Saturday, 27 December 2008

Cabaran Perhentian menguji kecekalan peserta

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Gambar FAUZI BAHARUDIN
Mendayung kayak secara berpasangan memerlukan kerjasama dan persefahaman di antara pasangan untuk bersaing mendahului pasukan lain dalam Cabaran Pulau Perhentian.

Pulau Perhentian Terengganu nyata lokasi yang amat sesuai untuk penganjuran lumba lasak.

Cabaran Pulau Perhentian 2008 (PIC08) pada akhir Oktober lepas iaitu sewaktu musim tengkujuh dan laut gelora dijangka tapi hakikatnya cuaca cerah dan panas sepanjang acara. Ini sekali gus menonjolkan keindahan laut dan pantai pulau itu.

Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori Elite (secara berpasangan) dan Novice (secara individu).

Kategori Novice agak mudah yang mana peserta hanya perlu berlumba mengelilingi Pulau Perhentian Kecil mendaki bukit dan merentasi pantai selain cabaran mudah ala komando merangkak di bawah kawat dawai dan melompat di dalam gelung.

Ini membolehkan ramai peserta menghabiskan larian dalam masa kurang kurang satu jam 30 minit.

Ini cukup berbeza dengan kategori Elite. Sebagai permulaan, para peserta telah berkumpul seawal pukul 8 pagi begitu juga penduduk kampung yang kelihatan cukup teruja menikmati acara besar yang singgah ke pulau mereka setahun sekali itu.

Tetapi ekoran pelbagai kesilapan yang tidak dijangka, peserta terpaksa menunggu lama untuk pelepasan dan hanya mula berlari pada kira-kira pukul 10 pagi.

Pesaing kategori Elite dimaklumkan perlu mendapatkan kayak masing-masing yang telah dilabelkan mengikut nombor pasukan yang telah disusun mengikut turutan. Cuma ia tidak semudah itu.

Kayak tidak disusun mengikut turutan, pendayung dan jaket keselamatan tidak mencukupi malah nombor tidak dilabelkan dengan baik, sebaliknya hanya ditulis dengan angka kecil dan sukar dilihat akibat silauan matahari yang makin meninggi.

Merentasi selat

Jadi bayangkan cabaran yang dihadapi para peserta yang terpaksa menghadapi suasana yang cukup kelam kabut dalam cuaca pulau yang cukup panas terik.

Pasangan peserta perlu mendayung merentasi selat untuk ke Pir di Perhentian Besar dan berlari melalui denai hutan yang berbukit sebelum keluar semula ke pantai Pir.

Seterusnya pasangan perlu berlari di atas pasir ke pantai Teluk Keke yang mana mereka perlu menyelam turun ke laut bagi menaikkan satu karung pasir.

Cabaran selepas itu ialah berenang di laut pada jarak tertentu. Ia bagaimanapun dibatalkan selepas beberapa peserta diserang obor-obor dan digantikan dengan rehat wajib selama 10 minit.

Pesaing Elite seterusnya perlu bergegas kembali ke Pantai Pir bagi mendapatkan semula kayak mereka untuk berdayung ke Pantai Bubu di Perhentian Kecil.

Dari Pantai Bubu mereka berlari menghala ke laluan kategori Novice untuk cabaran ala-komando sebelum berlari untuk kembali ke tempat permulaan. Pastinya masing-masing menarik nafas lega apabila memijak garisan penamat selepas cabaran yang mengambil masa kira-kira empat jam.

Disengat obor-obor

Bisa disengat obor-obor malah bukan satu tapi tiga kali sama sekali tidak memperlahankan langkah Heidilee Mohammad, 25. Walaupun terganggu dengan kesakitan, beliau terus nekad mengharungi cabaran PIC08 bersama pasangannya Muhamad Razini Husain, 42.

Pasukan bergelar Solomon Powerbar yang pernah menyertai PIC beberapa kali sebelum itu, telah menjuarai kategori Lelaki Elite selepas menamatkan cabaran dalam tempoh 3 minit 25 saat.

Bagi Heidilee, pertandingan kali ini lebih sukar dari sebelumnya, tambahan pula bulan puasa menjadikan latihan persediaan kali ini agak terhad.

