Saturday, 31 January 2009

Kapal layar semakin popular

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
PEMILIKAN kapal layar super atau kapal layar mega melambangkan kemewahan pemiliknya.

Cabaran belayar mengelilingi dunia pada 1995 dengan kapal layar peribadinya, Jugra, selama hampir dua tahun barangkali menjadi peristiwa penting yang dirintis oleh Sultan Sarafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ketika itu Raja Muda Selangor.

Ia membuka mata rakyat mengenali keunikan sukan layar rekreasi.

Apatah lagi catatan pengalaman yang disiarkan secara berkala di dada akhbar Mingguan Malaysia sepanjang pengembaraannya sejauh 27,940 batu nautika dan singgah di 155 pelabuhan itu, amat menarik dan mengagumkan malah seolah-olah membawa sama rakyat untuk merasai apa yang baginda rasakan.

Kapal layar atau yatch adalah kapal rekreasi yang berbeza dengan kapal- kapal lain kerana penggunaannya untuk pelayaran hobi untuk bersantai atau perlumbaan layar.

Seperti namanya, ciri utama yatch ialah kapal yang digerakkan menggunakan layar yang didorong dengan tenaga angin.

Tetapi angin tidak semestinya sesuai dan tidak selalu mencukupi, justeru kini hampir semua yatch mempunyai sumber tenaga alternatif iaitu enjin dan propeler.

Kapal layar rekreasi terdapat pelbagai bentuk dan saiz. Terdapat juga bot layar yang lebih kecil dan ekonomi yang memerlukan pengemudian yang tangkas dan mudah dipelajari dikenali sebagai kapal layar bermotor.

Biasanya, panjang kapal layar yang kecil adalah sekitar enam hingga 30 meter. Kapal layar mega pula bersaiz melebihi 34 meter, manakala kapal layar super adalah kapal layar yang lebih besar daripada 70 meter.

Memandangkan semakin besar kapal tersebut, makin tinggi kos pembuatan dan selenggara, ini adalah antara faktor pemilikan kapal layar yang besar menjadi trend simbol kemewahan yang kian popular.

Belayar sebagai sukan bagaimanapun bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kecekapan, kerjasama padu dan strategi yang ketat di antara ahli pasukan untuk melaksanakan pelbagai tugas serentak di atas kapal yang bergerak.

Malah ada pasukan yang perlu berlatih bersama hingga bertahun- tahun bagi memahirkan diri bergerak dan belajar menjalankan tugasan bersama-sama. Oleh itu, menaiki kapal layar untuk bersiar-siar sudah tentu lebih menyeronokkan.

Nikmat pelayaran menaiki kapal layar sebenarnya bukan permainan mewah untuk kerabat diraja atau golongan kaya sahaja, kini, asalkan memiliki pengetahuan untuk mengemudi dan navigasi, sesiapa sahaja boleh belayar.

Bijak belayar

Di Langkawi, terutama di marina Telaga Harbour, Porto Malai dan Kilim adalah lokasi pelayaran dan persinggahan kapal layar yang agak popular khususnya di kalangan rakyat Eropah.

Lain-lain marina popular dunia sebagai persinggahan kapal layar termasuk Newport di Rhode Island, Teluk San Francisco di California, Fremantle di Western Australia, Hamble di Hampshire, England.

Nikmat paling ketara daripada pengembaraan berlayar pastinya mampu mendamaikan minda dan merehatkan badan. Lagipun ia lebih mengujakan berbanding bersiar-siar di taman atau mendaki gunung.

Memiliki kapal layar mungkin terlalu mahal, tetapi masih ada cara untuk menikmati pengalaman belayar kerana ada pemilik yang sudi membenarkan orang luar menyertai pelayaran mereka dengan kos tertentu.

Bagi kawasan peranginan seperti di pulau-pulau terdapat perkhidmatan sewaan kapal layar yang dikenakan caj mengikut jam.

Belayar juga sebenarnya cara yang cukup baik bagi mengembalikan kemesraan dan merapatkan hubungan kekeluargaan atau sesama sahabat ketika kita belayar sambil menikmati pemandangan lautan menakjubkan.

Tanpa televisyen atau bunyi telefon bimbit, belayar di lautan biru membantu anda untuk lebih fokus akan keperluan orang-orang penting di sekeliling anda.

Lagipun, belayar adalah aktiviti yang amat menyeronokkan, bahkan banyak perkara menarik lain yang boleh anda lakukan selain bersiar-siar seperti memancing, menyelam dan berenang.

Bagi pencari ketenangan tulen juga bagi mereka yang perlukan masa untuk diri sendiri anda sama sekali tidak mempunyai sebarang gangguan di atas kapal layar untuk berfikir atau membuat keputusan penting.

Membelah permukaan air juga bermakna tiada masalah kesesakan lalu-lintas, anda boleh menghabiskan masa berhari- hari bergerak dari satu lokasi indah ke lokasi lain tanpa stres sebaliknya anda memiliki ruang yang cukup luas bagi boleh bergerak dengan bebas.

Saturday, 24 January 2009

Jet peribadi cita rasa eksekutif

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
WALAUPUN ada yang mengatakan jet peribadi hanya untuk melambangkan kekayaan tetapi ia menjadi keperluan kepada ahli perniagaan masa kini.

KETIDAKTENTUAN ekonomi dunia 2009 sama sekali bukan petanda industri jet peribadi menjadi lembap sebaliknya, ia dijangka akan menjadi pilihan yang lebih popular berbanding penerbangan antarabangsa komersial.

Ini berlaku ekoran pengurangan destinasi, jumlah tempat duduk dan jumlah penerbangan yang telah dilakukan oleh syarikat penerbangan antarabangsa sebagai langkah mengatasi kenaikan harga bahan bakar.

Justeru, memandangkan pilihan yang ada untuk tiba ke destinasi popular atau terpencil secepat mungkin semakin berkurangan, minat terhadap penggunaan jet sewa akan terus meningkat terutama di kalangan ahli perniagaan yang bergantung kepada kecekapan perjalanan udara.

Tambahan pula, jet peribadi adalah pilihan terbaik untuk ke destinasi akhir mereka dengan lebih pantas tanpa risiko kelewatan atau masalah penukaran rangkaian antara pesawat syarikat penerbangan antarabangsa yang boleh berlaku.

Pengurangan destinasi dan jumlah tempat duduk antara 10 hingga 15 peratus bagi setiap destinasi oleh syarikat-syarikat penerbangan utama juga dijangka memberi kelebihan kepada pemilik-pemilik jet peribadi mendapatkan pelanggan.

Perkembangan penyewaan jet juga disokong oleh usaha pemilik jet yang semakin aktif mencari pelanggan untuk menampung kos pembiayaan bagi memastikan penerbangan seterusnya berjalan lancar.

Sementara itu, selain potensi penyewaan yang boleh menguntungkan pemilik, golongan kaya didapati masih berminat membeli jet-jet peribadi meskipun industri pembuatan pesawat mengalami waktu ketidaktentuan ekonomi tahun ini.

Pengarah Pemasaran Airbus (Penerbangan Eksekutif dan Persendirian), David Velupillai mengakui tempahan jet peribadi terus meningkat di serata dunia khususnya di kalangan hartawan dan jutawan.

“Kepentingan jet peribadi terbukti bagi melancar lagi urusan perniagaan dan membolehkan mereka menjimatkan lebih banyak masa serta menjadi lebih produktif,” jelasnya.

Beliau tidak mendedahkan bilangan tempahan atau jualan oleh Airbus tahun ini tetapi pengeluar pesawat dari Eropah itu telah menjual 23 jet peribadi bernilai lebih AS$ 3 bilion (RM 10.8 bilion) tahun lepas yang termasuk 14 pesawat satu lorong dan sembilan pesawat berbadan lebar.

Pada tahun sebelumnya pula, Airbus telah berjaya menjual sebanyak 38 unit jet peribadi yang mana 31 daripadanya ialah pesawat satu lorong.

“Pencapaian itu menunjukkan pesawat keluaran Airbus amat popular sekaligus mengatasi syarikat pesaing, jadi kita sangat optimistik untuk melihat perkembangan industri tahun ini,” ujarnya pada Persidangan Industri Jet Peribadi Dunia di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Antara Jet Korporat Airbus (ACJ Family) yang terdapat di pasaran ialah A318 Elite, Airbus ACJ dan A320 Prestige. Pesawat Airbus ACJ Family memiliki ciri-ciri rekaan dalaman eksklusif, moden dan kontemporari yang dilengkapi ruang pejabat, bilik tidur, ruang makan dan ruang santai yang berinovasi tinggi.

Pesawat-pesawat tersebut juga dilengkapkan dengan ruang simpanan minyak tambahan yang membolehkannya terbang pada jarak yang lebih jauh.

Velupillai berkata, pihaknya merancang untuk memberi tumpuan kepada pasaran Asia selepas berjaya meluaskan pengaruh di negara-negara Eropah.

“Pasaran terbesar kami pada waktu ini di Asia adalah di China dan ia mempunyai potensi yang baik dan berterusan,” ujarnya.

Permintaan bagi korporat jet yang besar di Asia sedang berkembang, malah sejak lapan tahun yang lepas, industri tersebut telah meningkat kira-kira 50 peratus, jadi kami akan mempergunakan sebaiknya peluang itu,” tambahnya.

Airbus, jelasnya, melihat Asia sebagai pasaran yang sangat penting memandangkan pertumbuhan ekonominya yang kuat apatah lagi bandar-bandar utama Asia terpisah oleh jarak yang jauh.

Sejak pertengahan 1980-an iaitu pada awal permulaan Bahagian Penerbangan Peribadi, Airbus telah menjual 150 buah jet korporat, termasuk A318, A320 Prestige, ACJ dan pesawat lebar.

Daripada jumlah itu, 20 unit dijual kepada pembeli Asia termasuk China Sonangol, Royal Thai Air Force, Skytraders dan the UB Group of India. Beberapa unit jet juga dibeli oleh rakyat Malaysia tetapi identiti mereka dirahsiakan.

Tambah Velupillai lagi, kini terdapat sekitar 25 unit jet peribadi Boeing 777 yang perlu diganti tidak lama lagi dan itu sendiri adalah potensi perniagaan kepada Airbus.

Wednesday, 21 January 2009

Hong Kong hab fesyen Asia

KARNIVAL fesyen terbesar Asia yang mengumpulkan koleksi terbaik pereka dan jenama dari seluruh dunia iaitu Hong Kong Fashion Week for Fall/Winter (HKTDC) kini menyambut ulang tahun ke-40 tahun.

Acara utama minggu fesyen itu ialah World Boutique Hong Kong 2009 yang terdiri daripada 14 pertunjukan peragaan fesyen, empat perarakan mini dan tujuh seminar.

Kali ini, showcase fesyen yang juga merupakan kedua terbesar di dunia itu telah berlangsung pada 14 hingga 17 Januari lalu. Ia berjaya menarik lebih 1,400 peserta dari 23 negara untuk mengambil bahagian.

Minggu fesyen itu turut menempatkan zon-zon fesyen bertema termasuk Fabrics & Yarn yang mengumpulkan pelbagai produk fabrik daripada kapas, sulaman, linen dan benang bulu.

Zon-zon lain termasuk Emporium de Mode yang mempamerkan hasil fesyen hebat dan glamor, zon Spice Arena dengan pelbagai gaya topi, kasut, skaf dan beg tangan, zon Body & Intimate Wear dan sebagainya.

Secara tradisi, acara itu masih menjadi wadah paling berkesan yang mengumpulkan penggiat fesyen dan pembeli dari seluruh dunia. Tahun lepas, acara empat hari itu telah berjaya menarik 1,490 peserta dari 20 negara dan 23,700 pembeli dari lebih 100 negara.

Jenama dan koleksi pereka yang terlibat datang dari negara-negara yang berbeza termasuk Hong Kong, Australia, Perancis, India, Indonesia, China, Itali, Korea, Filipina, Singapura, Switzerland, Taiwan dan Amerika Syarikat.

