin dan Eddy Joe sering dilihat di sini sekurang-kurangnya sekali setiap dua bulan.

Hujung bulan lepas, misalnya, merupakan antara trip yang paling berhasil. Seperti biasa ikan sasaran ialah ikan baung dan udang galah yang kedua-duanya hidup dan mencari makanan di dasar sungai., Oleh itu, kata Awang, gunakanlah perambut yang pendek bagi memastikan umpan yang dipasang sentiasa berada di permukaan dasar sungai. Jika tidak, umpan akan terapung-apung dan dimakan ikan bukan pilihan.

Bagi mengumpan udang galah, umpan yang biasa digunakan ialah yang berbau terutama cacing hidup dipasang pada kail mata udang 9, 11 atau 12. Pemberat yang digunakan pula sebaik-baiknya jenis batu hidup bersaiz 5 atau 6.

Tiba sahaja ke Sungai Pahang, berbekalkan umpan anak ikan, anak udang dan cacing, mereka pun berpecah mencari lokasi lubuk masing-masing. Kata Awang, udang galah biasanya berlubuk di air berarus tenang dan berdasar dalam. Biasanya ia boleh dikenali kerana banyak berbuih dan airnya kelihatan berpusar.

Kali ini, Damin nyata juara udang galah. Berbeza dengan rakan-rakan yang lain yang cuma mendapat udang bersaiz sederhana atau kecil, hanya Damin berjaya menaikan udang galah besar seberat 400 hingga 500 gram sebanyak lima ekor.

Kata Awang, rezeki mereka boleh dikatakan mencurah-curah walaupun hanya meluangkan masa sehari untuk memancing.

Mereka percaya cuaca baik dan panas serta kurang berangin memainkan peranan penting bagi kejayaan trip kali ini.

Keadaan air pula katanya, sangat cantik, tidak keruh serta arus sungai hanya mengalir perlahan.

Ini terbukti kerana sejak pagi lagi mereka tidak putus-putus berjaya menaikkan ikan baung bersaiz di antara 200 hingga 800 gram sehingga lebih 50 ekor.

Jelas Awang, baung yang besar lebih menggemari umpan anak udang, sedangkan baung yang lebih kecil sering melekat pada umpan cacing.

Menjelang tengahari, sedang asyik menaikkan baung, tiba-tiba mereka ternampak kocak air sekumpulan ikan berwarna perak agak jauh di tengah sungai. Duga Awang, itu mungkin gerahak yang juga dikenali sebagai begahak, sejenis ikan pemangsa yang agak jarang ditemui di tempat lain selain di Pahang tapi enak dan mempunyai harga pasaran tinggi iaitu hampir RM50 sekilogram.

Ikan jenis ini suka bermain-main di kawasan berkayu dan menyambar anak ikan di permukaan air. Telahannya tepat apabila terlihat seorang pemancing yang sedang casting dari atas bot yang telah menaikkan beberapa ekor ikan tersebut.

Lantas dia pun mengeluarkan gewangnya dan mencuba nasib melontar casting ke arah kumpulan itu beberapa kali. Pada mulanya, cubaannya tidak berhasil kerana kumpulan ikan itu masih jauh di tengah sungai.

Namun setelah mencuba beberapa kali, dia berjaya memperdaya beberapa ekor untuk mengekori dan menyambar gewangnya itu.

Pada cubaan seterusnya, seekor gerahak benar-benar telah menyambar. Tapi ikan tersebut ternyata lebih pantas melawan dan lari menyembunyikan diri di kawasan berkayu dan menyentap gewang hingga terputus.

Tercabar dengan kejadian itu, Awang berusaha lagi melontar gewang sehingga disambar ganas lagi. Kali ini dia segera menggulung mesin kekili Daiwa PG10 sebaik saja Rapala Shrat Rat disambar. Dia sedar dia perlu lebih bijak iaitu tidak boleh melayan terlalu lama dan berusaha membawa ikan itu jauh dari kawasan berkayu.

Akhirnya, joran Uglystick Awang berjaya juga menaikkan gerahak tersebut yang selepas ditimbang seberat empat kilo. Memang tidak disangka tali tangsi berjenama Sufix yang biasa dengan kekuatan hanya 10 pound (lbs) mampu menaikkan ikan pemangsa seberat itu.

Lain-lain ikan yang berjaya ditangkap ialah tiga ekor ikan tilan seberat hampir 1.5 kilo setiap satu dan 10 ekor lias bersaiz kira-kira tiga jari.

Tilan pertama dan terbesar telah dinaikkan oleh Eddy Joe mengunakan umpan anak udang. Tetapi, ikan jenis yang menelan umpan itu tidak begitu digemari. Oleh itu, Eddy Joe terus memotong tali dan melepaskannya kembali ke sungai.