Kategori Campuran Elite telah diungguli oleh peserta pertama kali, pasukan Power ATM dari Sabah yang terdiri daripada ibu beranak dua, Mariana Mohammad dan Juseri Gani.

Kedua-dua pasangan itu membawa pulang hadiah utama tunai RM4,000 beserta hadiah iringan manakala juara-juara kategori Novice menerima RM1,200 beserta hadiah iringan.

Kategori Novice lelaki barangkali cukup mudah bagi seorang pelajar Kolej KDU dari Ghana iaitu Richard Habeya, 21, yang pernah menjuarai kategori yang sama sebanyak tiga kali berturut-turut.

Habeya mendahului cabaran dengan catatan masa satu jam sembilan minit, hanya dua minit dihadapan pencabar terdekat Kunasegaran Ramakrishnan, 29.

PIC telah memasuki tahun penganjuran kelima dan menarik perhatian 309 peserta dengan 91 penyertaan untuk kategori Novice lelaki, 58 Novice wanita, 40 pasukan Elite lelaki dan 40 pasukan Elite campuran.

Tidak hairanlah sambutan yang diterima cukup hangat dengan yuran penyertaan hanya RM170 memandangkan PIC kali ini disubsidi bersempena Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Terengganu 2008.

Pakej penyertaan juga sangat berbaloi kerana bayaran itu termasuk pengangkutan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Kuala Besut, khemah untuk penginapan, pengangkutan bot dan makanan sepanjang tiga hari, perlindungan insuran dan kemeja-T.

Saturday, 20 December 2008

Luncur ombak tarikan Cherating

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Antara aksi peluncur ombak yang menceriakan pantai Cherating pada musim tengkujuh tahun lepas.
CHERATING terkenal sebagai lokasi tumpuan hujung minggu warga kota ekoran kedudukannya sebagai pantai terindah yang paling dekat dengan Kuala Lumpur.

Pohon-pohon palma dan ru membarisi pasir putih pantainya yang luas dan saujana mata memandang. Pada musim panas dan disinari hangat matahari, pantai ini bagaikan syurga bagi pelancong dari negara-negara Barat dan mereka yang mendambakan santai pantai.

Suatu masa dahulu, pantai tersebut hanya popular di kalangan pelancong bajet (backpacker). Tapi kini, Cherating telah menjadi destinasi pelancongan penting Pahang dan menyaksikan penubuhan banyak entiti berkaitan budaya termasuk kedai-kedai cenderamata, kraf tangan dan canting batik.

Sebagaimana pantai-pantai lain di persisiran Pantai Timur yang membuka kepada Laut Cina Selatan, Pantai Cherating juga menerima kesan musim tengkujuh akibat terdedah kepada cuaca dan angin Monsoon Timur Laut.

Namun, ini tidak bermakna pantai indah yang terletak tidak sampai 50 kilometer daripada bandar Kuantan itu akan terus lenggang sepanjang musim tengkujuh.

Sejak 2006, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Pahang (MTPN Pahang) telah menjadikan ombak besar dan ganas yang menghempas Cherating sepanjang musim tengkujuh sebagai satu kelebihan bagi memastikan kedatangan pelancong dengan mempromosikan aktiviti luncur ombak.

Pertandingan luncur ombak antarabangsa Cherating kembali lagi. Billabong Pro Am Cherating Surfing 2008, yang menyaksikan persaingan memasuki tahunan ketiga dan dikendalikan oleh MTPN Pahang buat kali ketiga itu, sedang berlangsung sepanjang hujung minggu ini iaitu mulai 19 hingga 21 Disember 2008 di Pantai Cherating Kuantan.

Menurut Pengurus Besar MTPN Pahang, Idros Yahya, seramai 100 orang peserta dijangka akan menyertai pertandingan itu malah setakat ini peluncur dari Jepun, Mesir, Indonesia, Singapura, Peru, Australia, Thailand dan tempatan telah mengesahkan kehadiran mereka.