Jenama-jenama terkenal seperti BUTONI, Carlopik, Didier Parakian, Dorian Ho Collection, Dp Jeans, Imaroon, Koyo Jeans, Lauren-Spencer, Moiselle, OKA DIPUTRA, RA International, Tiq, VOGLINE, VSP juga mengambil bahagian.

Lebih 5,000 pembeli yang terdiri daripada pemborong dan butik dari seluruh dunia turut mengambil bahagian termasuk Walmart, Cotton On Australia, Marie-Claire dari Kanada, Le Château, Bosideng, Mytsuko SA - Alain Weiz - Rondissimo - AW dari Perancis, Coles Group Asia, Quiksilver Asia, Basics dan sebagainya.

Saturday, 17 January 2009

Industri kraf desa bukti keunikan Kelantan

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Seni tenunan songket, cantingan batik serta pertukangan emas dan perak adalah antara warisan kemahiran tradisional yang tidak pernah luput di telan zaman.

TIDAK seperti negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung, Kelantan tidak mengalami proses perindustrian atau pembangunan yang pesat.

Sebaliknya, masa bagaikan terhenti di sini malah amalan hidup tradisional masih mudah dirasai di seluruh negeri dan pastinya inilah yang menjadikan negeri Cik Siti Wan Kembang ini cukup unik.

Masyarakatnya masih kaya dengan tatasusila hidup rukun dan aman damai di sawah-sawah padi, perkampungan nelayan dan bandar-bandar kecil yang tenang.

Lokasi paling sibuk negeri ini barangkali di pasar basah tradisional, Pasar Besar Siti Khatijah yang juga ikon dan tarikan utama Kota Bharu.

Sejarah yang cukup panjang negeri ini serta keunikan budayanya telah didokumentasi dengan baik di dalam pelbagai muzium dan galeri yang hampir kesemuanya terletak di kawasan yang berdekatan.

Ini termasuk Muzium diRaja (Istana Batu), Muzium Negeri, Muzium Perang dan Istana Jahar. Lawati juga Kampung dan Muzium Kraftangan serta Pusat Budaya.

Tarikan negeri ini yang sama sekali tidak boleh dipertikaikan ialah bakat dan kemahiran seni kraf yang dianugerah kepada rakyat Kelantan yang mengusahakan industri kecil termasuk hasil kraf perak, tembaga, batik dan wau.

Justeru, alang-alang sudah ke Kelantan, luangkan masa nikmati permainan-permainan silam seperti gasing, wau atau memikat burung serta jangan lepaskan peluang mengunjungi lokasi-lokasi industri desa tertentu menyaksikan tukang-tukang yang mahir menunjukkan kebolehan masing-masing.

Industri seni kraf desa termasuk:

Penghasilan wau tradisi

Seni kraftangan wau cukup sinonim dengan negeri ini. Kemahiran seni halus pembuatan wau biasanya diturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya dalam keluarga bagi mengekalkan mutu dan kecantikan wau tradisional hingga masa ini.

Wau dihasilkan dalam pelbagai warna, corak, jenis, bentuk dan rupa seperti wau bulan, wau merak dan wau kucing dan biasanya dimainkan selepas musim menuai padi.

Pantai Cahaya Bulan adalah antara lokasi yang paling mudah untuk mendapatkan gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis wau tradisi yang cantik. Sementara itu, Pertandingan Wau/ Layang-layang Antarabangsa pula diadakan di Pantai Seri Tujuh atau Pantai Geting di daerah Tumpat setiap tahun.

Pertukangan perak

Hasil pertukangan perak di negeri Kelantan cukup terkenal dengan kehalusan seni ukirnya. Antara barangan kraf perak berkualiti yang dihasilkan termasuk mangkuk buah, set minuman, bekas habuk rokok, kerongsang, dan rantai atau gelang.

Terdapat beberapa kampung yang terkenal dengan industri seni pertukangan ini iaitu Kampung Marak, Kampung Sireh dan Kampung Badang. Ketiga-tiga lokasi industri perak ini mudah dikunjungi dari Kota Bharu kerana terletak kira-kira hanya 10 kilometer dari bandar itu.

Penenunan songket dan cantingan batik

Songket yang mendapat jolokan Cloth of Gold satu ketika dulu hanya dihasilkan sebagai persalinan istana untuk kerabat diraja atau para pembesar sahaja.

Kini, seni pakaian yang indah itu telah digunakan secara meluas oleh semua lapisan masyarakat dan menjadi pilihan utama sebagai persalinan perkahwinan tradisional serta lain-lain majlis rasmi.

Kilang tenunan songket yang popular ialah Kampung Penambang yang terletak di pinggir bandar Kota Bharu. Kilang ini menghasilkan kain songket menggunakan benang sutera dari Thailand yang ditenun halus bersama benang emas dan perak dari India.

Sementara itu, bagi pengunjung yang berminat menyaksikan proses penghasilan batik bolehlah ke kilang- kilang batik di Kampung Putih, Kampung Kubur Kuda atau Kampung Badan.

Di sini, pelbagai teknik digunakan bagi menghasilkan pelbagai cantingan dan corak batik berkualiti tinggi samaada untuk dijadikan pakaian atau perhiasan dan cenderamata.

Pertukangan gasing tradisional

Perusahaan gasing tradisional yang terkenal termasuklah Said Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Pak De. Beliau telah giat mengusahakan perusahaannya di Kampong Bunohan di Tumpat sejak tahun 1970an lagi dan masih menjadi tumpuan dari penggemar gasing tradisional.

Gasing tradisional biasanya diperbuat daripada kayu keranji dan terdapat dalam pelbagai saiz, bentuk dan ukiran.

Pertukangan tanduk kerbau balau

Satu lagi hasil seni kraf yang unik di negeri Kelantan ialah barangan hiasan yang diperbuat daripada tanduk kerbau balau terutama hulu keris, selain barangan cenderamata, lastik burung dan sebagainya.

Kampung Morak adalah lokasi yang terkenal dengan kemahiran pertukangan tanduk kerbau balau selain pertukangan perak dan emas.

Alat muzik tradisional Kertop

Perusahaan seni pembuatan Kertop iaitu sejenis alat muzik yang diperbuat daripada kelapa amat popular di Kampung Ana Jal.

Alat itu biasanya dimainkan ketika majlis-majlis rasmi ketibaan dan keberangkatan Duli yang amat Mulia Al-Sultan Kelantan ke sesuatu majlis. Menariknya, bunyi dari alat ini boleh kedengaran sehingga sejauh 1.5 kilometer.

Tabu atau perlu pendidikan seks di sekolah?

KESESUAIAN dan kesan pendidikan seks untuk pelajar sekolah menengah di Malaysia tidak habis-habis dibincangkan dan sehingga kini masih belum ada pelaksanaan pendidikan seks secara formal di sekolah.

Di dalam sebuah laman web, seorang pengguna bertanya mengenai keburukan ajaran pendidikan seks di kalangan pelajar sekolah menengah.

Menjawab soalan tersebut, seorang pengguna lain berpendapat sambil menegaskan tiada sebarang kesan buruk mengenai pengajaran subjek itu, bahkan ia perlu dimulakan lebih awal lagi.

Kata pengguna tersebut, kesan buruk pendidikan seks bergantung kepada apa yang diajar di sekolah iaitu hanya jika remaja tidak menerima maklumat yang lengkap.

Pendedahan yang tidak menyeluruh atau terlalu minimum, tambahnya, hanya meluapkan lagi rasa ingin tahu yang akhirnya boleh meningkatkan kejadian seks bawah umur, jenayah rogol juvana dan lain-lain.

Apatah lagi, dalam usia remaja, pengaruh-pengaruh lain telah banyak mendedahkan remaja dengan seks dan sebagainya dan jika tidak dibimbing dengan baik, mereka boleh terjebak dalam ketagihan bahan lucah dan seumpamanya.

Kenyataan pengguna internet tersebut memang ada kebenarannya apatah lagi dengan berleluasanya bahan lucah yang terlalu mudah didapati oleh sesiapa pun di negara kita termasuk remaja dan kanak-kanak.

Penerbitan dan pengedaran bahan bacaan lucah telah lama diharamkan dari Malaysia, tetapi tiada siapa yang mampu mengawal akses terhadap bahan lucah dari internet.

Sementara itu, pasaran VCD dan DVD lucah di Malaysia juga amat berleluasa dan bukan berpunca daripada kurangnya penguatkuasaan tetapi akibat sikap masyarakat.

Sekiranya tiada permintaan tiadalah pasaran, itu adalah hukum ekonomi yang paling asas.

Bayangkan senario benar ini. Seorang lelaki yang sedang berjalan di Jalan Petaling di ibu kota dikerumuni bak semut oleh penjual-penjual VCD.

Tanpa segan silu mereka menayangkan gambar-gambar kulit VCD lucah tanpa menghormati teman wanita di sebelah lelaki tersebut.

Jadi dengan akses bahan lucah yang begitu mudah, bagaimana remaja boleh memendamkan rasa ingin tahu semula jadi dengan cara yang betul sedangkan soal ini masih tabu untuk perbincangan terbuka?

Remaja yang berusia di antara 11-18 tahun merupakan kelompok yang sedang mengalami perkembangan dan perubahan fizikal dan emosi khasnya berkaitan seksual.

Ini akan membuatkan mereka cenderung mendapatkan maklumat daripada sumber tidak rasmi sekiranya gagal mendapatkan maklumat formal terutama dari sekolah atau pengamal kesihatan.

Ini termasuk melalui perbincangan dengan rakan sebaya, bahan bacaan seks atau percubaan secara perlakuan mastubasi, bercumbu bahkan terus melakukan hubungan seks.

Kesannya kes-kes jenayah seksual, kehamilan bawah umur, jangkitan STD hingga kepada kes pembunuhan melibatkan pengguguran haram dan bayi-bayi comel yang mati dibuang merata-rata melibatkan remaja banyak terpampang di muka akhbar.

Antara faktor penting yang menyumbang kepada isu sosial ini ialah kurangnya pengetahuan terhadap kesihatan seks remaja.

Persoalan

Akhbar Kompas pernah melaporkan 94 peratus remaja Indonesia dahagakan maklumat mengenai persoalan dan kesihatan seks namun tidak mendapat maklumat yang tepat.

WHO pula telah menegaskan dua kepentingan utama yang diperolehi daripada kesedaran pendidikan seks.

Pertama, mengurangkan bilangan remaja yang melakukan seks haram.

Kedua, melindungi mereka yang mengamalkannya daripada jangkitan STD seperti AIDS, chlamidia, gonorea, sifilis dan sebagainya.

Pendidikan seks menjadi lebih penting apatah lagi kajian WHO mendapati remaja perempuan (berusia 14-19 tahun) lebih mudah dijangkiti STD berbanding remaja lelaki dengan kadar 2:1.

Jadi, bagaimanakah cara pendidikan seks secara formal yang paling sesuai diperlukan oleh remaja kita?

Penyelidik The Heritage Foundation berpendapat pendidikan seks yang mengambil pendekatan menahan diri daripada seks (abstinance) lebih sesuai berbanding pendekatan amalan seks selamat yang lebih banyak menyentuh soal fizikal.

Menurut Rector R.E., Pardue M. G. dan Martin S. pula program menahan diri patut mengajar tentang kepentingan asas emosi dan psikologi dalam seksualiti manusia secara semula jadi dan bukannya aspek fizikal.

Katanya, remaja patut difahamkan bahawa asas kebahagiaan seksual wujud kualiti asas perkahwinan iaitu keintiman, kasih sayang dan komitmen.

Ini kerana jika menurut cara yang benar-benar betul, aktiviti seksual akan mendorong kepada pembinaan ikatan emosional jangka masa panjang di antara dua individu.

Oleh itu, program pendidikan seks mesti menggalakkan menahan diri daripada perilaku seks sepanjang peringkat remaja dan sebaiknya sehingga berumah tangga.

Topik pendidikan mesti menegaskan bahawa remaja yang terjebak dalam seks secara kasual bukan hanya akan memberi ancaman hamil dan jangkitan STD tetapi hilang kebolehan membina perhubungan kasih sayang selepas dewasa.

Maka, pendidikan seks seharusnya diperlukan di sekolah-sekolah bagi membimbing remaja membuat persediaan ke arah membina perkahwinan dan institusi kekeluargaan yang sihat.