Lucunya, dalam masa kurang lima minit, tilan yang sama menelan umpannya sekali lagi.

Thursday, 6 March 2008

Hafal 20 perkara dalam dua minit

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
NURLINA Suraiya Md. Shariff (duduk dua dari kiri) bersama ibu bapa dan adik beradik yang banyak menyokongnya.

NURLINA Suraiya Md. Sharif, mungkin baru berusia 16 tahun tetapi telah membuktikan bahawa kekuatan minda tidak dibatasi genetik keturunan tertentu.

Keupayaan kekuatan memorinya itu telah dibuktikan semasa majlis pembukaan Festival Minda Malaysia Kedua yang berlangsung di Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR), pada akhir tahun lepas.

Dalam majlis tersebut, beliau telah berjaya menghafal senarai 20 benda yang diberi penonton secara rawak dalam tempoh dua minit, malah mampu menyebut dengan tepat senarai tersebut dalam susunan terbalik.

Menurut Nurlina , kebolehan tersebut bukannya satu keistimewaan luar biasa sebaliknya merupakan satu teknik visual yang mudah tetapi perlu dipelajari.

‘‘Teknik visual itu ialah dengan membuat satu gambaran yang besar dan tersusun tentang saling kaitan di antara benda-benda yang mahu dihafal.

“Ia mudah dibuat jika seseorang itu memberi tumpuan dan berkeyakinan dengan keupayaan diri sendiri,’’ katanya ketika ditemui di Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pertemuan ringkas tersebut beliau ditemani kedua-dua ibu bapa, Md. Sharif Ahmad, 45, dan Latifah Hamid, 44, kakaknya seorang pelajar jurusan Bahasa Inggeris, Nur Syaza Sarah, 18, dan dua adiknya, Muhd. Nafis Farhan, 11, dan Nur Yasmin Hanani, 6.

Bapanya mengakui bahawa kesemua anak-anaknya cenderung dengan akademik dan gemar membaca selain mencuba permainan cabaran minda sejak kecil lagi.

Bahkan, beliau dan isteri bertuah kerana dua anaknya, Nur Syaza dan Nurlina, berjaya menjimatkan satu tahun akademik selepas cemerlang dalam Penilaian Tahap Satu (PTS), membolehkan mereka melompat dari tahun tiga terus ke tahun lima.

Pada September lalu, Nurlina, yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gombak, telah menjuarai Pertandingan Memori kategori perkataan anjuran Malaysia Mental Literacy Movement (MMLM).

Kebolehan anak kedua daripada empat beradik itu telah berjaya menarik perhatian kerajaan negeri Perak yang bercadang menjemputnya untuk memberi ceramah semasa seminar kerajaan negeri.

Walaupun masih dalam peringkat perancangan, Nurlina diharap menjadi model contoh kepada golongan muda Melayu.

Menerima tawaran tersebut, pelajar pintar itu bagaimanapun tidak menganggap dirinya istimewa.

Sebaliknya, beliau menamakan idolanya, mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebagai insan yang mempunyai kebolehan minda luar biasa yang terserlah melalui keupayaannya dalam pengucapan awam secara spontan serta kepimpinan dan wawasan beliau.

Menyentuh mengenai cita-cita pula, Nurlina berhasrat melanjutkan pelajaran sama ada dalam jurusan seni grafik atau kreatif multimedia di universiti Malaysia (MMU) seperti The One Academy, Universiti Limkokwing atau Universiti Multimedia.

Thursday, 31 January 2008

TV LCD terbaik dalam kelasnya

Tidak dinafikan televisyen merupakan elemen terpenting untuk keluarga yang lebih selesa memilih hiburan di rumah.

Bahkan di pasaran pula, terdapat pelbagai pilihan televisyen dengan macam-macam jenama, jenis, saiz dan kualiti.

Panasonic, misalnya, yang merupakan salah satu jenama popular, baru-baru ini telah melancarkan tiga lagi model terbaru untuk siri Viera iaitu televisyen dengan skrin cecair kristal (LCD).

Pengarah Produk dan Pemasaran Panasonic Malaysia, Tony Endoh berkata, televisyen LCD kini semakin popular berbanding jenis lain kerana menawarkan kualiti imej dari segi kecerahan, kontras dan warna yang lebih baik.

Panasonic pula, menurut beliau, menghasilkan televisyen jenis LCD yang mempunyai kualiti terbaik di dalam kelasnya dan masih tetap berusaha meningkatkan kualiti produk-produknya.