Penyertaan Billabong, jenama pakaian sukan lasak khususnya berkaitan dengan pelbagai sukan luncur terkenal sebagai penaja utama tahun ini adalah satu usaha merintis penganjuran acara luncur ombak yang lebih besar di Cherating pada masa akan datang.

Kata Idros, Billabong akan menganjurkan Billabong Malaysia Surfing Invitation pada tahun 2009, yang bakal melibatkan lebih ramai pemain luncur professional dari seluruh dunia sekali gus menjadikannya sebagai destinasi sirkit pertandingan luncur ombak utama di Asia pada 2009.

Antara lain, penganjuran sukan itu adalah bagi memperkenalkan Cherating sebagai lokasi sukan luncur kepada peluncur asing dan tempatan, selain merancakkan pelancongan ke Pantai Timur khususnya Cherating pada musim tengkujuh ini.

Pertandingan itu menawarkan hadiah bernilai RM20,000 termasuk barang-barang iringan yang ditaja oleh Billabong, Nixon, Kustom, Vonzipper dan juga pakej-pakej pelancongan menarik oleh hotel-hotel di Negeri Pahang.

Sebanyak lima kategori bakal dipertandingkan iaitu terbuka lelaki, wanita, junior untuk peluncur berusia bawah 15 tahun selain kategori man surfing (bawah 35 tahun) dan body boarding.

Peringkat saringan awal telah bermula sejak semalam (Jumaat) dan hari ini manakala peringkat separuh dan akhir akan berlangsung esok 21 Disember 2008 (Ahad).

Idros berharap agar acara tahunan itu akan menarik minat pelancong dan orang ramai terutama golongan belia untuk lebih mengenali sukan tersebut dan menggunakan peluang itu bagi menyertai klinik luncur ombak yang diadakan dan mempelajari teknik-teknik meluncur dengan betul.

Beliau menjemput orang ramai menghadiri Klinik Luncur Ombak akan diadakan hari ini (Sabtu) pada pukul 2 hingga 4 petang yang bakal dikendalikan oleh pemain luncur ombak profesional tempatan dan juga dari Indonesia.

Acara yang diatur untuk 21 Disember (esok) adalah lebih menarik selain pengunjung dapat menyaksikan kehebatan peluncur yang berjaya memasuki pusingan akhir, pengunjung juga pasti terhibur dengan demonstrasi luncur ombak daripada peluncur profesional Australia dan Indonesia bermula pukul dua petang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita Negeri Pahang Datuk Shafik Fauzan Sharif akan menyempurnakan upacara penutup dan penyampaian hadiah yang dijadualkan pada pukul lima petang esok.

Monday, 15 December 2008

Apabila bukit-bukau ditarah

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Gambar atas, SISTEM akar tunjang yang sempurna membantu tanah menyerap jumlah air yang banyak pada hujan lebat. Gambar bawah, Sebaliknya, tanah bukit yang gondol tanpa sistem akar tidak mampu menahan muatan air berlebihan dan limpahan luar biasa larian air sehingga memungkinkannya tergelongsor.
Cuba anda memandu dan perhatikan dari Hulu Selangor, Gombak dan Selayang, Cyberjaya hingga ke Sepang dan bandingkan pemandangannya dengan keadaan kira-kira 15 tahun lalu.

Jika anda perasan, sepanjang laluan lebuh dan jalan raya utama di negeri Selangor, jelas kelihatan tiada lagi pohon-pohon hijau di sekelilingnya tetapi digantikan dengan ‘hutan-hutan batu’ atas nama pembangunan.

Maka tiada lagi, bukit bukau dan hutan menghijau yang mampu memberikan ketenangan kepada pemandu dan juga melindungi bumi daripada dilanda bencana seperti tanah runtuh.

Tanah runtuh berlaku akibat pembangunan tanpa mengambil kira atau memahami peranan hutan dan bukit bukau sebagai kawasan tadahan hujan yang penting.

Secara ringkas, kejadian tanah runtuh Bukit Antarabangsa dua minggu lepas berlaku kerana kejadian gelongsoran tanah apabila kawasan berkaitan yang telah sedia longgar tidak dapat menampung penambahan berat akibat tepu dengan air hujan.