Walau apa pun, kajian mendapati 62 peratus warga Amerika setuju menjauhi seks haram adalah jangkaan standard kepada semua peringkat umur pelajar sekolah seluruh dunia.

Saturday, 10 January 2009

Pelan pembalakan mengancam badak dan harimau

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Spesies yang dilindungi sepenuhnya, badak Sumatra dan harimau Malaya didapati menetap di kawasan hutan Terengganu yang dibalak. Gambar oleh WWF-Malaysia/Stephen Hogg. Gambar sungai yang keruh diambil di lokasi projek pembalakan oleh Ahmad Zafir WWF-Malaysia.

Laporan terperinci Penilaian Kesan Terhadap Alam Sekitar atau Detailed Environment Impact Assessment (DEIA) untuk cadangan pembinaan janakuasa hidro Hulu Terengganu oleh Tenaga Nasional Berhad telah dikeluarkan untuk tinjauan umum.

Ketua Pegawai Eksekutif Dana Hidupan Liar (WWF) Malaysia, Datuk Dr. Dionysius Sharma meluahkan kebimbangan beliau terhadap habitat penting spesies terancam tempatan terutama badak Sumatra dan harimau Malaya makin terjejas ekoran pelan pembalakan kira-kira 19,000 hektar hutan itu.

Laporan DEIA adalah cadangan kerajaan negeri Terengganu untuk membalak semua kayu-kayu berharga di kawasan seluas 12,620 hektar bersebelahan dengan kawasan hutan simpan seluas 6,130 hektar yang sedang dibersihkan bagi membina empangan Puah dan Tembat.

Kata Sharma, imej satelit yang turut terkandung di dalam DEIA menunjukkan terdapat kawasan tadahan air yang telah ditebang sejak sekitar 2005 dan 2006.

“Tinjauan dan bukti tersebut mencadangkan penebangan hutan dan pembersihan hutan telah pun dilakukan sebelum kelulusan DEIA lagi," katanya.

Menurutnya, antara faktor perlunya mengekalkan Hutan Simpan Tembat dan Petuang termasuk kepentingannya sebagai kawasan tadahan hujan untuk Tasik Kenyir.

Juga kajian mendapati kira-kira 55 peratus daripada spesies burung yang ditemui di kedua-dua hutan simpan itu adalah dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

Kajian yang dilakukan sebagai sebahagian daripada DEIA telah menemui bukti kehadiran badak Sumatra di situ. Kesan-kesan daripada haiwan tersebut termasuk jejak dan kesan pemakanan serta kesan tanduk telah ditemui oleh Pasukan Badak Sumatra dari Jabatan Perhilitan pada Ogos 2008 di hutan yang sama.

Selain badak Sumatra, hutan simpan itu juga habitat kepada haiwan terancam yang lain termasuk harimau Malaya dan tapir yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.

Konflik gajah-manusia

Laporan DEIA juga menyatakan bahawa 30 peratus daripada populasi gajah di dalam kawasan projek akan dipaksa terpinggir ke kawasan ladang berhampiran yang bakal menyebabkan lebih banyak konflik dengan manusia.

Konflik antara gajah dan manusia telah berlaku di Hutan Simpan Tembat dengan beberapa kes dilaporkan di Hulu Setiu dan Hulu Nerus. Kesannya, pemilik ladang bakal mengalami lebih kerugian dan kerosakan harta benda dan kerajaan terpaksa menghadapi kos yang tinggi untuk pengurusan konflik.

Laporan DEAI telah mengesahkan bahawa aktiviti eko-pelancongan di Sungai Tembat dan Sungai Terengganu Mati akan terjejas ekoran kemerosotan kualiti air sungai. Laporan itu juga menyebut kadar hakisan yang tinggi dan sedimentasi akibat projek tersebut akan menjejaskan pembiakan dan biodiversiti ikan.

Kemerosotan kualiti air sungai itu, jelas Sharma, membimbangkan kerana ia bakal menyebabkan kemerosotan populasi ikan kelah yang terdapat di sungai tersebut selain menjejaskan aktiviti eko-pelancongan di kawasan terbabit.

Sharma juga menjelaskan bahawa penebangan hutan di kawasan tadahan empangan akan menambah kelodak dan boleh mengurangkan jangka hayat empangan tersebut meskipun penebangan hanya dilakukan sewaktu peringkat pembinaan empangan.

"Ini kerana hutan mengambil masa yang sangat lama untuk kembali ke bentuk yang asal bagi menjalankan fungsi ekosistem mereka sebagai tadahan hujan dan untuk perlindungan tanah.

“Atas sebab itu, Majlis Perhutanan Kebangsaan (National Forestry Council telah mengarahkan semua kerajaan negeri untuk mewartakan hutan-hutan kawasan tadahan air pada 2005,” jelasnya.

Sharma menegaskan bahawa Hutan Simpan Petuang dan Tembat perlu diwartakan sebagai hutan kawasan tadahan air di bawah Akta Perhutanan Kebangsaan 1984 sekaligus membolehkan kedua-dua hutan tersebut dikelaskan sebagai santuari hidupan liar.

Tambahan pula, jelas Sharma, kawasan pembalakan seluas 12,620 hektar yang dicadangkan oleh kerajaan Negeri Terengganu itu bukan merupakan kawasan yang akan ditenggelami akibat pembinaan empangan tetapi pembukaannya adalah semata-mata bagi mendapatkan hasil balak.

Layari laman web www.wwf.org.my untuk maklumat lanjut atau www.doe.gof.my bagi mendapatkan laporan terperinci penilaian kesan terhadap alam sekitar untuk tatapan awam.

Friday, 9 January 2009

Artis antarabangsa: Iqwal perlu RM500,000

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Penyanyi Iqwal atau Ikhwal Hafiz Ismail, 16, yang pernah menempa kejayaan besar dalam pertandingan seni di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) mungkin terpaksa melupakan tawaran komposer antarabangsa di negara itu kerana kekangan kewangan yang dihadapinya.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohammed Mohd. Daud berkata, susulan daripada kejayaannya dalam pertandingan World Championship of Performing Arts (WCOPA) Julai lalu, sekurang-kurangnya enam komposer dan penerbit di AS telah membuat tawaran rakaman album kepada Iqwal.

Menurutnya, antara komposer yang menyatakan minat dan mahu berbincang secara serius dengan Iqwal termasuk komposer yang pernah menerbitkan lagu untuk artis terkenal Beyonce, Mariah Carey dan Celine Dion.

"Bagi merealisasikan impian tersebut, Iqwal memerlukan belanja yang besar iaitu sekurang-kurangnya RM500,000 bagi menampung pakej produksi tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, jumlah tersebut adalah belanja yang diperlukan bagi menggilap potensi Iqwal menjadi artis baru untuk pasaran AS termasuk kos lagu, penerbitan dan penghasilan video klip bagi empat buah lagu.

Bagaimanapun katanya, kementerian tidak mampu menyediakan belanja sebanyak itu tetapi bersedia membantunya mencapai impian tersebut jika Iqwal berjaya mendapatkan tajaan.

"Meskipun jumlah itu mungkin dapat dikumpul, dia masih memerlukan lebih banyak belanja bagi menampung kos penginapan dan sara hidup di negara tersebut," tambahnya.

Jelasnya, Iqwal perlu menetap sekurang-kurangnya enam bulan di AS untuk terlibat dengan pelbagai rancangan yang diatur bagi mempromosi mini album termasuk penampilan dalam rancangan televisyen, persembahan pentas dan jelajah promosi.

"Kebanyakan komposer tersebut cukup serius mahu mendapatkannya dan menganggap dia mudah dibentuk ekoran usianya yang masih muda dan penguasaan pentasnya yang mantap berbanding pesaing lain dalam pertandingan tersebut," ujarnya.

Justeru, jelasnya, kementerian amat mengalu-alukan tajaan daripada pihak swasta atau badan korporat yang berminat membantu Iqwal kerana beliau diyakini boleh mencapai kejayaan yang cemerlang dalam industri muzik antarabangsa.

Dalam pertandingan WCOPA yang berlangsung di Los Angeles Julai lalu, remaja itu telah menguasai semua lima kategori vokal yang disertai dengan merangkul empat pingat emas dan satu perak.

Kejayaan itu juga membolehkannya menerima Anugerah Industri yang diberikan penganjur WCOPA kepada artis-artis yang berpotensi untuk diketengahkan di pasaran AS.

Sebulan kemudian, Iqwal menerima jemputan untuk beraksi dalam majlis anugerah The Best New Talent Award yang bertempat di Kodak Theatre, Hollywood sekaligus menjadikannya artis Malaysia pertama beraksi di pentas kemasyhuran itu selain berjaya membawa pulang anugerah The Best International Artiste.

Remaja tersebut boleh menyanyi dengan baik dalam 14 bahasa dan sedang berusaha mendapatkan sijil pra-diploma dalam bidang muzik.

Iqwal kini mengikuti kelas seni vokal, persembahan dan tarian di sekolah seni berprestij The Singing Shop dan memahirkan diri bermain piano dan gitar klasik di School of Music, Subang.

Tuesday, 6 January 2009

Serlahan bintang Iqwal

Oleh : WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI

Siapa pula Iqwal ini? Nama yang tidak pernah didengar apatah lagi disaksi dalam media tempatan, tiba-tiba tertera sebagai penyanyi yang mewakili Malaysia untuk pertandingan antarabangsa, di Hollywood pula?

Persoalan itu, bagaimanapun terjawab selepas menonton persembahan Showcase Malaysia di Time Square, First World Plaza baru-baru ini, apabila penulis juga dapat merasakan perasaan teruja penonton terhadap kehebatan showmanship remaja itu.

Jangan terpedaya dengan tubuh kecil atau raut wajah yang bagai si pemalu itu, kerana Iqwal membuktikan dia dilahirkan untuk persembahan pentas yang amat mantap.

Beliau telah menyampaikan secara solo lagu nyanyian asal M. Nasir, Mentera Semerah Padi, lagu rock latin, Corazon Espinado (Carlos Santana) dan sebuah lagu Tamil yang amat terkenal di Singapura, Pooru Malai (Ganjini).

Showmanship yang dipuji bagaikan penghibur profesional antarabangsa juga menunjukkan kepekaan remaja berusia 16 tahun itu dengan keperluan penonton.

Tenaga persembahannya bagaikan letusan tanpa penghujung.

Selain tidak kekok menari, bersilat dan berjoget, Iqwal juga tidak raguragu berinteraksi dan menguasai penonton dengan hanya menggunakan bahasa tubuh.

Tanpa perlu berkata-kata apa lagi meminta, beliau berjaya membuatkan dua penonton naik ke pentas untuk turut sama menyanyi, menari serta 'berlakon' dengannya melalui lagu Pooru Malai tanpa rasa malu-malu.

Improvisasi lagu

Beliau mencuri tumpuan ramai semasa berduet dengan Noryn Aziz. Tanpa ragu-ragu beliau melakukan improvisasi terhadap lagu Seiring Sejalan (Datuk Sharifah Aini dan Broery Marantika) serta Joget Malaysia (P.Ramlee dan Saloma).

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan penghibur sehebat Noryn Aziz pun agak ditenggelami dengan keletah, gaya dan kelincahan Iqwal atau nama sebenarnya Ikhwal Hafiz Ismail.

Anak kelahiran Teluk Intan itu juga amat bijak menguasai dan menghiburkan penonton hinggakan anda tidak akan menyedari sekiranya dia melakukan kesilapan.

Remaja semuda ini telah membanggakan Malaysia dengan merangkul empat pingat emas dan satu perak selain menjadi artis pertama Malaysia yang mendapat Anugerah Industri Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Semasa Kejuaraan Persembahan Seni Dunia ke-12 (WCOPA 08) baru-baru ini, Iqwal telah menguasai kesemua lima kategori vokal iaitu pop, rock, kontemporari, Open Style dan Original Works. Itu menjadikannya peserta Malaysia yang mengungguli paling banyak anugerah WCOPA tersebut.

