
Kota Keriangan Genting Highlands telah lama diangkat sebagai destinasi pelancongan yang terkenal di rantau ini dengan pelbagai pilihan permainan dan hiburan untuk setiap lapisan masyarakat.
Lebih gah, kota ini, khususnya di Arena All Stars Genting telah menyaksikan ribuan persembahan penghibur bertaraf antarabangsa dari seluruh dunia.
Atas kejayaan itu, Genting amat positif memperkasakan lagi Kota Keriangan itu sebagai hab pertunjukan seni utama Asia Tenggara.
Menurut Naib Presiden Kanan Perhubungan Awam dan Komunikasi Resort World, Datuk Anthony Yeo, pihaknya sememangnya berhasrat mahu memainkan lebih peranan bagi mempromosikan keunikan budaya dan seni tempatan.
Sebagai permulaan delegasi Istana Budaya (IB) telah dijemput menjayakan Showcase Malaysia selama tiga hari di Time Square, First World Plaza, Genting Highlands, baru-baru ini.
"Kami amat mengalu-alukan Showcase Malaysia dan berharap lebih banyak persembahan seni bercirikan Malaysia dapat ditampilkan untuk tetamu kami yang rata-ratanya pelancong asing," jelasnya selepas perasmian Showcase Malaysia di Genting Highlands baru-baru ini.
Juara dunia
Showcase Malaysia sebenarnya telah berjaya menerima pengiktirafan yang cukup besar semasa pertandingan Kejuaraan Persembahan Seni Dunia ke-12 (WCOPA 08) di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada 17 hingga 28 Julai lepas.
Pastinya 20 ahli yang terdiri daripada penari Istana Budaya (IB) yang dikenali sebagai Artistana, pemuzik IB (Istamuzika), penyanyi jazz hebat Noryn Aziz serta Iqwal dan dua model, Zeia dan Azura, telah memberikan persembahan bertaraf dunia yang cukup hebat dan gilang gemilang di Hollywood.
Masakan tidak, semasa persaingan yang melibatkan 5,000 peserta daripada 41 negara itu, mereka telah berjaya membawa pulang 15 gelaran World Champion, 27 pingat emas, tujuh perak dan dua gangsa.
Mereka juga berjaya melangkah sehingga ke peringkat akhir dalam semua 39 kategori yang dipertandingkan, merangkumi vokal, muzik, tari dan peragaan pentas.
Bukan itu sahaja, Malaysia juga berjaya merangkul anugerah Pakaian Kebangsaan Terbaik dalam perarakan di City Walk Universal Studio, Hollywood.
Sebulan selepas itu pula, Iqwal telah mendapat jemputan membuat persembahan di majlis anugerah The Best New Talent Award di Kodak Theatre, juga di Hollywood.
Menyaksikan persembahan yang berlangsung selama sejam di Genting, meskipun ia hanya sebahagian kecil daripada pertunjukan sebenar, telah membuktikan kemampuan IB menghasilkan seni persembahan yang cukup tinggi kualitinya.
Bakal jelajah Paris
Persembahan mantap itu juga telah menarik perhatian penggerak seni dari Perancis yang berminat membawa Showcase Malaysia menjelajah kota fesyen dunia itu sekitar Oktober 2009.
Meskipun ia masih di peringkat perancangan, menurut Pengarah Persembahan Showcase Malaysia, Bahizal Abu Bakar, perbincangan di antara kedua-dua pihak berjalan lancar.
Beliau juga berharap dengan pencapaian itu, ada pihak yang berminat membawa Showcase Malaysia menjelajah ke seluruh negara untuk menjadi santapan rakyat kita sendiri dan negara serantau.
Sementara itu, persembahan mantap dan bertenaga Showcase Malaysia juga telah menarik perhatian Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Teng Boon Soon yang terus terang mengakui beliau paling terpaku menyaksikan Iqwal.
"Persembahan beliau amat menghiburkan, malah setaraf dengan penghibur hebat antarabangsa, jadi tidak hairanlah beliau mendapat tawaran menjadi artis rakaman Hollywood," puji Boon Soon.
Timbalan menteri itu juga berharap agar penggerak industri seni atau mana-mana korporat dapat menaja Iqwal dan Noryn Aziz ke Hollywood untuk sekurang-kurangnya setahun.
Ini memandangkan mereka telah menerima tawaran merakam album sekali gus menjadi artis Hollywood dan secara tidak langsung dapat memperkasakan karier mereka di persada antarabangsa selain memperkenalkan budaya dan identiti Malaysia.
No comments:
Post a Comment