Sokongan sistem akar

Faktor penyebab bencana itu ialah lapisan tanah yang longgar dan ketiadaan sistem akar bagi memegang partikel tanah.

Ketua Bahagian Ekologi dan Akuatik, Pusat Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia, Mohd. Hifni Mohd. Baharuddin, membantu wartawan Mega mempermudahkan konsep ini.

Katanya, hutan di kawasan bukit secara semula jadi mempunyai peranan penting sebagai kawasan tadahan hujan, manakala sistem akar tunjang yang terdapat di dalam ekosistem hutan yang sihat berfungsi memegang dan menetapkan partikel tanah untuk kukuh di tempatnya.

Dalam keadaan semula jadi, limpahan air hujan akan jatuh pada kanopi pokok terlebih dahulu, sebelum tiba dan diserap ke dalam tanah dan seterusnya mengalir melalui kitaran hidrologi yang normal.

Jelas Mohd. Hifni, tanah berperanan bak ‘span’ yang menyerap lebihan air hujan. Sistem akar tunjang dari pokok-pokok besar yang berada jauh ke lapisan tanah yang lebih dalam akan memegang ‘span’ tanah ini bagi membolehkannya menyimpan serta melepaskan lebihan air sedikit demi sedikit.

“Oleh itu, kita dapat lihat banyak larian air yang kecil seolah-olah keluar dari mata air di kawasan bukit-bukit berhutan,” terang pakar ekologi itu.

Sebaliknya, tanpa hutan, kawasan tanah tinggi yang mana tanahnya terdedah tanpa akar-akar tunjang dari pokok-pokok besar, limpahan hujan lebat akan terus jatuh dalam jumlah yang besar ke atas tanah.

Justeru, tanah terpaksa menyerap jumlah air yang banyak dengan segera.

‘Span’ tanah

“Masalahnya, partikel tanah ini telah longgar berbanding tanah yang kaya dengan sistem akar semula jadi, mengakibatkan ‘span’ tanah cepat menjadi tepu,” tegas beliau.

Tanpa sokongan daripada sistem akar, ‘span’ yang telah tepu itu tidak mampu menampung berat air berlebihan, lalu tergelongsor sebagai tanah runtuh.

Contoh yang dipermudahkan, pertimbangkan satu keluasan dan kedalaman tertentu tanah kawasan berbukit. Selepas hujan lebat beberapa hari, tanah itu mungkin hanya mampu menampung berat partikel tanah bercampur air seberat 10 tan sahaja dan mula menggelongsor menjadi tanah runtuh.

Sebaliknya, tanah dengan keluasan dan kedalaman sama yang disokong dengan kehadiran sistem akar tunjang daripada beberapa pokok besar, mampu menyerap malahan menampung dua atau tiga kali ganda daripada berat tersebut.

Inilah sebabnya bukit yang ditarah mempunyai risiko tanah runtuh yang sangat tinggi akibat lapisan tanahnya yang lebih terdedah.

Selain mengawal tanah runtuh, konsep ‘span’ tanah dan sokongan daripada sistem akar tunjang turut berperanan mengawal limpahan air yang boleh menyebabkan banjir kilat.

“Inilah sebabnya kawasan tadahan hujan amat perlu dipulihara dan dikekalkan sebagai satu entiti besar semula jadi tanpa gangguan pembangunan,” jelasnya lagi.

Meliputi tanah tinggi yang ditarah dengan rumput atau tumbuhan renek (misalnya, tanaman sayur) juga tidak membantu span tanah. Ini kerana sistem akar tumbuhan sebegini hanyalah akar rerambut yang dangkal dan tidak mampu memegang lapisan tanah yang lebih dalam.

Di Tanah Tinggi Cameron Highlands misalnya, hutan semula jadi boleh dikatakan hampir tidak lagi wujud ekoran terlalu banyak tarahan bukit menjadi ladang-ladang sayur.

Liputan sebegitu hanya melindungi bukit daripada hakisan akibat hujan ringan tetapi risiko tanah runtuh tetap tinggi semasa hujan lebat.

Selain itu, membajak tanah untuk pertanian juga melonggarkan tanah.