Menurut Bahizal, bakat Iqwal telah dikenal pasti sejak dia berusia 12 tahun dan sejak itu dia menjadi artis residen Istana Budaya dan sering dipilih untuk mengadakan persembahan.

Selepas empat tahun, jelasnya, IB melihat bakatnya wajar digilap ke peringkat lebih tinggi membolehkannya terpilih untuk ke WCOPA.

Pada Ogos lepas, Iqwal sekali lagi mendapat kepercayaan mewakili Malaysia untuk The Best New Talent Award di Kodak Theatre, menjadikannya artis Malaysia pertama beraksi di pentas kemasyhuran itu selain membawa pulang anugerah The Best International Artiste.

Kesungguhan menjadi penghibur

Menurut ibu yang juga menguruskan segala aktiviti remaja berusia 16 tahun itu, Min, Iqwal boleh menyanyi dengan baik lagu-lagu dalam 14 bahasa.

Selain bahasa Melayu dan Inggeris, bahasa-bahasa lain termasuk bahasa Itali, Spanish, Latin (Mexico), Tagalog, Arab, Hindi, Thai, Korea, Jepun, Kantonis, Mandarin dan Tamil.

"Iqwal akan menghafal dengan bersungguh-sungguh dengan bantuan jurulatih bahasa untuk mendapatkan sebutan yang tepat serta mendalami maksud lagu.

"Kadang-kadang tergeliat juga lidah nak menghafal," kata Min.

Apa pun Min mempunyai sebab yang kukuh untuk merasa gembira dengan bakat dan pencapaian anaknya yang digilap sejak berusia empat tahun. Kebolehan Iqwal menyanyi dalam bahasa asing nyata seolah-olah beliau memang bertutur dengan lancar dalam bahasa tersebut.

Kata Min, bakat dan minat tidak cukup tanpa diseimbangi dengan ilmu. Justeru Iqwal kini sedang berusaha mendapatkan sijil pra-diploma untuk diploma muzik.

Lantas, dia juga perlu meluangkan masa untuk belajar seni vokal, persembahan dan tarian di sekolah seni berprestij The Singing Shop dan memahirkan diri bermain piano dan gitar klasik di School of Music, Subang.

Showcase Malaysia gemilang di mata dunia

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
TARIAN meraikan tetamu Dia Datang oleh Artistana diiringi instrumental oleh Istamuzika.

Kota Keriangan Genting Highlands telah lama diangkat sebagai destinasi pelancongan yang terkenal di rantau ini dengan pelbagai pilihan permainan dan hiburan untuk setiap lapisan masyarakat.

Lebih gah, kota ini, khususnya di Arena All Stars Genting telah menyaksikan ribuan persembahan penghibur bertaraf antarabangsa dari seluruh dunia.

Atas kejayaan itu, Genting amat positif memperkasakan lagi Kota Keriangan itu sebagai hab pertunjukan seni utama Asia Tenggara.

Menurut Naib Presiden Kanan Perhubungan Awam dan Komunikasi Resort World, Datuk Anthony Yeo, pihaknya sememangnya berhasrat mahu memainkan lebih peranan bagi mempromosikan keunikan budaya dan seni tempatan.

Sebagai permulaan delegasi Istana Budaya (IB) telah dijemput menjayakan Showcase Malaysia selama tiga hari di Time Square, First World Plaza, Genting Highlands, baru-baru ini.

"Kami amat mengalu-alukan Showcase Malaysia dan berharap lebih banyak persembahan seni bercirikan Malaysia dapat ditampilkan untuk tetamu kami yang rata-ratanya pelancong asing," jelasnya selepas perasmian Showcase Malaysia di Genting Highlands baru-baru ini.

Juara dunia

Showcase Malaysia sebenarnya telah berjaya menerima pengiktirafan yang cukup besar semasa pertandingan Kejuaraan Persembahan Seni Dunia ke-12 (WCOPA 08) di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada 17 hingga 28 Julai lepas.

Pastinya 20 ahli yang terdiri daripada penari Istana Budaya (IB) yang dikenali sebagai Artistana, pemuzik IB (Istamuzika), penyanyi jazz hebat Noryn Aziz serta Iqwal dan dua model, Zeia dan Azura, telah memberikan persembahan bertaraf dunia yang cukup hebat dan gilang gemilang di Hollywood.

Masakan tidak, semasa persaingan yang melibatkan 5,000 peserta daripada 41 negara itu, mereka telah berjaya membawa pulang 15 gelaran World Champion, 27 pingat emas, tujuh perak dan dua gangsa.

Mereka juga berjaya melangkah sehingga ke peringkat akhir dalam semua 39 kategori yang dipertandingkan, merangkumi vokal, muzik, tari dan peragaan pentas.

Bukan itu sahaja, Malaysia juga berjaya merangkul anugerah Pakaian Kebangsaan Terbaik dalam perarakan di City Walk Universal Studio, Hollywood.

Sebulan selepas itu pula, Iqwal telah mendapat jemputan membuat persembahan di majlis anugerah The Best New Talent Award di Kodak Theatre, juga di Hollywood.

Menyaksikan persembahan yang berlangsung selama sejam di Genting, meskipun ia hanya sebahagian kecil daripada pertunjukan sebenar, telah membuktikan kemampuan IB menghasilkan seni persembahan yang cukup tinggi kualitinya.

Bakal jelajah Paris

Persembahan mantap itu juga telah menarik perhatian penggerak seni dari Perancis yang berminat membawa Showcase Malaysia menjelajah kota fesyen dunia itu sekitar Oktober 2009.

Meskipun ia masih di peringkat perancangan, menurut Pengarah Persembahan Showcase Malaysia, Bahizal Abu Bakar, perbincangan di antara kedua-dua pihak berjalan lancar.

Beliau juga berharap dengan pencapaian itu, ada pihak yang berminat membawa Showcase Malaysia menjelajah ke seluruh negara untuk menjadi santapan rakyat kita sendiri dan negara serantau.

Sementara itu, persembahan mantap dan bertenaga Showcase Malaysia juga telah menarik perhatian Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Teng Boon Soon yang terus terang mengakui beliau paling terpaku menyaksikan Iqwal.

"Persembahan beliau amat menghiburkan, malah setaraf dengan penghibur hebat antarabangsa, jadi tidak hairanlah beliau mendapat tawaran menjadi artis rakaman Hollywood," puji Boon Soon.

Timbalan menteri itu juga berharap agar penggerak industri seni atau mana-mana korporat dapat menaja Iqwal dan Noryn Aziz ke Hollywood untuk sekurang-kurangnya setahun.

Ini memandangkan mereka telah menerima tawaran merakam album sekali gus menjadi artis Hollywood dan secara tidak langsung dapat memperkasakan karier mereka di persada antarabangsa selain memperkenalkan budaya dan identiti Malaysia.

Saturday, 3 January 2009

Gua Bewah warisan arkeologi berjuta tahun

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Galeri Gua Bewah menempatkan artifak-artifak hasil ekskavasi dan sejarah kajian arkeologi sekitar.

Hulu Terengganu selama ini popular ekoran kewujudan Tasik Kenyir yang juga berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan prasejarah.

Di salah satu sudut, jauh ke pedalaman tasik tersebut sebenarnya ada satu rahsia unik iaitu kewujudan beberapa pulau batu kapur yang menurut anggaran saintis secara geologinya berusia 270 juta tahun.

Seperti kebanyakan bukit batu kapur di seluruh negara yang berusia tua, bukit-bukit batu kapur yang kini membentuk pulau itu juga menempatkan beberapa gua semula jadi yang mudah diterokai iaitu Gua Taat dan Gua Bewah.

Bukit Bewah setinggi 578 meter dari paras laut adalah salah satu bukit batu kapur Tasik Kenyir yang terletak di dalam kawasan perlindungan Taman Negara.

Penempatan Neolitik

Bukit yang dikatakan mendapat nama daripada aktiviti bewah atau kenduri kendara oleh masyarakat zaman purba yang pernah tinggal di situ merupakan lokasi kepada dua buah gua iaitu Gua Bewah dan Gua Batu Tok Bidan.

Bukti Gua Bewah sebagai penempatan masyarakat Neolitik atau Zaman Batu Baru dibuktikan menerusi kajian dan ekskavasi arkeologi oleh Jabatan Muzium dan Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu pada 10 hingga 24 Julai 1976.

Antara lain mereka menemui pelbagai artifak termasuk rangka manusia, serpihan tembikar, kapak batu dan sisa makanan iaitu sisa tulang haiwan dan cengkerang-cengkerang siput sedut yang dipotong pada segmen ketiga.

Penemuan tersebut membuktikan Gua Bewah adalah penempatan manusia neolitik di antara 2,000 hingga 300 tahun Sebelum Masihi iaitu kira-kira 2,300 hingga 4,000 tahun yang lalu.

Pemandangan ukiran semula jadi batu kapur hasil dari titisan air telah menghasilkan pelbagai bentuk dan saiz formasi stalaktit (yang meruncing dari siling gua) dan stalakmit yang amat mengagumkan termasuk formasi seakan-akan burung unta dan lembaga manusia.

Jangan lupa bawa lampu suluh anda dan terokai bahagian dalam gua ini yang agak lapang dan tinggi.

Di bahagian bawah Bukit Bewah terdapat sebuah lagi gua yang tidak lagi kelihatan akibat ditenggelami air tasik iaitu Gua Tok Bidan.

Bagaimanapun seorang pengkaji sejarah Inggeris R.O.D. None yang bertugas di Muzium Perak pernah mengkaji gua itu sekitar Mei 1956 dan menemui beberapa artifak penting zaman Neolitik termasuk kapak batu, kendi dan mangkuk tanah.

Antara keunikan lain yang hanya terdapat di Bukit Bewah ialah spesies endemik lipas ekor biru dan lumut hijau berkilauan.

Gua Bewah juga dikenali sebagai Gua Tahi Kelawar dan pastinya anda boleh melihat kelawar berterbangan tinggi di dalam gua.

Najis kelawar menghasilkan tanah yang sangat subur khususnya di sekitar sepanjang tangga dari pelantar Bewah hingga ke pintu masuk gua dan kaya dengan tumbuhan keladi besar dan cili padi.

Justeru secara tidak langsung gua ini turut menjadi tumpuan pengunjung dan pemancing Kenyir apabila pengendali-pengendali rumah bot singgah untuk memetik cili padi yang subur.

Seorang pengendali rumah bot yang popular dengan nama Siam mengakui sering singgah memetik cili kerana rasa cili gua itu agak berbeza berbanding cili kampung.

"Sebelum petik jangan lupa memberi salam dan meminta izin dulu," pesannya.

Di sekitar gugusan pulau-pulau batu kapur itu juga terdapat Tanjung Bewah yang dibangunkan sebagai tapak perkhemahan lengkap dengan tandas, pondok wakaf dan barbeque.

Siling gua yang rata

Dari tanjung itu, kelihatan sebuah lagi gua iaitu Gua Taat yang hanya boleh diterokai semasa musim kemarau iaitu semasa air tasik kering. Ini kerana ia telah ditenggelami air dan hanya sebahagian kecil sahaja daripada gua itu yang kelihatan dari pintu gua.

Gua ini sama sekali bukan gua biasa. Menjengok dari pintu gua anda dapat melihat ruang dalam gua yang cukup luas dan siling gua yang rata selain stalaktit berbentuk silinder seolah-olah tiang bangunan buatan manusia. Juga kelihatan formasi seakan-akan seekor kuda yang melekat pada dinding gua.

Gua itu telah diekskavasi oleh sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia dan Muzium Terengganu pada 1989. Penyelidikan tersebut mendapati Gua Taat adalah merupakan penempatan masyarakat pra-sejarah yang lebih awal berbanding Gua Bewah.

Ini dibuktikan melalui artifak-artifak yang ditemui dikatakan berasal dari kebudayaan Hoabinhian iaitu berusia sekitar 10,000 hingga 3,000 Sebelum Masihi (kira-kira 5,000 hingga 12,000 tahun yang lepas)

Hubungi talian 012-6585190 (Saleh), 012-6194235 (Syukri) atau 017-9195592 (Siam) untuk merasai pengalaman tinggal di atas rumah bot termasuk melancong dan menikmati keunikan sekitar Bukit dan Tanjung Bewah.