Bagi membuktikan mereka tidak sekadar manis mulut, baru-baru ini Panasonic telah menganjurkan satu seminar kepada sekumpulan wartawan bagi memperkenalkan model-model terbaru televisyen LCD mereka.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Rangkaian Panasonic AVC Sdn. Bhd., Akihiko Hayase dan Pengurus Korporat dan Penjenamaan Panasonic Malaysia, Azizah Wahid.

Melalui seminar tersebut, Panasonic membandingkan model-model televisyen LCD siri Viera terbaru dengan televisyen LCD dari jenama lain bagi membolehkan peserta membezakan kelebihan produk mereka berbanding produk bandingan.

Terbaru

Model-model terbaru Panasonic Viera tersebut ialah televisyen LCD 37 inci TX-37LX75, televisyen LCD 32 inci TX-32LX75 dan televisyen LCD 26 inci TX-26LX75.

Tidak dinafikan, melalui demonstrasi yang dilakukan jurutera Panasonic, Pang Cheon Wah, siri terbaru televisyen LCD Viera mempunyai kualiti yang lebih baik dari segi bunyi, gambar dan bahan binaan.

Antara kelebihan yang ditunjukkan ialah imej dan warna yang lebih nyata dan jelas dan bunyi sebenar yang tidak pecah pada skala tertinggi.

Selain itu ia juga mengunakan bahan binaan yang lebih tahan lasak dan sukar terbakar memberikan kelebihan keselamatan berbanding pesaing, selain kompleks ROSH yang mudah terurai dan mesra alam.

Semua model baru tersebut mempunyai sistem pemprosesan imej terkini, kontras dinamik setinggi 7,000:1 dengan resolusi sebesar 1,366 x 768 piksel.

Kontras yang tinggi itu secara automatik meningkatkan resolusi kecerahan gambar serta warna-warna yang dipancarkan.

Lagi kelebihan model-model baru ini ialah pengunaan pemacu jenis Motion Picture Pro 100 Hz yang berjaya mengurangkan separuh imej berlapis pergerakan gambar berbanding model terdahulu.

Ini menghasilkan imej-imej gambar dalam keadaan pergerakan pantas yang lebih lancar dan tajam menjadikan televisyen LCD ini sangat ideal untuk menonton filem aksi atau acara sukan.

Dalam seminar tersebut, Endoh turut berkongsi strategi yang digunakan Panasonic bagi memperbaiki penguasaannya dalam pasaran televisyen LCD Malaysia yang setakat ini berada di tangga kelima.

‘‘Panasonic kini mempunyai kilang pemasangannya sendiri di Shah Alam sejak tahun lepas yang mempunyai kapasiti untuk menghasilkan 500 unit televisyen LCD sehari,’’ katanya.

Bahkan melalui Rangkaian Panasonic AVC Sdn. Bhd., katanya, model-model baru televisyen LCD termasuk Viera TX-32LX75 direka bentuk di Malaysia.

Wednesday, 23 January 2008

Mara Inc. bantu usahawan

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menyusun semula semua anak syarikatnya yang terlibat dalam memajukan bidang keusahawanan bumiputera melalui Mara Incorporated (Mara Inc.).

Secara dasarnya, Mara telah meluluskan Mara Inc. dengan modal awalan sebanyak RM100 juta yang akan dikumpulkan daripada sumber dalaman Mara.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Mara Inc. akan bertindak sebagai satu badan organisasi yang bakal memayung dan menggerakkan usahawan bumiputera Mara secara penswastaan.

‘‘Tujuan utama Mara Inc. adalah untuk membangunkan usahawan bumiputera agar berdaya saing, maju dan tahan untuk mencapai potensi antarabangsa,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmi dan menyampaikan Anugerah Usahawan Mara (Aura) Peringkat Kebangsaan 2006/07 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Menurut Mohamed Khaled, penyusunan semula itu diharapkan bakal mewujudkan satu sinergi yang mampu mencapai matlamat kerajaan melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang berkualiti dan produktif.

‘‘Mara Inc. akan menjadi platfom bagi mengeksport perkhidmatan dan tenaga profesional Bumiputera yang sebelum ini sukar merebut peluang di luar negara akibat tiada mekanisme untuk mereka bersandar bagi mendapatkan peluang itu,’’ jelasnya.

Menurut beliau, bagi mencapai MPPB, usahawan bumiputera perlu mengatasi tiga cabaran utama iaitu cabaran pembangunan modal insan, cabaran pengukuhan usahawan dan perusahaan serta cabaran menceburi bidang baru dan bidang yang bakal muncul.

Pada majlis tersebut, Mara telah mengiktiraf 40 usahawan dari seluruh negara serta menyampaikan tiga kategori anugerah kecemerlangan iaitu Usahawan Cemerlang, Usahawan Muda dan Penyewa Premis Perniagaan Mara.