Justeru, Mohd. Hifni berharap supaya kawasan tanah tinggi dipulihara dan dilindungi sepenuhnya.

“Lagipun, membangunkan kawasan tadahan hujan sudah tentulah berbahaya dan berisiko tinggi, jadi untuk apa membahayakan rakyat dengan mengganggu kawasan sebegini?” soal beliau.

Pendek kata, jadikanlah kejadian Bukit Antarabangsa sebagai satu pengajaran untuk kita khususnya kepada pihak-pihak yang melobi, memaju dan meluluskan projek pembangunan kawasan bukit.

Saturday, 13 December 2008

Hutan Bakau Kuala Selangor dipertahan

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI

Apa pengajaran terbesar untuk kita selepas kejutan tsunami 24 Disember 2004 lalu?

Selain kemusnahan yang cukup besar sehingga mengorbankan 57 nyawa sudah tentulah kita akhirnya menyedari akan kepentingan perlindungan dan pemuliharaan hutan bakau di persisiran pantai.

Hutan yang sering dikorbankan oleh usahawan kolam udang itu terbukti berperanan penting sebagai benteng terbaik fenomena semula jadi persisiran pantai termasuk tsunami.

Malapetaka itu secara tidak langsung telah memangkin pemuliharaan hutan-hutan bakau, di Malaysia dan juga negara-negara lain yang terjejas.

Hutan bakau bukan sahaja penting untuk melindungi kawasan persisiran pantai daripada air pasang luar biasa, musim tengkujuh dan hakisan tetapi juga berperanan penting bagi memampan fenomena pemanasan global.

Melalui kebolehan hutan bakau menyimpan karbon, ia membantu mengawal keseimbangan dan jumlah karbon dioksida dalam udara seterusnya mengurangkan jumlah dan impak dari gas-gas rumah hijau.

DIGI Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi), barangkali syarikat ICT yang paling aktif dalam pelbagai inisiatif menangani perubahan cuaca di Malaysia.

Terbaru, mereka melancarkan The Mangrove Treasures of Kuala Selangor, projek pertama dalam program Deep Green NOW, iaitu projek memelihara hutan bakau Kuala Selangor melibatkan pemuliharaan dan menghutankan semula ekosistem tersebut.

Lebih bermakna projek DiGi turut melibatkan enam buah sekolah menengah daerah Kuala Selangor, selain kerjasama dengan penerima sulung Anugerah Merdeka yang mengiktiraf sumbangan ulung kepada kebaikan dan kemajuan Malaysia untuk Kategori Alam Sekitar, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Kehilangan bakau terburuk

Sekolah-sekolah yang terlibat termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz, Sekolah Sains Kuala Selangor dan Sekolah Menengah Sri Tanjung.

Sekolah yang lain ialah, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman Shah, Sekolah Menengah Tiram Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Harun.

Ketua Pegawai Eksekutif DiGi, Johan Dennelind berkata projek itu antara lain bertujuan menarik generasi muda bagi terlibat aktif untuk meningkatkan kesedaran dan memelihara ekosistem bakau kawasan tersebut.

Katanya, kemerosotan hutan bakau negara mesti diberi perhatian serius memandangkan Malaysia adalah salah satu daripada lima negara yang mengalami kehilangan bakau paling buruk dunia sejak 1990 akibat tebusguna tanah.

Selain itu, katanya, Laporan Penilaian Hutan Bakau Dunia (1980-2005) daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) melaporkan lebih separuh daripada 3.6 juta hektar hutan bakau Asia telah dimusnahkan sejak tahun 1980.

“Di Asia, lebih 1.9 juta hektar hutan bakau telah dimusnahkan dalam masa yang singkat khususnya untuk dijadikan kolam ikan dan udang selain pertanian, infrastruktur dan pelancongan.

“Ini amat merunsingkan. Telah tiba masanya untuk kita berhenti menunggu sebaliknya mengambil tindakan segera,” katanya.

Bersama MNS, DiGi mahu memperkasakan masyarakat Kuala Selangor dan meningkatkan kesedaran serta pemahaman mereka tentang peranan utama hutan bakau dan ekosistem persisiran pantai yang telah menyokong kehidupan mereka.