SMS dari Gajah Afrika Kenya

Kimani tinggal di Taman Perlindungan Ol Pejeta di Kenya. Ia adalah seekor Gajah Afrika jantan mempunyai sejarah menyerang ladang tanaman penduduk kampung berhampiran yang cukup panjang malah dikatakan pernah memusnahkan pendapatan penduduk untuk tempoh enam bulan sekaligus.

Namun kini, pemilik ladang boleh bergantung kepada Ranger Richard Lesowapir yang menerima teks khidmatan pesanan ringkas (SMS) yang akan menyatakan kedudukan Kimani dan sedang menghampiri ladang bersebelahan setiap kali tanaman mereka mungkin terancam.

Bagaikan wira, Lesowapir yang diiringi seorang pengawal bersenjata dan pemandu akan bergegas mengarahkan Kimani untuk kembali ke Taman Perlindungan Ol Pejeta dengan mengunakan silauan lampu limpah.

SMS tersebut dihantar oleh kad telefon bimbit yang disisipkan pada kolar Kimani. Kenya adalah negara pertama yang menggunakan kaedah amaran SMS sebagai usaha melindungi peningkatan populasi manusia dan juga haiwan liar itu yang semakin terkongkong pergerakannya.

Gajah Afrika dikategorikan oleh sebagai near threatened (hampir pupus) di dalam indeks Senarai Merah IUCN 2006 untuk Spesies Terancam.

Perlumbaan bagi menyelamatkan Kimani telah bermula sejak 2006. Sebelum itu, lima ekor gajah dari taman perlindungan itu terpaksa ditembak mati oleh Jabatan Hidupan Liar Kenya ekoran kekerapan menyerang ladang.

Sementara itu, kumpulan Save The Elephants (STE) pula giat berusaha agar Kimani dapat memecahkan tabiatnya itu dengan harapan dapat melindunginya.

Mereka memasang kad SIM pada kolar Kimani dan membina pagar geo virtual (virtual geofence) yang melingkungi sempadan taman perlindungan itu menggunakan Sistem Kedudukan Global (GPS). Setiap kali Kimani menghampiri pagar virtual tersebut, Ranger Lesowapir akan menerima SMS.

Menurut pengasas kumpulan STE, Dr. Iain Douglas-Hamilton, projek tersebut masih di peringkat permulaan dan setakat ini hanya ada dua pagar geo di Kenya.

Masalah pasti ada. Bateri kolar tidak tahan lama dan penduduk setempat adakalanya menganggap kolar sebagai tanda STE perlu bertanggungjawab terhadap kekecohan yang ditimbulkan gajah.

Ia juga projek yang memakan belanja yang tinggi. Ol Pejeta memerlukan sekurangnya lima kakitangan sepenuh masa dan dan sebuah kenderaan yang perlu sentiasa bersedia.

Apapun, eksperimen Kimani adalah satu kejayaan besar dan diharap dapat membantu mengatasi sebahagian daripada 1,300 aduan serangan tanaman yang diterima oleh jabatan setiap tahun.

Gajah yang dipasang kolar boleh dijejaki melalui Google Earth, sekaligus membolehkan laluan pergerakan mereka dipeta dan dipulihara selain membantu menghalang pemburuan haram.

Faedah utama sudah tentu penurunan kadar serangan ladang. Kata Douglas-Hamilton, gajah seperti remaja yang sering mencontohi antara satu sama lain. Jadi mengesan dan mengawal seekor gajah penyerang tanaman utama akan membuatkan keseluruhan kumpulan mengubah habit buruk itu.

Teknologi pengesan terkini

STE telah membangunkan teknologi pengesan untuk memantau dan menafsir pergerakan gajah sejak 1995.

Mereka sentiasa memperbaiki teknologi tersebut dengan teknologi terkini termasuk menggantikan kolar pengesan radio yang besar dengan kolar GPS serta penggunaan pelbagai pilihan muat turut kawalan jauh termasuk teknologi VHF, satelit dan GSM.

Setakat ini, pasukan Douglas-Hamilton telah memasang 80 kolar GPS kepada gajah-gajah liar di Afrika dan melakukan penjejakan ke seluruh benua Afrika.

Maklumat terperinci mengenai laluan pergerakan dan corak taburan gajah amat perlu bagi membolehkan STE melindungi dan melakukan pengurusan populasi gajah secara efektif.

Pengurusan ini termasuk mewujudkan laluan yang terlindung dan mengurangkan konflik dengan komuniti manusia di kawasan sekitar.

Setakat ini, STE telah berjaya mengumpulkan data terperinci pergerakan dan kelakuan gajah selama 2,000 hari. Lokasi kajian lapangan yang telah dipetakan sebagai laluan gajah termasuk kawasan-kawasan perlindungan Samburu dan Hutan Simpan Buffalo Springs, Ilngwezi Conservancy, Lewa Wildlife Conservancy dan Borana Ranch.

Kawasan Namunyak Wildlife Conservation Trust, Taman Negara Meru dan Amboseli National Parks, Shimba Hills National Forest Reserve dan kawasan sekitar yang tidak dilindungi di daerah Samburu, Isiolo, Laikipia, Kajiado dan Kwale juga didapati merupakan kawasan penting bagi pergerakan gajah-gajah liar.

Layari laman web www.olpejetaconservancy.org dan www.savetheelephants.org untuk makluman lanjut.

Saturday, 27 December 2008

Cabaran Perhentian menguji kecekalan peserta

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Gambar FAUZI BAHARUDIN
Mendayung kayak secara berpasangan memerlukan kerjasama dan persefahaman di antara pasangan untuk bersaing mendahului pasukan lain dalam Cabaran Pulau Perhentian.

Pulau Perhentian Terengganu nyata lokasi yang amat sesuai untuk penganjuran lumba lasak.

Cabaran Pulau Perhentian 2008 (PIC08) pada akhir Oktober lepas iaitu sewaktu musim tengkujuh dan laut gelora dijangka tapi hakikatnya cuaca cerah dan panas sepanjang acara. Ini sekali gus menonjolkan keindahan laut dan pantai pulau itu.

Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori Elite (secara berpasangan) dan Novice (secara individu).

Kategori Novice agak mudah yang mana peserta hanya perlu berlumba mengelilingi Pulau Perhentian Kecil mendaki bukit dan merentasi pantai selain cabaran mudah ala komando merangkak di bawah kawat dawai dan melompat di dalam gelung.

Ini membolehkan ramai peserta menghabiskan larian dalam masa kurang kurang satu jam 30 minit.

Ini cukup berbeza dengan kategori Elite. Sebagai permulaan, para peserta telah berkumpul seawal pukul 8 pagi begitu juga penduduk kampung yang kelihatan cukup teruja menikmati acara besar yang singgah ke pulau mereka setahun sekali itu.

Tetapi ekoran pelbagai kesilapan yang tidak dijangka, peserta terpaksa menunggu lama untuk pelepasan dan hanya mula berlari pada kira-kira pukul 10 pagi.

Pesaing kategori Elite dimaklumkan perlu mendapatkan kayak masing-masing yang telah dilabelkan mengikut nombor pasukan yang telah disusun mengikut turutan. Cuma ia tidak semudah itu.

Kayak tidak disusun mengikut turutan, pendayung dan jaket keselamatan tidak mencukupi malah nombor tidak dilabelkan dengan baik, sebaliknya hanya ditulis dengan angka kecil dan sukar dilihat akibat silauan matahari yang makin meninggi.

Merentasi selat

Jadi bayangkan cabaran yang dihadapi para peserta yang terpaksa menghadapi suasana yang cukup kelam kabut dalam cuaca pulau yang cukup panas terik.

Pasangan peserta perlu mendayung merentasi selat untuk ke Pir di Perhentian Besar dan berlari melalui denai hutan yang berbukit sebelum keluar semula ke pantai Pir.

Seterusnya pasangan perlu berlari di atas pasir ke pantai Teluk Keke yang mana mereka perlu menyelam turun ke laut bagi menaikkan satu karung pasir.

Cabaran selepas itu ialah berenang di laut pada jarak tertentu. Ia bagaimanapun dibatalkan selepas beberapa peserta diserang obor-obor dan digantikan dengan rehat wajib selama 10 minit.

Pesaing Elite seterusnya perlu bergegas kembali ke Pantai Pir bagi mendapatkan semula kayak mereka untuk berdayung ke Pantai Bubu di Perhentian Kecil.

Dari Pantai Bubu mereka berlari menghala ke laluan kategori Novice untuk cabaran ala-komando sebelum berlari untuk kembali ke tempat permulaan. Pastinya masing-masing menarik nafas lega apabila memijak garisan penamat selepas cabaran yang mengambil masa kira-kira empat jam.

Disengat obor-obor

Bisa disengat obor-obor malah bukan satu tapi tiga kali sama sekali tidak memperlahankan langkah Heidilee Mohammad, 25. Walaupun terganggu dengan kesakitan, beliau terus nekad mengharungi cabaran PIC08 bersama pasangannya Muhamad Razini Husain, 42.

Pasukan bergelar Solomon Powerbar yang pernah menyertai PIC beberapa kali sebelum itu, telah menjuarai kategori Lelaki Elite selepas menamatkan cabaran dalam tempoh 3 minit 25 saat.

Bagi Heidilee, pertandingan kali ini lebih sukar dari sebelumnya, tambahan pula bulan puasa menjadikan latihan persediaan kali ini agak terhad.

Kategori Campuran Elite telah diungguli oleh peserta pertama kali, pasukan Power ATM dari Sabah yang terdiri daripada ibu beranak dua, Mariana Mohammad dan Juseri Gani.

Kedua-dua pasangan itu membawa pulang hadiah utama tunai RM4,000 beserta hadiah iringan manakala juara-juara kategori Novice menerima RM1,200 beserta hadiah iringan.

Kategori Novice lelaki barangkali cukup mudah bagi seorang pelajar Kolej KDU dari Ghana iaitu Richard Habeya, 21, yang pernah menjuarai kategori yang sama sebanyak tiga kali berturut-turut.

Habeya mendahului cabaran dengan catatan masa satu jam sembilan minit, hanya dua minit dihadapan pencabar terdekat Kunasegaran Ramakrishnan, 29.

PIC telah memasuki tahun penganjuran kelima dan menarik perhatian 309 peserta dengan 91 penyertaan untuk kategori Novice lelaki, 58 Novice wanita, 40 pasukan Elite lelaki dan 40 pasukan Elite campuran.

Tidak hairanlah sambutan yang diterima cukup hangat dengan yuran penyertaan hanya RM170 memandangkan PIC kali ini disubsidi bersempena Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Terengganu 2008.

Pakej penyertaan juga sangat berbaloi kerana bayaran itu termasuk pengangkutan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Kuala Besut, khemah untuk penginapan, pengangkutan bot dan makanan sepanjang tiga hari, perlindungan insuran dan kemeja-T.

Saturday, 20 December 2008

Luncur ombak tarikan Cherating

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Antara aksi peluncur ombak yang menceriakan pantai Cherating pada musim tengkujuh tahun lepas.
CHERATING terkenal sebagai lokasi tumpuan hujung minggu warga kota ekoran kedudukannya sebagai pantai terindah yang paling dekat dengan Kuala Lumpur.

Pohon-pohon palma dan ru membarisi pasir putih pantainya yang luas dan saujana mata memandang. Pada musim panas dan disinari hangat matahari, pantai ini bagaikan syurga bagi pelancong dari negara-negara Barat dan mereka yang mendambakan santai pantai.

Suatu masa dahulu, pantai tersebut hanya popular di kalangan pelancong bajet (backpacker). Tapi kini, Cherating telah menjadi destinasi pelancongan penting Pahang dan menyaksikan penubuhan banyak entiti berkaitan budaya termasuk kedai-kedai cenderamata, kraf tangan dan canting batik.

Sebagaimana pantai-pantai lain di persisiran Pantai Timur yang membuka kepada Laut Cina Selatan, Pantai Cherating juga menerima kesan musim tengkujuh akibat terdedah kepada cuaca dan angin Monsoon Timur Laut.

