KUALA LUMPUR 8 Jan. - Penyanyi Iqwal atau Ikhwal Hafiz Ismail, 16, yang pernah menempa kejayaan besar dalam pertandingan seni di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) mungkin terpaksa melupakan tawaran komposer antarabangsa di negara itu kerana kekangan kewangan yang dihadapinya.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohammed Mohd. Daud berkata, susulan daripada kejayaannya dalam pertandingan World Championship of Performing Arts (WCOPA) Julai lalu, sekurang-kurangnya enam komposer dan penerbit di AS telah membuat tawaran rakaman album kepada Iqwal.
Menurutnya, antara komposer yang menyatakan minat dan mahu berbincang secara serius dengan Iqwal termasuk komposer yang pernah menerbitkan lagu untuk artis terkenal Beyonce, Mariah Carey dan Celine Dion.
"Bagi merealisasikan impian tersebut, Iqwal memerlukan belanja yang besar iaitu sekurang-kurangnya RM500,000 bagi menampung pakej produksi tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata, jumlah tersebut adalah belanja yang diperlukan bagi menggilap potensi Iqwal menjadi artis baru untuk pasaran AS termasuk kos lagu, penerbitan dan penghasilan video klip bagi empat buah lagu.
Bagaimanapun katanya, kementerian tidak mampu menyediakan belanja sebanyak itu tetapi bersedia membantunya mencapai impian tersebut jika Iqwal berjaya mendapatkan tajaan.
"Meskipun jumlah itu mungkin dapat dikumpul, dia masih memerlukan lebih banyak belanja bagi menampung kos penginapan dan sara hidup di negara tersebut," tambahnya.
Jelasnya, Iqwal perlu menetap sekurang-kurangnya enam bulan di AS untuk terlibat dengan pelbagai rancangan yang diatur bagi mempromosi mini album termasuk penampilan dalam rancangan televisyen, persembahan pentas dan jelajah promosi.
"Kebanyakan komposer tersebut cukup serius mahu mendapatkannya dan menganggap dia mudah dibentuk ekoran usianya yang masih muda dan penguasaan pentasnya yang mantap berbanding pesaing lain dalam pertandingan tersebut," ujarnya.
Justeru, jelasnya, kementerian amat mengalu-alukan tajaan daripada pihak swasta atau badan korporat yang berminat membantu Iqwal kerana beliau diyakini boleh mencapai kejayaan yang cemerlang dalam industri muzik antarabangsa.
Dalam pertandingan WCOPA yang berlangsung di Los Angeles Julai lalu, remaja itu telah menguasai semua lima kategori vokal yang disertai dengan merangkul empat pingat emas dan satu perak.
Kejayaan itu juga membolehkannya menerima Anugerah Industri yang diberikan penganjur WCOPA kepada artis-artis yang berpotensi untuk diketengahkan di pasaran AS.
Sebulan kemudian, Iqwal menerima jemputan untuk beraksi dalam majlis anugerah The Best New Talent Award yang bertempat di Kodak Theatre, Hollywood sekaligus menjadikannya artis Malaysia pertama beraksi di pentas kemasyhuran itu selain berjaya membawa pulang anugerah The Best International Artiste.
Remaja tersebut boleh menyanyi dengan baik dalam 14 bahasa dan sedang berusaha mendapatkan sijil pra-diploma dalam bidang muzik.
Iqwal kini mengikuti kelas seni vokal, persembahan dan tarian di sekolah seni berprestij The Singing Shop dan memahirkan diri bermain piano dan gitar klasik di School of Music, Subang.
No comments:
Post a Comment