Secara keseluruhan, seramai 120 pelajar tingkatan 1, 2 dan 4 terlibat dalam projek komuniti melibatkan tiga fasa iaitu Engage, Activate dan Empower itu.

Modus operandi projek ini ialah MNS akan membimbing para pelajar dan sukarelawan DiGi untuk menanam semula hutan bakau bagi memulihara ekologi bakau Kuala Selangor yang cukup sensitif.

Fasa pertama, termasuk menanam semula anak-anak bakau, pemantauan kualiti tanah dan air serta mengesan dan melapor sebarang perubahan dalam penanda-penanda biodiversiti untuk populasi tumbuhan dan hidupan liar.

Fasa seterusnya melibatkan program pendidikan alam sekitar dan satu kurikulum khusus berkenaan perubahan cuaca di sekolah-sekolah terlibat.

DiGi juga akan menggalakkan penubuhan Kelab Alam Semulajadi di sekolah-sekolah bagi membolehkan kumpulan perintis itu berkongsi pengetahuan dan pengalaman kepada rakan-rakan lain.

Dennelind yakin bahawa platform alam sekitar yang disemai kepada pelajar itu bakal 'menjangkiti' lebih banyak lebih ramai ahli masyarakat untuk turut sama melindungi hutan bakau.

Layari www.digi.com.my/ deepgreen/ atau www.mns.org.my untuk maklumat lanjut.

Kota Keriangan saji persembahan bertaraf dunia

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Kota Keriangan Genting bukan sahaja menawarkan pelbagai permainan untuk seisi keluarga malah merupakan lokasi pilihan pelbagai hiburan bertaraf antarabangsa.
Ke mana kita hujung minggu ini? Apa kata bawa keluarga dan sahabat handai ke Kota Keriangan Genting. Sambil-sambil meluangkan masa dengan keluarga dan bergembira dengan pelbagai permainan yang sedia ada, raikan juga kegemilangan kumpulan kebudayaan dari Istana Budaya, ‘Team Malaysia’ yang telah terkenal di mata dunia melalui persembahan Showcase Malaysia di Kota Keriangan itu.

Team Malaysia akan membuat sembilan persembahan hebat bermula semalam sehingga esok (Ahad), pada pukul 11 pagi, 4.30 petang dan 8 malam di tiga lokasi sekitar Kota Keriangan Genting.

Sementara itu, pelancaran Showcase Malaysia akan disempurnakan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd. Shafie Apdal pada pukul 11 pagi ini (Sabtu) di Time Square, First World Plaza.

Pastinya persembahan daripada 20 ahli yang terdiri daripada penari Istana Budaya (IB) yang dikenali sebagai Artistana, pemuzik IB (Istamuzika), penyanyi jazz hebat Noryn Aziz serta Iqwal dan dua model, Zeia dan Azura, menjanjikan persembahan bertaraf dunia yang cukup hebat dan gilang gemilang.

Juara dunia

Tambahan pula kumpulan itu telah berjaya menerima pengiktirafan yang cukup besar semasa pertandingan Kejuaraan Persembahan Seni Dunia kali ke 12 (12th World Championship of Performing Arts) di Los Angeles Amerika Syarikat (AS) yang telah berlangsung pada 17 hingga 26 Julai lepas.

Lebih menakjubkan, semasa persaingan yang menyaksikan lima ribu peserta daripada 41 negara itu, Team Malaysia telah berjaya merangkul 15 gelaran Champion of the World, 27 pingat emas, tujuh perak dan dua gangsa.

Selain itu, Team Malaysia juga berjaya merangkul anugerah Pakaian Kebangsaan Terbaik dalam perarakan di City Walk Universal Studio, Hollywood.

Tuesday, 9 December 2008

Aktivis alam sekitar Body Shop

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Jennifer Chan (depan) mengetuai sukarelawan The Body Shop dalam lawatan pertama mereka menjelajah Hutan Belum-Temengor baru-baru ini.