Namun, ini tidak bermakna pantai indah yang terletak tidak sampai 50 kilometer daripada bandar Kuantan itu akan terus lenggang sepanjang musim tengkujuh.

Sejak 2006, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Pahang (MTPN Pahang) telah menjadikan ombak besar dan ganas yang menghempas Cherating sepanjang musim tengkujuh sebagai satu kelebihan bagi memastikan kedatangan pelancong dengan mempromosikan aktiviti luncur ombak.

Pertandingan luncur ombak antarabangsa Cherating kembali lagi. Billabong Pro Am Cherating Surfing 2008, yang menyaksikan persaingan memasuki tahunan ketiga dan dikendalikan oleh MTPN Pahang buat kali ketiga itu, sedang berlangsung sepanjang hujung minggu ini iaitu mulai 19 hingga 21 Disember 2008 di Pantai Cherating Kuantan.

Menurut Pengurus Besar MTPN Pahang, Idros Yahya, seramai 100 orang peserta dijangka akan menyertai pertandingan itu malah setakat ini peluncur dari Jepun, Mesir, Indonesia, Singapura, Peru, Australia, Thailand dan tempatan telah mengesahkan kehadiran mereka.

Penyertaan Billabong, jenama pakaian sukan lasak khususnya berkaitan dengan pelbagai sukan luncur terkenal sebagai penaja utama tahun ini adalah satu usaha merintis penganjuran acara luncur ombak yang lebih besar di Cherating pada masa akan datang.

Kata Idros, Billabong akan menganjurkan Billabong Malaysia Surfing Invitation pada tahun 2009, yang bakal melibatkan lebih ramai pemain luncur professional dari seluruh dunia sekali gus menjadikannya sebagai destinasi sirkit pertandingan luncur ombak utama di Asia pada 2009.

Antara lain, penganjuran sukan itu adalah bagi memperkenalkan Cherating sebagai lokasi sukan luncur kepada peluncur asing dan tempatan, selain merancakkan pelancongan ke Pantai Timur khususnya Cherating pada musim tengkujuh ini.

Pertandingan itu menawarkan hadiah bernilai RM20,000 termasuk barang-barang iringan yang ditaja oleh Billabong, Nixon, Kustom, Vonzipper dan juga pakej-pakej pelancongan menarik oleh hotel-hotel di Negeri Pahang.

Sebanyak lima kategori bakal dipertandingkan iaitu terbuka lelaki, wanita, junior untuk peluncur berusia bawah 15 tahun selain kategori man surfing (bawah 35 tahun) dan body boarding.

Peringkat saringan awal telah bermula sejak semalam (Jumaat) dan hari ini manakala peringkat separuh dan akhir akan berlangsung esok 21 Disember 2008 (Ahad).

Idros berharap agar acara tahunan itu akan menarik minat pelancong dan orang ramai terutama golongan belia untuk lebih mengenali sukan tersebut dan menggunakan peluang itu bagi menyertai klinik luncur ombak yang diadakan dan mempelajari teknik-teknik meluncur dengan betul.

Beliau menjemput orang ramai menghadiri Klinik Luncur Ombak akan diadakan hari ini (Sabtu) pada pukul 2 hingga 4 petang yang bakal dikendalikan oleh pemain luncur ombak profesional tempatan dan juga dari Indonesia.

Acara yang diatur untuk 21 Disember (esok) adalah lebih menarik selain pengunjung dapat menyaksikan kehebatan peluncur yang berjaya memasuki pusingan akhir, pengunjung juga pasti terhibur dengan demonstrasi luncur ombak daripada peluncur profesional Australia dan Indonesia bermula pukul dua petang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita Negeri Pahang Datuk Shafik Fauzan Sharif akan menyempurnakan upacara penutup dan penyampaian hadiah yang dijadualkan pada pukul lima petang esok.

Monday, 15 December 2008

Apabila bukit-bukau ditarah

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Gambar atas, SISTEM akar tunjang yang sempurna membantu tanah menyerap jumlah air yang banyak pada hujan lebat. Gambar bawah, Sebaliknya, tanah bukit yang gondol tanpa sistem akar tidak mampu menahan muatan air berlebihan dan limpahan luar biasa larian air sehingga memungkinkannya tergelongsor.
Cuba anda memandu dan perhatikan dari Hulu Selangor, Gombak dan Selayang, Cyberjaya hingga ke Sepang dan bandingkan pemandangannya dengan keadaan kira-kira 15 tahun lalu.

Jika anda perasan, sepanjang laluan lebuh dan jalan raya utama di negeri Selangor, jelas kelihatan tiada lagi pohon-pohon hijau di sekelilingnya tetapi digantikan dengan ‘hutan-hutan batu’ atas nama pembangunan.

Maka tiada lagi, bukit bukau dan hutan menghijau yang mampu memberikan ketenangan kepada pemandu dan juga melindungi bumi daripada dilanda bencana seperti tanah runtuh.

Tanah runtuh berlaku akibat pembangunan tanpa mengambil kira atau memahami peranan hutan dan bukit bukau sebagai kawasan tadahan hujan yang penting.

Secara ringkas, kejadian tanah runtuh Bukit Antarabangsa dua minggu lepas berlaku kerana kejadian gelongsoran tanah apabila kawasan berkaitan yang telah sedia longgar tidak dapat menampung penambahan berat akibat tepu dengan air hujan.

Sokongan sistem akar

Faktor penyebab bencana itu ialah lapisan tanah yang longgar dan ketiadaan sistem akar bagi memegang partikel tanah.

Ketua Bahagian Ekologi dan Akuatik, Pusat Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia, Mohd. Hifni Mohd. Baharuddin, membantu wartawan Mega mempermudahkan konsep ini.

Katanya, hutan di kawasan bukit secara semula jadi mempunyai peranan penting sebagai kawasan tadahan hujan, manakala sistem akar tunjang yang terdapat di dalam ekosistem hutan yang sihat berfungsi memegang dan menetapkan partikel tanah untuk kukuh di tempatnya.

Dalam keadaan semula jadi, limpahan air hujan akan jatuh pada kanopi pokok terlebih dahulu, sebelum tiba dan diserap ke dalam tanah dan seterusnya mengalir melalui kitaran hidrologi yang normal.

Jelas Mohd. Hifni, tanah berperanan bak ‘span’ yang menyerap lebihan air hujan. Sistem akar tunjang dari pokok-pokok besar yang berada jauh ke lapisan tanah yang lebih dalam akan memegang ‘span’ tanah ini bagi membolehkannya menyimpan serta melepaskan lebihan air sedikit demi sedikit.

“Oleh itu, kita dapat lihat banyak larian air yang kecil seolah-olah keluar dari mata air di kawasan bukit-bukit berhutan,” terang pakar ekologi itu.

Sebaliknya, tanpa hutan, kawasan tanah tinggi yang mana tanahnya terdedah tanpa akar-akar tunjang dari pokok-pokok besar, limpahan hujan lebat akan terus jatuh dalam jumlah yang besar ke atas tanah.

Justeru, tanah terpaksa menyerap jumlah air yang banyak dengan segera.

‘Span’ tanah

“Masalahnya, partikel tanah ini telah longgar berbanding tanah yang kaya dengan sistem akar semula jadi, mengakibatkan ‘span’ tanah cepat menjadi tepu,” tegas beliau.

Tanpa sokongan daripada sistem akar, ‘span’ yang telah tepu itu tidak mampu menampung berat air berlebihan, lalu tergelongsor sebagai tanah runtuh.

Contoh yang dipermudahkan, pertimbangkan satu keluasan dan kedalaman tertentu tanah kawasan berbukit. Selepas hujan lebat beberapa hari, tanah itu mungkin hanya mampu menampung berat partikel tanah bercampur air seberat 10 tan sahaja dan mula menggelongsor menjadi tanah runtuh.

Sebaliknya, tanah dengan keluasan dan kedalaman sama yang disokong dengan kehadiran sistem akar tunjang daripada beberapa pokok besar, mampu menyerap malahan menampung dua atau tiga kali ganda daripada berat tersebut.

Inilah sebabnya bukit yang ditarah mempunyai risiko tanah runtuh yang sangat tinggi akibat lapisan tanahnya yang lebih terdedah.

Selain mengawal tanah runtuh, konsep ‘span’ tanah dan sokongan daripada sistem akar tunjang turut berperanan mengawal limpahan air yang boleh menyebabkan banjir kilat.

“Inilah sebabnya kawasan tadahan hujan amat perlu dipulihara dan dikekalkan sebagai satu entiti besar semula jadi tanpa gangguan pembangunan,” jelasnya lagi.

Meliputi tanah tinggi yang ditarah dengan rumput atau tumbuhan renek (misalnya, tanaman sayur) juga tidak membantu span tanah. Ini kerana sistem akar tumbuhan sebegini hanyalah akar rerambut yang dangkal dan tidak mampu memegang lapisan tanah yang lebih dalam.

Di Tanah Tinggi Cameron Highlands misalnya, hutan semula jadi boleh dikatakan hampir tidak lagi wujud ekoran terlalu banyak tarahan bukit menjadi ladang-ladang sayur.

Liputan sebegitu hanya melindungi bukit daripada hakisan akibat hujan ringan tetapi risiko tanah runtuh tetap tinggi semasa hujan lebat.

Selain itu, membajak tanah untuk pertanian juga melonggarkan tanah.

Justeru, Mohd. Hifni berharap supaya kawasan tanah tinggi dipulihara dan dilindungi sepenuhnya.

“Lagipun, membangunkan kawasan tadahan hujan sudah tentulah berbahaya dan berisiko tinggi, jadi untuk apa membahayakan rakyat dengan mengganggu kawasan sebegini?” soal beliau.

Pendek kata, jadikanlah kejadian Bukit Antarabangsa sebagai satu pengajaran untuk kita khususnya kepada pihak-pihak yang melobi, memaju dan meluluskan projek pembangunan kawasan bukit.

Saturday, 13 December 2008

Hutan Bakau Kuala Selangor dipertahan

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI

Apa pengajaran terbesar untuk kita selepas kejutan tsunami 24 Disember 2004 lalu?

Selain kemusnahan yang cukup besar sehingga mengorbankan 57 nyawa sudah tentulah kita akhirnya menyedari akan kepentingan perlindungan dan pemuliharaan hutan bakau di persisiran pantai.

Hutan yang sering dikorbankan oleh usahawan kolam udang itu terbukti berperanan penting sebagai benteng terbaik fenomena semula jadi persisiran pantai termasuk tsunami.

Malapetaka itu secara tidak langsung telah memangkin pemuliharaan hutan-hutan bakau, di Malaysia dan juga negara-negara lain yang terjejas.

Hutan bakau bukan sahaja penting untuk melindungi kawasan persisiran pantai daripada air pasang luar biasa, musim tengkujuh dan hakisan tetapi juga berperanan penting bagi memampan fenomena pemanasan global.

Melalui kebolehan hutan bakau menyimpan karbon, ia membantu mengawal keseimbangan dan jumlah karbon dioksida dalam udara seterusnya mengurangkan jumlah dan impak dari gas-gas rumah hijau.

DIGI Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi), barangkali syarikat ICT yang paling aktif dalam pelbagai inisiatif menangani perubahan cuaca di Malaysia.

Terbaru, mereka melancarkan The Mangrove Treasures of Kuala Selangor, projek pertama dalam program Deep Green NOW, iaitu projek memelihara hutan bakau Kuala Selangor melibatkan pemuliharaan dan menghutankan semula ekosistem tersebut.

Lebih bermakna projek DiGi turut melibatkan enam buah sekolah menengah daerah Kuala Selangor, selain kerjasama dengan penerima sulung Anugerah Merdeka yang mengiktiraf sumbangan ulung kepada kebaikan dan kemajuan Malaysia untuk Kategori Alam Sekitar, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS).

Kehilangan bakau terburuk

Sekolah-sekolah yang terlibat termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Aziz, Sekolah Sains Kuala Selangor dan Sekolah Menengah Sri Tanjung.

Sekolah yang lain ialah, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman Shah, Sekolah Menengah Tiram Jaya dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Harun.