Para pemenang anugerah menerima hadiah wang tunai, plak cenderamata dan sijil penghargaan.

Antara pemenang bagi Anugerah Usahawan Cemerlang yang membawa pulang RM6,000 ialah Ahmad Tajudin Said dari pasar raya Pokok Sena, Alor Setar bagi Sektor Perdagangan, manakala kategori Anugerah Usahawan Muda menerima RM4,000 ialah pemilik Asmaa Auto Parts Sdn. Bhd. Sungai Buloh, Abd. Malek Ahmad bagi Sektor Perdagangan, Zunaidah Awang dari syarikat binaan dan makanan bermasak Amoda Sepakat Jaya Enterprise Kuantan.

Pada majlis itu juga, Mohamed Khaled turut merasmikan buku Laluan Jutawan yang mengumpulkan pengalaman perniagaan 25 usahawan Mara.

Friday, 18 January 2008

Tetap Melayu walau fasih bahasa Inggeris

MASYARAKaT khususnya ibu bapa Melayu tidak perlu khuatir mendorong anak-anak mereka menguasai bahasa Inggeris walaupun mereka sendiri tiada kemahiran itu.

Malah, mereka wajar menggalakkan anak-anak untuk fasih bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris bagi meluaskan peluang kerjaya apabila mereka memasuki sektor pekerjaan.

Isteri Tunku Mahkota Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris bertitah, jati diri kemelayuan tidak akan hilang hanya dengan fasih dalam bahasa tersebut sekiranya anak telah diterapkan dengan unsur-unsur tradisi sedari kecil.

Raja Zarith Sofiah bertitah, keupayaan menguasai bahasa Inggeris menunjukkan rakyat mengambil berat mengenai hala tuju negara kerana ilmu wujud daripada bahan bacaan berkualiti yang kebanyakannya di dalam Bahasa Inggeris.

“Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa yang mempunyai kuasa nilai ekonomi berbilion dolar, apatah lagi satu pertiga daripada dunia bertutur atau belajar dalam bahasa tersebut,” titah baginda dalam Syarahan Umum Felo Diraja bertajuk Menjadi Global : Penggunaan Bahasa Inggeris dalam Abad Ke-21 Malaysia di Dewan Senat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Syarahan umum tersebut dihadiri oleh Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin; Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Datuk Dr. Ismail Bakar dan 300 lagi ahli akademik termasuk pegawai-pegawai kanan, dan graduan lepasan siswazah.

Baginda yang merupakan Felo Diraja Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, UKM berkata, setiap ahli masyarakat perlu memahami kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan golongan muda sebagai bahasa antarabangsa.

Tambah baginda, seluruh rakyat Malaysia bertanggungjawab membantu dan menyediakan prasarana agar semua orang mampu bertutur dan menulis dengan lancar dan penuh yakin.

Kepentingan bahasa ini, tambahnya perlu ditekankan bukan sahaja di peringkat pengajian tinggi seperti yang berlaku kini, malah sebaiknya dari dari peringkat akar umbi lagi iaitu sekolah rendah dan prasekolah.

Justeru, masyarakat harus diingatkan agar berusaha menguasai bahasa Inggeris dan mengejar ilmu supaya negara tidak tertinggal jauh ke belakang berbanding lain-lain negara di dunia.

Selain itu, baginda juga yakin penguasaan Bahasa Inggeris mampu membantu graduan mendapatkan pekerjaan dengan lebih cepat.

“Kita menghasilkan graduan yang bijak tetapi kemahiran Bahasa Inggeris yang lemah telah menyekat mereka daripada mengeluarkan potensi sebenar mereka,’’ titah baginda.

Ini, menurut baginda, menyebabkan potensi modal insan negara tidak digunakan secara optimum yang seterusnya menyebabkan negara pula tidak mencapai potensi kemajuan yang sepatutnya.

Raja Zarith Sofiah turut mencadangkan beberapa langkah yang boleh dijadikan budaya untuk memperbaiki penguasaan bahasa tersebut di kalangan generasi muda.

Menurut baginda, faktor persekitaran seperti stesen televisyen wajar lebih proaktif dan menyediakan kemudahan mempelajari bahasa kepada penonton.

“Konsep rancangan realiti popular misalnya, Akademi Debat atau Akademi Bahasa Inggeris boleh digunakan bagi mengganti Akademi Fantasia,’’ titahnya.

Selain itu, baginda menggalakkan ibu bapa dan pihak sekolah membiasakan anak-anak dengan buku berbahasa Inggeris bagi memperbaiki tatabahasa serta serta memupuk keyakinan diri.