JENAMA kelengkapan penjagaan penjagaan diri dan kosmetik antarabangsa, The Body Shop, mempunyai reputasi dan etika yang cukup tinggi khususnya dalam aktiviti berkaitan kesukarelawan.

Percaya dengan semangat aktivisme, jenama tersebut kini memberi penekanan dalam pelbagai kempen sukarelawan dan menggalakkan tenaga kerjanya untuk terlibat sama dengan lebih aktif.

Menurut Pengurus Komunikasi Pemasaran The Body Shop, Jennifer Chan, pihaknya telah melancarkan sambutan hari ‘Saya Seorang Aktivis’ (I Am An Activist) pada 23 Oktober lalu dan bakal dirai setiap tahun sebagai penghormatan kepada pengasasnya, mendiang Dame Anita Roddick.

Antara penglibatan yang penting di bawah program ini ialah Projek Kenyalang di kompleks hutan hujan Belum-Temengor (kompleks BT), Gerik, yang menyaksikan sukarelawan The Body Shop berganding bahu dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), ‘sahabat karib’ mereka untuk kempen alam semula jadi.

Jenama ini adalah penyokong utama kempen Selamatkan Belum-Temengor sejak 2006 sehingga berjaya membantu dalam pengisytiharan Taman Negeri Royal Belum.

Namun, kempen hijau mereka tidak terhenti di situ. Dengan semangat aktivisme, Jennifer dan lapan sukarelawan The Body Shop telah menyertai lawatan MNS buat pertama kali ke kompleks BT baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memainkan peranan penting dalam kempen kesedaran dan pengumpulan dana untuk terus membantu usaha MNS bagi memulihara dan melindungi kompleks BT daripada sebarang aktiviti pembalakan.

“Pada September yang lepas, melalui kempen Kick The Habit Bag kami berjaya mengumpul sebanyak RM91,953 untuk disumbangkan kepada MNS,” katanya.

Sumbangan daripada orang awam itu, akan digunakan untuk membiayai inisiatif pemuliharaan dan perlindungan di Hutan Simpan Temengor supaya kawasan hutan hujan itu dapat diwartakan.

Ini termasuk penyelidikan dan pemantauan pergerakan hidupan liar, aktiviti kesedaran dan pendidikan alam semula jadi untuk masyarakat tempatan dan lain-lain.

Tegasnya, usaha mewartakan hutan Temengor bukan satu tanggungjawab yang hanya terletak pada bahu MNS, tetapi ia memerlukan bantuan semua rakyat Malaysia dengan segera.

Selain, menyokong isu perlindungan alam sekitar, tambah Jennifer, Yayasan The Body Shop yang juga merupakan tabung kebajikan bagi perlindungan haiwan dan hak asasi manusia telah mendermakan RM78,800 kepada badan-badan berkenaan.

Menyokong kempen

Sementara itu, orang ramai boleh menyokong kempen dan menjadi aktvis Body Shop dengan dengan membeli beberapa produk seperti Candle of Conscience, di mana bagi setiap pembelian lilin tersebut sebanyak RM9 akan disalurkan ke tabung yayasan dan badan bukan kerajaan (NGO) terpilih.

Begitu juga bagi Carry a Bag for Life, di mana sebanyak RM6.90 daripada setiap beg yang terjual akan disalurkan ke badan kebajikan kanak-kanak tertindas. Seterusnya Condom Play Safe, Prevent HIV yang digunakan bagi membiayai projek Pendidikan HIV/AIDS.

Saturday, 6 December 2008

Bulan madu santai di Taman Negara

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Peluang mengenal alam semula jadi dengan lebih rapat.

Berbulan madu bukan sekadar untuk pasangan baru berkahwin. Tidak kira berapa usia anda dan pasangan hidup anda, asalkan anda saling mencintai atau ingin meremajakan perhubungan, anda wajar berbulan madu.

Apa kata hadiahkan diri anda berdua dengan satu trip pelancongan yang unik dan pasti diingati di Taman Negara.

Tidak perlu terkejut, Taman Negara juga menawarkan keseronokan percutian santai yang bening dan mendamaikan, bukan sekadar untuk penggemar cabaran.