Ketua Pegawai Eksekutif DiGi, Johan Dennelind berkata projek itu antara lain bertujuan menarik generasi muda bagi terlibat aktif untuk meningkatkan kesedaran dan memelihara ekosistem bakau kawasan tersebut.

Katanya, kemerosotan hutan bakau negara mesti diberi perhatian serius memandangkan Malaysia adalah salah satu daripada lima negara yang mengalami kehilangan bakau paling buruk dunia sejak 1990 akibat tebusguna tanah.

Selain itu, katanya, Laporan Penilaian Hutan Bakau Dunia (1980-2005) daripada Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) melaporkan lebih separuh daripada 3.6 juta hektar hutan bakau Asia telah dimusnahkan sejak tahun 1980.

“Di Asia, lebih 1.9 juta hektar hutan bakau telah dimusnahkan dalam masa yang singkat khususnya untuk dijadikan kolam ikan dan udang selain pertanian, infrastruktur dan pelancongan.

“Ini amat merunsingkan. Telah tiba masanya untuk kita berhenti menunggu sebaliknya mengambil tindakan segera,” katanya.

Bersama MNS, DiGi mahu memperkasakan masyarakat Kuala Selangor dan meningkatkan kesedaran serta pemahaman mereka tentang peranan utama hutan bakau dan ekosistem persisiran pantai yang telah menyokong kehidupan mereka.

Secara keseluruhan, seramai 120 pelajar tingkatan 1, 2 dan 4 terlibat dalam projek komuniti melibatkan tiga fasa iaitu Engage, Activate dan Empower itu.

Modus operandi projek ini ialah MNS akan membimbing para pelajar dan sukarelawan DiGi untuk menanam semula hutan bakau bagi memulihara ekologi bakau Kuala Selangor yang cukup sensitif.

Fasa pertama, termasuk menanam semula anak-anak bakau, pemantauan kualiti tanah dan air serta mengesan dan melapor sebarang perubahan dalam penanda-penanda biodiversiti untuk populasi tumbuhan dan hidupan liar.

Fasa seterusnya melibatkan program pendidikan alam sekitar dan satu kurikulum khusus berkenaan perubahan cuaca di sekolah-sekolah terlibat.

DiGi juga akan menggalakkan penubuhan Kelab Alam Semulajadi di sekolah-sekolah bagi membolehkan kumpulan perintis itu berkongsi pengetahuan dan pengalaman kepada rakan-rakan lain.

Dennelind yakin bahawa platform alam sekitar yang disemai kepada pelajar itu bakal 'menjangkiti' lebih banyak lebih ramai ahli masyarakat untuk turut sama melindungi hutan bakau.

Layari www.digi.com.my/ deepgreen/ atau www.mns.org.my untuk maklumat lanjut.

Kota Keriangan saji persembahan bertaraf dunia

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Kota Keriangan Genting bukan sahaja menawarkan pelbagai permainan untuk seisi keluarga malah merupakan lokasi pilihan pelbagai hiburan bertaraf antarabangsa.
Ke mana kita hujung minggu ini? Apa kata bawa keluarga dan sahabat handai ke Kota Keriangan Genting. Sambil-sambil meluangkan masa dengan keluarga dan bergembira dengan pelbagai permainan yang sedia ada, raikan juga kegemilangan kumpulan kebudayaan dari Istana Budaya, ‘Team Malaysia’ yang telah terkenal di mata dunia melalui persembahan Showcase Malaysia di Kota Keriangan itu.

Team Malaysia akan membuat sembilan persembahan hebat bermula semalam sehingga esok (Ahad), pada pukul 11 pagi, 4.30 petang dan 8 malam di tiga lokasi sekitar Kota Keriangan Genting.

Sementara itu, pelancaran Showcase Malaysia akan disempurnakan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd. Shafie Apdal pada pukul 11 pagi ini (Sabtu) di Time Square, First World Plaza.

Pastinya persembahan daripada 20 ahli yang terdiri daripada penari Istana Budaya (IB) yang dikenali sebagai Artistana, pemuzik IB (Istamuzika), penyanyi jazz hebat Noryn Aziz serta Iqwal dan dua model, Zeia dan Azura, menjanjikan persembahan bertaraf dunia yang cukup hebat dan gilang gemilang.

Juara dunia

Tambahan pula kumpulan itu telah berjaya menerima pengiktirafan yang cukup besar semasa pertandingan Kejuaraan Persembahan Seni Dunia kali ke 12 (12th World Championship of Performing Arts) di Los Angeles Amerika Syarikat (AS) yang telah berlangsung pada 17 hingga 26 Julai lepas.

Lebih menakjubkan, semasa persaingan yang menyaksikan lima ribu peserta daripada 41 negara itu, Team Malaysia telah berjaya merangkul 15 gelaran Champion of the World, 27 pingat emas, tujuh perak dan dua gangsa.

Selain itu, Team Malaysia juga berjaya merangkul anugerah Pakaian Kebangsaan Terbaik dalam perarakan di City Walk Universal Studio, Hollywood.

Tuesday, 9 December 2008

Aktivis alam sekitar Body Shop

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Jennifer Chan (depan) mengetuai sukarelawan The Body Shop dalam lawatan pertama mereka menjelajah Hutan Belum-Temengor baru-baru ini.

JENAMA kelengkapan penjagaan penjagaan diri dan kosmetik antarabangsa, The Body Shop, mempunyai reputasi dan etika yang cukup tinggi khususnya dalam aktiviti berkaitan kesukarelawan.

Percaya dengan semangat aktivisme, jenama tersebut kini memberi penekanan dalam pelbagai kempen sukarelawan dan menggalakkan tenaga kerjanya untuk terlibat sama dengan lebih aktif.

Menurut Pengurus Komunikasi Pemasaran The Body Shop, Jennifer Chan, pihaknya telah melancarkan sambutan hari ‘Saya Seorang Aktivis’ (I Am An Activist) pada 23 Oktober lalu dan bakal dirai setiap tahun sebagai penghormatan kepada pengasasnya, mendiang Dame Anita Roddick.

Antara penglibatan yang penting di bawah program ini ialah Projek Kenyalang di kompleks hutan hujan Belum-Temengor (kompleks BT), Gerik, yang menyaksikan sukarelawan The Body Shop berganding bahu dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), ‘sahabat karib’ mereka untuk kempen alam semula jadi.

Jenama ini adalah penyokong utama kempen Selamatkan Belum-Temengor sejak 2006 sehingga berjaya membantu dalam pengisytiharan Taman Negeri Royal Belum.

Namun, kempen hijau mereka tidak terhenti di situ. Dengan semangat aktivisme, Jennifer dan lapan sukarelawan The Body Shop telah menyertai lawatan MNS buat pertama kali ke kompleks BT baru-baru ini.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memainkan peranan penting dalam kempen kesedaran dan pengumpulan dana untuk terus membantu usaha MNS bagi memulihara dan melindungi kompleks BT daripada sebarang aktiviti pembalakan.

“Pada September yang lepas, melalui kempen Kick The Habit Bag kami berjaya mengumpul sebanyak RM91,953 untuk disumbangkan kepada MNS,” katanya.

Sumbangan daripada orang awam itu, akan digunakan untuk membiayai inisiatif pemuliharaan dan perlindungan di Hutan Simpan Temengor supaya kawasan hutan hujan itu dapat diwartakan.

Ini termasuk penyelidikan dan pemantauan pergerakan hidupan liar, aktiviti kesedaran dan pendidikan alam semula jadi untuk masyarakat tempatan dan lain-lain.

Tegasnya, usaha mewartakan hutan Temengor bukan satu tanggungjawab yang hanya terletak pada bahu MNS, tetapi ia memerlukan bantuan semua rakyat Malaysia dengan segera.

Selain, menyokong isu perlindungan alam sekitar, tambah Jennifer, Yayasan The Body Shop yang juga merupakan tabung kebajikan bagi perlindungan haiwan dan hak asasi manusia telah mendermakan RM78,800 kepada badan-badan berkenaan.

Menyokong kempen

Sementara itu, orang ramai boleh menyokong kempen dan menjadi aktvis Body Shop dengan dengan membeli beberapa produk seperti Candle of Conscience, di mana bagi setiap pembelian lilin tersebut sebanyak RM9 akan disalurkan ke tabung yayasan dan badan bukan kerajaan (NGO) terpilih.

Begitu juga bagi Carry a Bag for Life, di mana sebanyak RM6.90 daripada setiap beg yang terjual akan disalurkan ke badan kebajikan kanak-kanak tertindas. Seterusnya Condom Play Safe, Prevent HIV yang digunakan bagi membiayai projek Pendidikan HIV/AIDS.

Saturday, 6 December 2008

Bulan madu santai di Taman Negara

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI
Peluang mengenal alam semula jadi dengan lebih rapat.

Berbulan madu bukan sekadar untuk pasangan baru berkahwin. Tidak kira berapa usia anda dan pasangan hidup anda, asalkan anda saling mencintai atau ingin meremajakan perhubungan, anda wajar berbulan madu.

Apa kata hadiahkan diri anda berdua dengan satu trip pelancongan yang unik dan pasti diingati di Taman Negara.

Tidak perlu terkejut, Taman Negara juga menawarkan keseronokan percutian santai yang bening dan mendamaikan, bukan sekadar untuk penggemar cabaran.

Hantar sahaja anak-anak kecil anda ke kem cuti sekolah dan anak-anak remaja anda ke kem rekreasi atau lumba lasak.

Hubungi Mutiara Taman Negara, satu-satunya resort yang terletak di dalam kawasan perlindungan ini dan bertanya mengenai program bulan madu empat hari tiga malam atau tiga hari dua malam yang ditawarkan.

Jika pakej itu menjadi pilihan anda, khidmat menarik yang bakal anda terima termasuk sarapan pagi di dalam bilik dan makan malam candlelight beserta layanan butler dan aktiviti terpilih bersama jurupandu alam semulajadi berpengalaman.

Aktiviti wajib Taman Negara sudah pasti dengan berjalan di atas titian silara. Pengalaman berjalan sejauh 530 meter pada ketinggian 45 meter sama sekali bukan sesuatu untuk dilepaskan.

Jika ingin berenang, pilih samaada anda ingin berenang bersama Raja Ikan Sungai di Kelah Santuari di Lubuk Tenor atau di jeram Lata Berkoh.

Kedua-duanya ialah air sungai yang sangat sejuk dan bersih serta sudah pasti lebih tulen dan sihat berbanding kolam-kolam mandi.

Manjakan Diri

Penat bersiar-siar? Manjakan diri anda dengan rawatan spa tradisional DiRaja Melayu menggunakan herba semulajadi hutan tropika di Ayer Spa.

Kata seorang petugas yang dikenali sebagai Martina, meskipun baru dibuka kurang setengah tahun yang lalu, Ayer Spa mendapat sambutan yang sangat menggalakkan terutama daripada pengunjung-pengunjung 'Mat Salleh'.

Pada sebelah malam pula, sertai lawatan nightwalk. Anda hanya perlu berjalan kira-kira satu kilometer masuk ke dalam hutan yang mengelilingi Mutiara Taman Negara malah separuh daripada perjalanan mudah itu, hanya memerlukan anda berjalan di atas titian pelantar kayu.

Jika anda bernasib baik, anda mungkin terserempak dengan haiwan-haiwan yang aktif pada malam hari selain cendawan yang bersinar di dalam gelap (pendaflour).

Antara yang berjaya dikesan oleh kumpulan media dalam satu lawatan baru-baru ini ialah kongkang, rusa, ular, kala jengking, labah-labah dan beberapa jenis burung.

Menyamankan tidur

Kemudian berehatlah dengan menghirup kesegaran secawan teh atau kopi panas sambil menikmati ketenangan romantis pemandangan sungai dari Restoran Seri Mutiara.

Lagipun, dendangan lagu alam, bunyi riang-riang, pelbagai burung dan kuang raya bagai tidak pernah terhenti sepanjang siang dan malam pasti menyamankan tidur anda.

Tinggalkan Taman Negara melalui perjalanan bot menyusuri Sungai Tembeling ke jeti Kuala Tembeling yang baru dinaik taraf beberapa tahun lepas.

