Saturday, 27 December 2008

Cabaran Perhentian menguji kecekalan peserta

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Gambar FAUZI BAHARUDIN
Mendayung kayak secara berpasangan memerlukan kerjasama dan persefahaman di antara pasangan untuk bersaing mendahului pasukan lain dalam Cabaran Pulau Perhentian.

Pulau Perhentian Terengganu nyata lokasi yang amat sesuai untuk penganjuran lumba lasak.

Cabaran Pulau Perhentian 2008 (PIC08) pada akhir Oktober lepas iaitu sewaktu musim tengkujuh dan laut gelora dijangka tapi hakikatnya cuaca cerah dan panas sepanjang acara. Ini sekali gus menonjolkan keindahan laut dan pantai pulau itu.

Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori Elite (secara berpasangan) dan Novice (secara individu).

Kategori Novice agak mudah yang mana peserta hanya perlu berlumba mengelilingi Pulau Perhentian Kecil mendaki bukit dan merentasi pantai selain cabaran mudah ala komando merangkak di bawah kawat dawai dan melompat di dalam gelung.

Ini membolehkan ramai peserta menghabiskan larian dalam masa kurang kurang satu jam 30 minit.

Ini cukup berbeza dengan kategori Elite. Sebagai permulaan, para peserta telah berkumpul seawal pukul 8 pagi begitu juga penduduk kampung yang kelihatan cukup teruja menikmati acara besar yang singgah ke pulau mereka setahun sekali itu.

Tetapi ekoran pelbagai kesilapan yang tidak dijangka, peserta terpaksa menunggu lama untuk pelepasan dan hanya mula berlari pada kira-kira pukul 10 pagi.

Pesaing kategori Elite dimaklumkan perlu mendapatkan kayak masing-masing yang telah dilabelkan mengikut nombor pasukan yang telah disusun mengikut turutan. Cuma ia tidak semudah itu.

Kayak tidak disusun mengikut turutan, pendayung dan jaket keselamatan tidak mencukupi malah nombor tidak dilabelkan dengan baik, sebaliknya hanya ditulis dengan angka kecil dan sukar dilihat akibat silauan matahari yang makin meninggi.

Merentasi selat

Jadi bayangkan cabaran yang dihadapi para peserta yang terpaksa menghadapi suasana yang cukup kelam kabut dalam cuaca pulau yang cukup panas terik.

Pasangan peserta perlu mendayung merentasi selat untuk ke Pir di Perhentian Besar dan berlari melalui denai hutan yang berbukit sebelum keluar semula ke pantai Pir.

Seterusnya pasangan perlu berlari di atas pasir ke pantai Teluk Keke yang mana mereka perlu menyelam turun ke laut bagi menaikkan satu karung pasir.

Cabaran selepas itu ialah berenang di laut pada jarak tertentu. Ia bagaimanapun dibatalkan selepas beberapa peserta diserang obor-obor dan digantikan dengan rehat wajib selama 10 minit.

Pesaing Elite seterusnya perlu bergegas kembali ke Pantai Pir bagi mendapatkan semula kayak mereka untuk berdayung ke Pantai Bubu di Perhentian Kecil.

Dari Pantai Bubu mereka berlari menghala ke laluan kategori Novice untuk cabaran ala-komando sebelum berlari untuk kembali ke tempat permulaan. Pastinya masing-masing menarik nafas lega apabila memijak garisan penamat selepas cabaran yang mengambil masa kira-kira empat jam.

Disengat obor-obor

Bisa disengat obor-obor malah bukan satu tapi tiga kali sama sekali tidak memperlahankan langkah Heidilee Mohammad, 25. Walaupun terganggu dengan kesakitan, beliau terus nekad mengharungi cabaran PIC08 bersama pasangannya Muhamad Razini Husain, 42.

Pasukan bergelar Solomon Powerbar yang pernah menyertai PIC beberapa kali sebelum itu, telah menjuarai kategori Lelaki Elite selepas menamatkan cabaran dalam tempoh 3 minit 25 saat.

Bagi Heidilee, pertandingan kali ini lebih sukar dari sebelumnya, tambahan pula bulan puasa menjadikan latihan persediaan kali ini agak terhad.

Kategori Campuran Elite telah diungguli oleh peserta pertama kali, pasukan Power ATM dari Sabah yang terdiri daripada ibu beranak dua, Mariana Mohammad dan Juseri Gani.

Kedua-dua pasangan itu membawa pulang hadiah utama tunai RM4,000 beserta hadiah iringan manakala juara-juara kategori Novice menerima RM1,200 beserta hadiah iringan.

Kategori Novice lelaki barangkali cukup mudah bagi seorang pelajar Kolej KDU dari Ghana iaitu Richard Habeya, 21, yang pernah menjuarai kategori yang sama sebanyak tiga kali berturut-turut.

Habeya mendahului cabaran dengan catatan masa satu jam sembilan minit, hanya dua minit dihadapan pencabar terdekat Kunasegaran Ramakrishnan, 29.

PIC telah memasuki tahun penganjuran kelima dan menarik perhatian 309 peserta dengan 91 penyertaan untuk kategori Novice lelaki, 58 Novice wanita, 40 pasukan Elite lelaki dan 40 pasukan Elite campuran.

Tidak hairanlah sambutan yang diterima cukup hangat dengan yuran penyertaan hanya RM170 memandangkan PIC kali ini disubsidi bersempena Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Terengganu 2008.

Pakej penyertaan juga sangat berbaloi kerana bayaran itu termasuk pengangkutan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Kuala Besut, khemah untuk penginapan, pengangkutan bot dan makanan sepanjang tiga hari, perlindungan insuran dan kemeja-T.

No comments:

Post a Comment