Hantar sahaja anak-anak kecil anda ke kem cuti sekolah dan anak-anak remaja anda ke kem rekreasi atau lumba lasak.

Hubungi Mutiara Taman Negara, satu-satunya resort yang terletak di dalam kawasan perlindungan ini dan bertanya mengenai program bulan madu empat hari tiga malam atau tiga hari dua malam yang ditawarkan.

Jika pakej itu menjadi pilihan anda, khidmat menarik yang bakal anda terima termasuk sarapan pagi di dalam bilik dan makan malam candlelight beserta layanan butler dan aktiviti terpilih bersama jurupandu alam semulajadi berpengalaman.

Aktiviti wajib Taman Negara sudah pasti dengan berjalan di atas titian silara. Pengalaman berjalan sejauh 530 meter pada ketinggian 45 meter sama sekali bukan sesuatu untuk dilepaskan.

Jika ingin berenang, pilih samaada anda ingin berenang bersama Raja Ikan Sungai di Kelah Santuari di Lubuk Tenor atau di jeram Lata Berkoh.

Kedua-duanya ialah air sungai yang sangat sejuk dan bersih serta sudah pasti lebih tulen dan sihat berbanding kolam-kolam mandi.

Manjakan Diri

Penat bersiar-siar? Manjakan diri anda dengan rawatan spa tradisional DiRaja Melayu menggunakan herba semulajadi hutan tropika di Ayer Spa.

Kata seorang petugas yang dikenali sebagai Martina, meskipun baru dibuka kurang setengah tahun yang lalu, Ayer Spa mendapat sambutan yang sangat menggalakkan terutama daripada pengunjung-pengunjung 'Mat Salleh'.

Pada sebelah malam pula, sertai lawatan nightwalk. Anda hanya perlu berjalan kira-kira satu kilometer masuk ke dalam hutan yang mengelilingi Mutiara Taman Negara malah separuh daripada perjalanan mudah itu, hanya memerlukan anda berjalan di atas titian pelantar kayu.

Jika anda bernasib baik, anda mungkin terserempak dengan haiwan-haiwan yang aktif pada malam hari selain cendawan yang bersinar di dalam gelap (pendaflour).

Antara yang berjaya dikesan oleh kumpulan media dalam satu lawatan baru-baru ini ialah kongkang, rusa, ular, kala jengking, labah-labah dan beberapa jenis burung.

Menyamankan tidur

Kemudian berehatlah dengan menghirup kesegaran secawan teh atau kopi panas sambil menikmati ketenangan romantis pemandangan sungai dari Restoran Seri Mutiara.

Lagipun, dendangan lagu alam, bunyi riang-riang, pelbagai burung dan kuang raya bagai tidak pernah terhenti sepanjang siang dan malam pasti menyamankan tidur anda.

Tinggalkan Taman Negara melalui perjalanan bot menyusuri Sungai Tembeling ke jeti Kuala Tembeling yang baru dinaik taraf beberapa tahun lepas.

Perjalanan bot penumpang berkelajuan sederhana hampir dua jam itu membolehkan pelancong benar-benar menikmati keheningan dan merakamkan keindahan alam dari pandangan sungai.

Perjalanan kira-kira dua jam itu tidak pernah membosankan kerana apa yang anda dapat menyaksikan bukan setakat pemandangan tumbuhan dan burung hutan hujan tropika dara.

Buka mata kerana anda mungkin terlihat haiwan-haiwan liar yang lebih sukar ditemui mendapatkan air di tebing sungai seperti kumpulan gajah atau seladang. Malah tidak mustahil harimau jika anda cukup bertuah.

Pergerakan bot membelah air bagaimanapun terasa bagaikan hayunan lembut buaian rajut boleh membantu anda melupakan segala beban di kepala dan mungkin menyebabkan anda terlena.

Oleh itu, tidak perlu serabut kepala atau penat badan, ambil masa dan nikmatilah Taman Negara.

Hubungi Mutiara Taman Negara di talian 09-2663500/ 03-27822222 atau e-mel rmtn@mutiarahotels.com atau pravind@mutiarahotels.com untuk maklumat lanjut.