Perjalanan bot penumpang berkelajuan sederhana hampir dua jam itu membolehkan pelancong benar-benar menikmati keheningan dan merakamkan keindahan alam dari pandangan sungai.

Perjalanan kira-kira dua jam itu tidak pernah membosankan kerana apa yang anda dapat menyaksikan bukan setakat pemandangan tumbuhan dan burung hutan hujan tropika dara.

Buka mata kerana anda mungkin terlihat haiwan-haiwan liar yang lebih sukar ditemui mendapatkan air di tebing sungai seperti kumpulan gajah atau seladang. Malah tidak mustahil harimau jika anda cukup bertuah.

Pergerakan bot membelah air bagaimanapun terasa bagaikan hayunan lembut buaian rajut boleh membantu anda melupakan segala beban di kepala dan mungkin menyebabkan anda terlena.

Oleh itu, tidak perlu serabut kepala atau penat badan, ambil masa dan nikmatilah Taman Negara.

Hubungi Mutiara Taman Negara di talian 09-2663500/ 03-27822222 atau e-mel rmtn@mutiarahotels.com atau pravind@mutiarahotels.com untuk maklumat lanjut.

Saturday, 29 November 2008

TV Iraq pilih rekreasi lasak di Malaysia

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI Gambar ZULKARNAIN MOHD SAIDIN
Peserta dari kedua-dua pasukan saling menyokong antara satu dengan lain seolah-olah bukan persaingan.

Kita bertuah kerana bebas melakukan pelbagai aktiviti-aktiviti rekreasi lasak.

Tidak kira rekreasi udara, darat atau air, Malaysia lengkap segala-galanya sehingga menjadi pilihan ramai warga asing seantero dunia yang datang setiap tahun secara berkala bagi menyertai pelbagai pertandingan cabaran lasak.

Baru-baru ini, negara menjadi lokasi pilihan untuk satu program televisyen anjuran saluran televisyen bebas Iraq, Al-Sharqiya yang berpangkalan di Dubai untuk rancangan realiti TV berjudul Free.

Free adalah satu pertandingan keberanian dalam tempoh dua bulan melibatkan penjelajahan 25 peserta ke seluruh Malaysia bagi melakukan pelbagai aktiviti rekreasi lasak dan mencabar.

Lebih bermakna, rancangan itu bukan sahaja akan disiarkan di Iraq dan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) malah mungkin ke seluruh Asia Barat, kata pengacara rancangan, Rosil Azauui.

Peserta perlu menyelesaikan 50 aktiviti-aktiviti lasak berbeza seperti berkayak jeram deras, luncur udara, ikhtiar hidup dan sebagainya, juga dakian tebing batu terkenal di Kampung Wira Damai, Batu Caves.

Secara tidak langsung rancangan itu akan memperkenalkan negara sebagai syurga peminat rekreasi lasak seterusnya menjana industri pelancongan rekreasi negara menjadi lebih pesat dari pasaran Asia Barat.

Kata Azauui, Malaysia dipilih kerana keunikan lanskap dan alam yang indah membolehkan mereka bertanding dalam pelbagai aktiviti.

Paling penting, tambahnya, faktor bebas dan aman yang amat menakjubkan bagi mereka yang berasal dari negara yang telah bergolak sekian lama membolehkan anak-anak muda itu didedahkan dengan erti kebebasan sebenar.

Semua peserta adalah anak jati dari Iraq meskipun mempunyai latar belakang yang amat berbeza dari segi dialek, pekerjaan juga suku kaum seperti Muslim Sunni dan Syiah, Kristian, Kurdis dan Arab.

Azauui berulangkali menegaskan bahawa mereka mahu menunjukkan kepada dunia bahawa Iraq bukan masyarakat yang suka bertelagah seperti yang diuar-uarkan oleh media asing sebaliknya rakyat Iraq cintakan keamanan dan saling menyayangi.

Peserta yang dibahagikan kepada dua kumpulan itu sebenarnya merebut hadiah yang bernilai AS$300,000 (RM982,307) tetapi cara pengagihan masih dirahsiakan penerbit, cuma antara yang bakal dipertimbangkan ialah individu yang memberi contoh terbaik dalam sahsiah diri dan keupayaan mencabar diri.

Reaksi yang amat tulen

Semua cabaran rekreasi lasak yang dipertandingkan adalah pengalaman pertama kali kepada semua peserta, jadi mereka amat teruja mencuba hingga bagaikan lupa ini satu pertandingan.

“Reaksi mereka amat tulen, kedua-dua pasukan saling bersorak untuk menyokong ahli pasukan lawan serta saling bantu-membantu, amat menakjubkan,” kata Azauui.

Rata-rata peserta sangat mengagumi Malaysia malah tidak menyangka sebuah negara yang begitu kecil di peta dunia boleh menyediakan begitu banyak keriangan dengan hanya meneroka alam semula jadinya.

Penerbitan siri ini menggunakan khidmat syarikat pengurusan rekreasi lasak bumiputera, Paximej (M) Sdn. Bhd. bagi mencadang dan menyediakan semua aktiviti pertandingan.

Kata Azauui, ada aktiviti yang seolah-olah mustahil dan menakutkan krew produksi yang berasal dari UAE itu, malah beliau sendiri kadangkala merasa bimbang dan mahu meminta pengarah program menghentikannya.

Tetapi, para peserta sangat berjiwa cekal dan tidak takut melakukan mana-mana cabaran yang berbahaya akibat telah terbiasa hidup dalam suasana perang.

“Kami sudah tentu tidak boleh melakukan aktiviti sebegini di Iraq, kami bukan sekadar tiada peralatan atau tenaga profesionalnya malah tiada tempat yang sesuai di Iraq,” jelasnya.

Kata Pengarah Urusan Paximej, Ahmad Kamil Mohamed dalam aktiviti dakian batu Kampung Wira Damai itu, peserta akan dinilai dengan kemampuan mereka mendaki samaada sejauh yang mampu dalam masa 10 minit atau selaju mana mereka dapat mendaki sehingga kira-kira 30 meter ketinggian.

Dapatkan maklumat lanjut di laman web www.adventurecommunity.com atau hubungi talian 603-55120733 atau 603-55128552.

Saturday, 15 November 2008

"Apa kami dapat di Norway!"

Adam, Isa dan Azri bersama-sama pengiring delegasi Kenya bergambar bersama seorang 'wanita Viking dari Zaman Besi Eropah.

Bak kata Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim semasa melancarkan kem Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) beberapa bulan lepas, kanak-kanak generasi kini sangat bertuah kerana menerima pelbagai peluang pendidikan luar kelas dari pelbagai agensi dan pihak swasta.

Malah sembilan ahli YAWA yang hanya berusia di antara 12-14 tahun telah mewakili YAWA untuk ke Persidangan Kanak-kanak berkenaan Alam Sekitar UNEP/ TUNZA di Stavanger, Norway baru-baru ini.

Persidangan tersebut yang bertemakan Creating Change adalah anjuran Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) dan Young Agenda 21 of Norway dengan sokongan Kementerian Perhubungan Antarabangsa Norway dan kementerian Alam Sekitar Norway.

Lebih 1,000 duta kanak-kanak dari 105 negara telah terlibat secara aktif dalam pelbagai bengkel dan kerja lapangan.

Melahirkan kebimbangan

Lebih mengagumkan, kanak-kanak tersebut telah menghasilkan idea-idea hebat yang diluahkan dalam pelbagai pembentangan projek.

Dalam usia muda mereka mampu mengenalpasti dan melahirkan kebimbangan terhadap situasi terkini persekitaran dan kesan perubahan cuaca terhadap negara mereka, malah mencadangkan beberapa penyelesaian yang cukup praktikal.

Duta-duta kecil Malaysia juga sangat membanggakan. Mereka amat aktif dan sentiasa menggunakan peluang masa senggang untuk mengetuai pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak lain.

"Paling menarik ialah mendapat kenalan baru dari negara-negara yang tidak pernah dikenali sebelum ini. Ia merupakan pengalaman sekali seumur hidup yang hebat," kata Amalina Rahmat, 13, yang memainkan peranan sebagai setiausaha.

Apa yang pasti, keadaan cuaca sejuk dan hujan meskipun dalam musim panas Norway serta terpaksa melawan kesejukan angin Artik dari kutub utara, sama sekali tidak melunturkan semangat kanak-kanak tersebut. Malah semangat mereka semakin berkobar-kobar.

Mereka cukup memahami inilah pengalaman sekali seumur hidup. Jadi mereka menggunakan sebaiknya segala peluang yang ada dan benar-benar menikmatinya.

"Bengkel yan g paling digemari ialah Hands Across the Ocean yang dipimpin oleh pelukis hidupan laut unggul dunia, Wyland," kata Amalina.

"Saya cukup tertarik dengan cara dia bercerita mengenai ekosistem marin kita yang cukup indah tetapi rapuh dengan penuh perasaan dan melukis ikan paus yang sangat besar dalam hanya beberapa minit."

Wyland menegaskan bahawa mereka tidak perlu menjadi pelukis mahir untuk membuat ekspresi diri.

Malah sesiapa sahaja boleh eksploitasi pelbagai warna yang cantik bagi menunjukkan dedikasi dalam usaha menyelamatkan sumber air dunia dan hidupan marin di dalamnya.

Bengkel Wyland disertai oleh Amalina dan Muhammad Isa Ishak, 13, yang turut membantu Wyland melukis beberapa ekor ikan di atas kanvas besar. Lukisan tersebut telah dipamerkan semasa Sukan Olimpik Beijing baru-baru ini.

Ekspresi diri

Adilla Jamaludin, 13, pula terlibat dalam bengkel menjadi wartawan ekologi bimbingan The Eco-Agents, satu pertubuhan alam sekitar utama Norway.

"Saya suka menulis dan bengkel ini banyak memberi panduan untuk saya menulis dengan berkesan," katanya.

Bengkel tersebut memberi ilham untuk peserta menghasilkan ekspresi diri dan berkongsi pengetahuan dan penemuan baru bagi membuat perubahan positif untuk persekitaran.

Muhamad Isa yang memainkan peranan sebagai pemberita juga terlibat dalam bengkel yang cukup menarik, Life at the Coast and in the Sea.

Mereka berpeluang mengenali, menyentuh dan menghidu pelbagai jenis hidupan laut dan belajar cara perikanan secara bertanggungjawab meskipun perlu menaiki kapal dan turun ke laut dalam cuaca yang membeku.

"Saya sangat teruja pertama kali melihat ketam gergasi, saya sama sekali tidak pernah menyangka ia memang sangat-sangat besar. Alam marin cukup menarik," kata Muhammad Isa.

Dalam pembentangan projek alam, YAWA membuat pameran bertemakan Rise Up, Stand Up, Let's Cool the Earth sambil meuar-uarkan kempen Penanaman Pokok Kebangsaan Trees For Life oleh Jabatan Landskap Negara.

Kempen kebangsaan yang telah dilancarkan pada 1996 itu mempunyai matlamat untuk menanam 20 juta pokok menjelang 2020.

Lain-lain duta kecil yang mewakili Malaysia ialah Nur Alia Abu Bakar, 13, sebagai ketua delegasi, Kaiyisah Ilina Shahari, 13, dan Adam Harith, 12, masing-masing berperanan sebagai pemberita.

Dua kanak-kanak bertugas menjadi jurufoto iaitu Jasmin Iman Osman Kamarul Baharin, 13, dan Aqil Safiuddin Adly, 13, manakala Azri Fahmi Md Farid, 14, sebagai juruaudio visual. Pemergian mereka ke Norway diiring oleh lima orang dewasa.

Hasil dari persidangan itu, semua sembilan kanak-kanak yang terlibat akan berkongsi pengalaman dan pengetahuan mereka dengan rakan-rakan dari sekolah terpilih.

Idea-idea baru yang mereka peroleh juga akan digunakan dalam Persidangan Alam Sekitar Antarabangsa Kanak-kanak YAWA kali keenam di Kuala Lumpur hujung tahun ini.

Maklumat lanjut mengenai YAWA dan persidangan itu boleh didapati di laman web www.yawa.org. atau e-mel kepada yawaoffice@gmail.com atau benjaminlowzm@gmail.com